Amazon Ingin Membeli Rangkaian Kedai Fizikal Dengan Lebih 430 Buah Kedai

Amazon Ingin Membeli Rangkaian Kedai Fizikal Dengan Lebih 430 Buah Kedai

Diterbitkan pada June 16, 2017 oleh .

Amazon merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam arena e-dagang. Mereka sedia mempunyai platform jual-beli yang kukuh, selain turut melabur banyak pada pembangunan teknologi dan inovasi dalam arena jual-beli.

Sebelum ini sendiri, mereka pernah memperlihatkan bagaimana pasaraya dan kedai runcit boleh beroperasi pada masa hadapan, dan kini dalam usaha untuk merealisasikannya, Amazon dilihat mengambil-alih Whole Foods Market di Amerika Syarikat.

Whole Foods Market adalah rantaian pasaraya di Amerika Syarikat yang memfokuskan kepada makanan tanpa sebarang penambahan perasa tiruan. Dibawah Whole Foods Market, mereka terdapat lebih 431 pasaraya sekitar Amerika Syarikat, Kanada dan juga UK.

Buat masa ini, Whole Foods Market akan beroperasi seperti biasa, dan mengekalkan jenamanya. Tetapi, pada masa akan datang, tidak mustahil kita melihat Amazon mengintegrasikan pelbagai teknologi pintar pada Whole Foods Market.

Pada bulan Disember lepas, Amazon telah mempertontonkan Amazon Go yang mana merupakan pasaraya pintar, membolehkan pengguna masuk kedai dan keluar tanpa melalui kaunter pembayaran seperti pada hari ini. Disamping itu, Amazon turut menggunakan kelebihan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan dalam menambah-baik pengalaman pengguna padanya.

Dengan pembelian ini juga, ia membolehkan Amazon mencapai lebih ramai pelanggan melalui kedai fizikal. Amazon menyasarkan untuk membuka sekitar 2000 kedai runcit di Amerika Syarikat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Disamping itu, Amazon juga dikatakan sedang melihat kepada pasaran Asia Tenggara, dan mungkin membuka operasi mereka di Singapura tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN