5 Kekecewaaan Kami Dengan OnePlus 5

5 Kekecewaaan Kami Dengan OnePlus 5

Diterbitkan pada June 21, 2017 oleh .

OnePlus 5 diumumkan secara rasmi hari ni dengan spesifikasi tinggi tetapi pada harga yang tidak akan mengakibatkan defisit pada akaun bank anda. Peranti ini dipasarkan sebagai pembunuh peranti utama tetapi mempunyai beberapa kekurangan yang ketara. Di bawah ialah senarai lima perkara yang mengecewakan kami mengenai OnePlus 5

1. Skrin Masih Hanya 1080P

Semasa OnePlus 1 dilancarkan pada tahun 2014 ia menggunakan skrin dengan resolusi 1080P. Kita kini di tahun 2017 dan sebuah peranti utama perlu menggunakan skrin sekurang-kurangnya QHD. OnePlus sebaliknya masih berkeras menggunakan skrin 1080P pada OnePlus 5. Ini kurang masuk akan bagi sebuah peranti utama. Skrin QHD adalah perlu bagi menyokong Google Daydream. Nampaknya bagi OnePlus mungkin realiti maya bukan tumpuan mereka buat masa ini.

2. Tiada Sistem OIS Pada Kamera

Sistem dwi-kamera akhirnya disokong pada OnePlus 5 dengan gabungan sensor sebesar 16+20 Megapixel. Dwi-kamera kini bolehlah dikatakan sebagai fungsi perlu wujud pada peranti utama. Malang sekali penggunaan sistem baru ini menyebabkan tiada lagi sokongan OIS. Dari beberapa ulasan awal yang kami lihat, ini mengakibatkan rakaman video kurang stabil. OIS wujud pada OnePlus 3T, ketiadaannya pada OnePlus 5 amat memilukan.

3. Tidak Kalis Air Atau Percikan

Pada hemat kami sebuah peranti utama perlu mempunyai pelbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada peranti kelas pertengahan. Barulah perkataan “utama” layak digunakan. OnePlus 5 masih tidak mempunyai sebarang tahap ketahanan kalis air. Ini adalah mengecewakan kerana Samsung sudah menghasilkan Galaxy A 2017 yang kalis air IP68 walaupun ia sebuah peranti kelas pertengahan.

4. Tiada Pengecasan Tanpa Wayar

Apple dilaporkan akan menggunakannya. Samsung dan Motorola telah menggunakannya sejak tiga tahun kebelakangan ini. Fungsi pengecasan tanpa wayar ialah fungsi perlu bagi sebuah peranti utama. OnePlus walaubagaimanapun masih hanya menyokong pengecasan berwayar.

5. Pembesar Suara Mono

Cuba lihat rekaan OnePlus 5 dan apa anda lihat? Adakah ia mengingatkan anda kepada rekaan peranti keluaran syarikat buah dari Cupertino? Tidak dapat disangkal peranti ini menyerupai iPhone 7 Plus. Tetapi tidak seperti iPhone 7, OnePlus 5 hanya dilengkapi pembesar suara mono. Jika ingin “mengambil inpirasi” dari iPhone, mengapa tidak disertakan kesemua fungsi yang wujud bagi meletakkannya pada kedudukan yang setaraf.

Pembesar suara stereo telah wujud sejak 2013 apabila peranti utama HTC One M7 dilancarkan. Sejak itu peranti-peranti utama seperti HTC 11, iPhone 7 Plus, Samsung Galay S8 dan Xperia Z5 Premium kesemuanya mempunyai pembesar suara stereo. Kami gemar menonton video pada telefon pintar dan menonton pada peranti mono tidak lagi dapat diterima telinga elitis kami.


TIPS & ULASAN