Cari @ Amanz

Pihak NVIDIA dan ASUS baru sahaja melancarkan kad grafik berdasarkan NVIDIA GeForce GTX 1060 untuk tujuan melombong kriptowang. Walaupun kad grafik ini merupakan sebuah komponen yang sangat penting untuk kegiatan tersebut, papan induk merupakan sebuah lagi perkakasan yang diperlukan untuk memaksimakan penggunaan kad grafik tersebut.

BIOSTAR, sebuah syarikat pembuat papan induk dan kad grafik OEM dari Taiwan kini baru sahaja mengumumkan kehadiran papan induk BIOSTAR TB250-BTC Pro, yang hadir dengan 12 slot PCIe untuk 12 kad grafik yang akan digunakan untuk tujuan melombong kriptowang tersebut.

Dari segi spesifikasi, papan induk ini merupakan sebuah papan induk Intel B250 yang menyokong CPU Kaby Lake dan Skylake, dan mempunyai dua slot RAM DDR4 yang mampu menampung memori sebanyak 32GB. Dari segi storan pula ia hadir dengan enam port SATA III 6Gbps, dan enam port USB, dimana empat daripadanya ialah USB 3.0, dua port USB 2.0 dan dua port USB yang memberikan kuasa sahaja.

Bercakap tentang 12 port PCIe tersebut, salah satu daripada port tersebut mempunyai sambungan jaluran 16x, manakala 11 slot yang lain mempunyai jaluran 1x sahaja. Bagi mereka yang melombong kriptowang, ini tidak menjadi satu masalah kerana perkara yang penting untuk sesebuah mesin melombong ini ialah kuasa perkomputeran untuk melombong, bukan kelajuan penghantaran data ke CPU.

Selain dari itu, untuk menggunakan slot-slot ini, pengguna juga harus membeli kurungan PCIe ataupun kabel sambungan PCIe, kerana slot-slot PCIe ini bersaiz kecil, dan tidak boleh memuatkan kad grafik bersaiz penuh. Untuk memastikan papan induk ini dapat menggunakan kesemua 12 kad grafik tanpa sebarang masalah, BIOSTAR juga menggunakan komponen-komponen bertaraf tinggi untuk memastikan pengaliran kuasa kepada kad-kad ini secara sekata.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd