Carian
10 Kaedah Elak Pembaziran Untuk Berjimat Di Arena Digital
June 20, 2017 Ikhwan Nazri

Tidak dinafikan dalam menongkah arus menjadi negara moden, kos dan harga sesuatu produk mahupun perkhidmatan menjadi semakin bertambah. Sekali pandang mungkin kita lihat kesemua ini memakan kos yang tinggi namun sebenarnya terdapat cara untuk mengurangkan perbelanjaan tersebut.

Berikut merupakan 10 kaedah berjimat terutamanya di arena digital.

1. Langgan Perkhidmatan Penstriman Secara Berkumpulan

Jika dahulu mungkin kita perlu membeli album dan pita kaset mahupun cakera padat sesuatu rancangan dan juga album dari artis, kini terdapat banyak perkhidmatan penstriman audio dan video bagi memenuhi kehendak tersebut. Perkhidmatan seperti Spotify, Tidal, dan juga Netflix popular atas sebab ini.

Spotify Family

Sekali lihat mungkin langganan untuk perkhidmatan ini adalah mahal, namun terdapat cara untuk berjimat menggunakannya. Terdapat pilihan seperti Spotify Family atau Apple Music Family yang membolehkan anda berkongsi dalam membayar langganan. Pada harga RM 22.40 untuk 6 akaun Spotify, anda bukan sahaja dapat mendengar lagu secara ‘halal’, ia sememangnya menjimatkan.

2. Guna 64kbps

Berdasarkan keperluan dan corak penggunaan anda, mungkin anda tidak perlukan data yang laju untuk melayari internet atau menonton video YouTube. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, anda hanya memerlukan kelajuan internet selaju 64kbps.

Menerusi penggunaan tersebut, terdapat banyak syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan internet percuma pada kelajuan asas. Lagipun anda tidak akan terpengaruh dengan perkara-perkara yang berpotensi melalaikan dan membazir masa anda, seperti gosip tidak penting di halaman perkongsian sosial yang kerap kali trending tanpa sebab munasabah.

3. Beli Telefon Flagship Tahun Lepas

Telefon flagship mempunyai tarikannya yang tersendiri, disamping spesifikasi yang tinggi dan juga ketahanannya dalam penggunaan seharian. Malahan kebanyakan telefon flagship mempunyai kemaskini yang konsisten. Jika anda memilih iPhone, kemaskini boleh diperoleh sehingga 4-5 tahun lamanya dan untuk peranti Android kebiasaannya akan disokong sehingga 3 tahun.

Namun kebanyakan telefon flagship adalah mahal dan harganya mampu merobek dompet serta akaun bank anda. Apa yang anda perlu lakukan adalah sabar selama setahun, dan mendapatkan telefon flagship setelah versi baru telefon flagship keluar. Lagipun kebanyakan peranti flagship akan jatuh harganya apabila versi baru telah mula dijual. Anda masih boleh membeli iPhone 6S dengan sokongan yang berkemungkinan sehingga tahun 2020, namun masih mempunyai kelasnya yang tersendiri.

4. Beli Game Di Kemudian Hari

Ini mungkin berkait rapat juga dengan faktor diatas. Seperti telefon, permainan video game juga akan dijual pada harga yang jauh lebih murah selepas beberapa bulan atau beberapa tahun. Banyak permainan dijual dengan mahal hanya kerana ingin menarik minat pengguna dengan fungsi atau kelengkapan tambahan.

Seperti contoh jika anda membeli Metal Gear Solid V Day One Edition, ia dijual pada harga RM 249 dengan kelengkapan khas dan juga anda boleh menaiktaraf pemain Metal Gear Online dengan lebih pantas. Namun jika anda mampu bersabar, anda sebenarnya boleh membeli cakera Blu-ray PS4 terpakai dari pemain lain, yang biasanya dijual pada harga yang lebih murah. Tidak perlu mengikut trend sekiranya ia tidak menguntungkan anda.

Satu lagi cara untuk permainan adalah menunggu tempoh jualan Steam Sales. Bayangkan anda mampu memiliki permainan epik dan kelas AAA pada harga yang melampau murah, sudah pasti dapat menguntungkan anda. Anda boleh memiliki permainan Skyrim pada harga RM 49 berbanding harga asal yang jauh lebih mahal.

5. Beli Komputer/Perkakasan Elektronik Penghabisan Stok

Satu lagi tips yang berkait rapat adalah untuk anda mendapatkan komputer, atau apa sahaja yang sedang ditawarkan bagi menghabiskan stok penjual. Anda boleh pergi ke setiap kedai bagi menanyakan hal ini, atau menyemak laman web jenama tersebut.

Sekiranya anda peminat peranti Apple, sesetengah pengedar bertauliah meletakkan halaman ‘Clearance’ bagi menghabiskan stok lama mereka. Saya sendiri menggunakan unit penghabisan stok yang dijual pada harga yang didalam lingkungan kemampuan saya berbelanja. Harga asal komputer yang saya gunakan adalah RM 6,999 namun berikutan penghabisan stok, saya berupaya mendapatkannya pada harga RM 5,499 sekaligus jimat sekitar RM 1,500

6. Berjimat Menggunakan Uber & Grab

Sekiranya anda pengguna tegar perkhidmatan Uber & Grab, anda pastinya sudah tahu mengenai kupon promosi yang kerap diberikan kepada pengguna pada setiap minggu. Untuk makluman, aplikasi sebegini senantiasa aktif memberikan promosi kepada pengguna, baik tambang percuma ataupun diskaun. Setiap minggu ada sahaja promosi diberikan justeru menjimatkan perjalanan.

Uber 99sen

Lebih dari itu, anda juga boleh menggunakan GrabShare yang 20% lebih murah dari tambang biasa, dengan syarat anda boleh berkongsi dengan penumpang lain yang mempunyai arah tujuan sama.

7. Gunakan Program Pulangan Tunai Semasa Membeli

Jika anda kerap membeli barangan atas talian, platform seperti Lazada, 11Street, dan Shopee kerap memberikan kupon diskaun dan promosi tertentu, bergantung kepada musim, tempoh mahupun potongan harga yang berbeza mengikut kad kredit/debit dan juga platform.

Lebih dari itu, anda juga boleh menggunakan platform pulangan tunai antaranya Shopback yang memberikan pulangan untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan. Shopback juga turut menyokong perkhidmatan seperti Uber. Meskipun pulangan tunai tersebut dilihat sedikit, sekitar 3%- 5%, namun sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

8. Tidak Perlu Melanggan Stesen TV Berbayar Jika Anda Mempunyai Internet Jalur Lebar

Dengan kemajuan internet, cara kita menonton sesuatu rancangan turut berubah. Jika anda mempunyai sambungan internet jalur lebar, mungkin anda boleh berkira-kira untuk tidak menggunakan stesen TV berbayar. Ini kerana kebanyakan rancangan terdapat di internet, dan anda juga boleh menonton drama dan filem menerusi laman penstriman seperti iFlix dan Netflix pada kadar mampu milik.

TM iFLix

Atau jika anda pelanggan Unifi, anda akan memperoleh langganan iflix secara percuma untuk setahun. Malah lebih mampu milik sekiranya menggunakan pelan keluarga. Rujuk kaedah 1.

9. Sentiasa Semak Penawaran Syarikat Telekomunikasi

Sekiranya anda pengguna pelan prabayar mahupun pascabayar, terdapat banyak faedah yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi terhadap anda. U Mobile seperti contoh mempunyai program Terer Thursday dimana pengguna boleh menerima sesuatu dari U Mobile secara percuma setiap hari Khamis. Unifi pula menyediakan penggunaan TM Hotspot secara percuma di kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Bagi mengetahui perkara ini, anda disarankan untuk memuat-turun aplikasi yang disediakan oleh penyedia pelan telekomunikasi anda ataupun menyemak laman web mereka.

10. Muat-turun Majalah Percuma

Majalah-majalah di pasaran merupakan salah satu wacana ilmiah namun majalah mempunyai harga berbeza, mengikut kandungan dan penerbitnya. Malah majalah-majalah antarabangsa yang menawarkan banyak informasi menarik lebih mahal berikutan kadar tukaran wang.

Namun ini semua tidak menjadi masalah kerana Perpustakaan Negara Malaysia, dengan kerjasama Celex, telah mewujudkan satu portal dimana pengguna boleh mengakses majalah-majalah digital secara percuma. Dan terdapat banyak majalah yang disediakan termasuklah Macworld, GQ, Elle, dan bermacam lagi.

  • Dapatkan Majalah Percuma: Celex

Sepuluh kaedah diatas boleh dikatakan cara termudah untuk berjimat dalam arena digital namun boleh dikatakan tidak ramai yang mengetahuinya. Dan pada musim perayaan ini, sewaktu anda berhimpun beramai-ramai dengan sanak saudara, anda boleh kongsikan bersama mereka. Malah anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang kerap mengemaskini bukan sahaja dengan harga barangan, malah perkara lain berkaitan pengguna.

Penafian: Advertorial dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan

Komen