10 Sebab Hari Raya Lebih Meriah Dengan Peranti Pintar

10 Sebab Hari Raya Lebih Meriah Dengan Peranti Pintar

Diterbitkan pada July 3, 2017 oleh .

Masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pembaca Amanz sekalian. Tiap tahun kami sering mendengar keluhan dari warga tua bahawa peranti pintar memusnahkan kemeriahan hari lebaran. Ia sering dipandang negatif kerana dipercayai menyebabkan sanak saudara tidak lagi berinteraksi antara satu sama.

Tetapi bagaimana pula tentang kebaikan peranti pintar? Ini jarang sekali diperkatakan. Oleh itu ini senarai 10 sebab mengapa Hari Raya lebih meriah dengan peranti pintar.

1. Aplikasi Mengelak Kesesakan Lalulintas

Waze Raya 2017Kesesakan lalu lintas dan Hari Raya datang berpasangan seperti rendang Tok dengan nasi himpit. Jutaan warga kota menggunakan hari bercuti yang panjang untuk pulang menjenguk sanak saudara di kampung. Zaman pra-peranti pintar dahulu pengguna terpaksa bergantung kepada pengumuman kesesakan jalan raya di radio setiap jam. Laporan biasanya kurang tepat dan terperangkap di kesesakan di dalam lebuh raya harus ditempuh dengan sabar walau terbakar.

Dengan aplikasi seperti Waze dan Google Maps, kesesakan lalu lintas boleh dipintas. Aplikasi dengan pantas memberikan saranan laluan paling kurang sesak. Kesemua dilakukan dengan mengumpul maklumat dari pengguna lain secara langsung. Hasilnya ialah maklumat lebih tepat dan ini bukan sahaja membolehkan pengguna mengelakkan kesesakan malah mengurangkan jumlah kenderaan pada jalan-jalan utama

2. Tidak Perlu Menghafal Frekuensi Radio

BFMradio

Kami hampir mencecah umur empat puluh tahun dan pernah mengalami zaman radio sebagai satu-satunya sumber hiburan di dalam kenderaan. Apabila pulang ke kampung frekuensi radio kegemaran jarang sekali di hafal. Tanpa Internet pada peranti mudah alih, kami tidak pilihan selain mendengar stesen radio tempatan yang kurang menarik.

Zaman sekarang dengan mudah frekuensi radio kegemaran boleh dicari menggunakan enjin carian. Lebih mudah ialah menggunakan aplikasi stesen radio dan siaran radio boleh didengari terus dari peranti pintar.

3. Koleksi Muzik Raya Di Hujung Jari

Kami hampir mencecah umur empat puluh tahun dan pernah mengalami zaman radio sebagai satu-satunya sumber hiburan di dalam kenderaan. Apabila pulang ke kampung frekuensi radio kegemaran jarang sekali di hafal. Tanpa Internet pada peranti mudah alih, kami tidak pilihan selain mendengar stesen radio tempatan yang kurang menarik.

Zaman sekarang dengan mudah frekuensi radio kegemaran boleh dicari menggunakan enjin carian. Lebih mudah ialah menggunakan aplikasi stesen radio dan siaran radio boleh didengari terus dari peranti pintar.

4. Tidak Perlu Berebut Saluran TV

Setahun sekali kesemua cucu cicit pakcik dan makcik duduk sebumbung di rumah opah. Ini menimbulkan pergeseran apabila ingin menonton saluran TV. Ada yang ingin menonton sarkas di TV17 dan ada juga yang mahu melihat Fattah Amin berlakon seperti sepohon kayu di Astro Ria.

Dengan adanya peranti pintar masalah ini tidak lagi wujud. Banyak perkhidmatan penstriman seperti Tonton dan Astro Go boleh dimuat turun pada peranti. Masalah berebut sehingga merosakkan hubungan silaturahim dapat dielakkan.

5. Duit Raya Digital

Apabila beraya, pasti ramai yang mengumpul sampul duit raya. Semasa kami masih kanak-kanak dahulu, kerap kali sampul hilang akibat terjatuh. Puluhan ringgit lebur kerana kelalaian peribadi. Pada waktu yang sama bagi yang sudah dewasa, menukar wang baru untuk dijadikan duit raya juga sesuatu yang amat melecehkan.

Dengan duit raya digital kedua-dua masalah ini diselesaikan. Duit raya boleh dihantar terus menggunakan nombor telefon. Bagi yang terlupa atau tidak sempat menukar wang, ini alternatif yang boleh digunakan untuk memberikan duit raya kepada sanak saudara.

Bagi yang inginkan keunikan, wujud aplikasi Boost yang membolehkan anda memberikan “duit raya” dalam bentuk Steam Wallet, baucer Lazada dan tiket wayang.

6. Gambar Raya Diambil Dan Dikongsi Dengan Pantas

Kami mempunyai tradisi sejak dekad 70an untuk mengambil gambar keluarga di pagi raya. Kamera akan diletakkan di ruang tamu dan kesemua ahli keluarga bergilir-gilir mengambil potret tahunan. Kami kemudian menanti selama beberapa hari untuk gambar diproses sebelum dipos kepada semua ahli keluarga. Kadang kala gambar yang diambil tidak berapa elok dan kami redha dengan apa yang diterima.

Dengan peranti pintar masalah gambar hari raya yang buruk dan menanti filem di proses boleh dilupakan. Kamera digital terkini hampir kesemuanya mempunyai aplikasi yang membenarkan viewfinder dipaparkan pada skrin telefon. Ia boleh dikawal sepenuhnya dari peranti pintar. Jika terdapat kesilapan, gambar lain boleh diambil kerana tiada had seperti segulung filem. Gambar kemudian dikongsi terus kepada kesemua ahli keluarga dengan menghantar secara Bluetooth, AirDrop dan media sosial kegemaran.

7. Lebih Mudah Mencari Lokasi Rumah Untuk Beraya

Google Maps Offline

Kepesatan pembangunan menyebabkan jalan-jalan sentiasa berubah. Kadang kala rumah sanak saudara serta teman sukar ditemui kerana sudah lama tidak dilawati. Untuk itu peranti pintar memudahkan navigasi ke rumah mereka. Lokasi GPS rumah boleh dikongsi oleh tuan rumah kepada pelawat. Tiada lagi alasan untuk sesat ketika cuba datang beraya di rumah Pak Andak sebelah mak punya makcik punya adik saudara sama nenek dua papat. .

8. Kad Raya Elektronik Menjimatkan Kos

Ini mungkin pendapat kontroversi tetapi kami lebih gemar menerima kad raya digital. Ia tidak perlu dibuang selepas berakhirnya Hari Raya dan tidak menimbulkan rasa bersalah jika anda gagal membalasnya. Tahun ini kami sedari tidak ada satu rumahpun yang kami lawati menggantung kad raya. Tradisi menghantar kad Raya fizikal mungkin telah pupus.

Kad Raya elektronik menjimatkan kos dan tidak memeningkan kepala. Tidak perlu membeli setem dan kad fizikal untuk mengucapkan salam. Anda juga tidak perlu pening kapal berfikir bilakah tarikh akhir kad raya boleh dihantar mengikut arahan Pos Malaysia.

9. Lebih Mudah Memantau Kalori

Di bulan Ramadan pasti ramai yang berjaya mengurangkan berat badan. Kami sendiri berjaya mengurangkan empat kilogram dalam masa sebulan. Ini amat membanggakan bagi seorang insan yang malas melakukan senaman. Menjadi kebiasaan pasca Ramadan ramai yang tidak mahu berat badan melambung naik semula. Dengan adanya peranti pintar, jumlah kalori yang diambil sepanjang raya dapat dipantau. Terdapat banyak aplikasi yang memudahkan anda melakukan pemantauan makanan dan menjaga diet.

10. Capaian Internet Lebih Mudah

Portable Hotspot Capaian Internet sepanjang masa adalah amat penting bagi kami kerana kami bekerja ketika hari raya. Semasa di kampung kami masih akan menulis artikel sekiranya ada masa terluang. Suatu ketika dahulu agak mustahil untuk mengemaskini laman dari kampung kerana tiada perkhidmatan Internet.

Dengan adanya peranti pintar, kami boleh menggunakannya sebagai hotspot untuk komputer riba. Rangkaian 4G sudah semakin meluas dan memastikan sambungan Internet yang pantas boleh dinikmati walaupun di kampung.

Ini senarai 10 sebab mengapa hari raya lebih meriah dengan peranti pintar? Adakah anda bersetuju dengan senarai ini?


TIPS & ULASAN