Rekaan Airbus Helicopters RACER Diperlihatkan – Helikopter Dengan Sayap Dan Kipas Penolak

Rekaan Airbus Helicopters RACER Diperlihatkan – Helikopter Dengan Sayap Dan Kipas Penolak

Diterbitkan pada June 21, 2017 oleh .

Helikopter dengan sayap serta kipas penolak sudah wujud sejak 1950an. Sikorsky S-72 dan Fairey Rotordyne adalah antara pesawat rekaan hibrid yang berjaya diuji tetapi tidak dihasilkan secara komersial kerana teknologi yang belum cukup matang. Akhir-akhir ini rekaan hibrid helikopter dan kapal terbang kembali popular kerana memberikan kemampuan terbang menegak dan kelajuan terbang mendatar pada pesawat yang menggunakannya.

Di Pameran Udara Paris, rekaan Airbus Helicopters RACER diperlihatkan. Pesawat ini mempunyai kipas helikopter pada bahagian atas. Dua kipas penolak (pusher fan) pula terletak pada sisi dan terpasang pada dua pasang sayap. Dengan konfigurasi ini, ia mampu terbang pada kelajuan 400 kilometer sejam dengan sayap tambahan memberikan daya angkat ketika terbang secara mendatar.

RACER ialah singkatan untuk Rapid And Cost-Effective Rotorcraft. Ia diperkasakan dua enjin yang salah satunya boleh dimatikan bagi mengurangkan penggunaan minyak dan pencemaran udara. Pihak Airbus Helicopter berharap prototaip pertama dapat dihasilkan menjelang 2019 dan penerbangan pertama pada tahun 2020.

Selain Airbus Helicopters, Sikorsky-Boeing turut menghasilkan helikopter dengan sistem kipas penolak. Rekaan Future Vertical Lift (FVL) mereka diperlihatkan April lalu untuk helikopter kargo serta tempur kegunaan tentera Amerika Syarikat.


TIPS & ULASAN