Cari @ Amanz

Moto G5 Plus
Skrin 5.2” IPS LCD, 1080p, 424 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x 2.0 GHz Cortex-A53
GPU Adreno 506
Memori 4GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 12MP, f/1.7, 4K@30fps
Kamera Hadapan 5MP, f/2.2, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, Glonass
LTE band 1/3/5/7/8/19/20/28/38/40/41
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM + microSD
Sistem Android 7.0 Nougat
Bateri 3000 mAh
Berat & Ketebalan 155g, 7.7mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Motorola sebelum ini telah hadir dengan siri Moto G, iaitu peranti kelas pertengahan untuk disasarkan kepada pengguna yang mahukan peranti pada harga yang berpatutan. Melihat kembali Moto G generasi pertama pada tahun 2013, ia hadir dengan skrin 4.5-inci IPS LCD 720p, cip Snapdragon 400, memori 1GB RAM, dan kamera utama 5MP f/2.4. Pada waktu itu, jenama Motorola dipegang oleh Google, dan diberikan peningkatan kemaskini yang sangat baik iaitu daripada Android 4.3 Jelly Bean kepada Android 5.1 Lollipop. Kini, ia telah dipegang oleh Lenovo bagi meneruskan legasi Motorola dengan penawaran peranti yang lebih menarik.

Bermula Moto G4 pada 2016, Moto G telah hadir dengan versi yang lebih berkuasa iaitu versi Plus dengan penawaran spesifikasi kelas pertengahan. Moto G4 Plus hadir dengan skrin 5.5-inci IPS LCD 1080p, cip Snapdragon 617, memori 2GB RAM, dan kemampuan kamera utama 16MP f/2.0 yang hampir menyerupai penawaran Moto Z Play. Dalam hampir 5 tahun sahaja, Moto G telah melalui fasa peningkatan spesikasi yang sangat drastik, dan kini ia memasuki iterasi kelima untuk keluarga Moto G.

Moto G5 Plus meneruskan apa yang ditawarkan oleh versi Plus sebelum ini seperti kehadiran cip Snapdragon 625 yang sangat efisien melalui binaan cip 14nm. Namun skrinnya dikurangkan kepada 5.2-inci sahaja yang dilihat lebih kompak untuk digunakan oleh kebanyakan pengguna. Dengan peningkatan kamera kepada 12MP f/1.7, sokongan rakaman 4K, dan storan dalaman bermula 32GB, ia sebuah peranti yang dilihat hadir dengan pakej yang menarik.

Rekabentuk

Moto G5 Plus membawakan perubahan rekaan yang sangat drastik terutama apabila dinilai daripada rekaan pada bahagian hadapan. Ia kini membawakan rekaan yang lebih membulat pada bahagian sisi, seperti yang dilihat pada Moto Z. Rekaan bezel pada bahagian hadapan ini walau bagaimanapun dilihat agak tebal sekiranya dibandingkan dengan Moto G4 Plus yang lebih seimbang. Ia juga masih membawakan satu butang di bahagian bawah, dengan penggunaan butang kapasitif sebagai butang home + gesture dan pengimbas cap jari.

Rekaan di bahagian belakangnya pula dipengaruhi dengan Moto Z terutama rekaan kamera yang hadir dalam bingkai berbentuk bulat. Rekaannya kamera seperti ini dilihat tidak begitu menarik, dan saya lebih sukakan rekaan yang telah hadir pada Moto G4 Plus dan sebelumnya yang diletakkan secara menegak. Ia juga tidak lagi membawakan sebarang sokongan penukaran kerangka di bahagian belakang, yang mana membuatkan anda terikat dengan binaan belakang berasaskan logam sahaja melalui pilihan warna Lunar Gray/Fine Gold.

Melihat di bahagian sisi, ia membawakan butang pelarasan suara dan butang kuasa yang mana diletakkan pada bahagian kanan peranti. Namun saya agak kecewa dengan penggunaan Micro-USB berbanding USB Type-C yang telah hadir pada peranti yang lebih murah daripada peranti ini iaitu Moto M. Walaupun Micro-USB masih digunakan secara meluas, USB Type-C lebih mesra untuk kegunaan masa hadapan selain memberikan kemudahan kabel yang reversible untuk disambungkan dari mana-mana arah. Di bahagian bawah bersebelahan dengan sambungan Micro-USB ini menempatkan earphone jack 3.5mm yang dilihat sesuai dengan kedudukannya.

Bercakap mengenai pengimbas cap jari, ia menawarkan kepantasan menyahkunci peranti yang sangat pantas iaitu pada sekitar 0.3s. Selain berfungsi sebagai butang home, ia juga boleh ditetapkan sebagai butang back dengan membuat swipe ke kiri, butang untuk melancarkan multitasking dengan membuat swipe kanan, dan butang melancarkan Google Assistant dengan membuat hold pada butang ini. Ia sebuah fungsi optional dan anda diberi pilihan untuk mengaktifkan fungsi gesture pada butang ini seperti mana yang hadir pada peranti Huawei P10. Sekiranya diaktifkan, ia akan menyahaktifkan navigation bar di bahagian bawah skrin bagi memberi ruang paparan yang lebih menyeluruh.

Seperti peranti Moto G yang lain, ia tidak menyertakan sebarang fungsi IR blaster, jadi anda tidak dapat menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh. Sekiranya anda mencari ruang pengeluaran audio pada peranti ini, ia terletak di bahagian earpiece pada hadapan peranti sekaligus memberikan kelantangan audio yang optimum apabila digunakan untuk tontonan video. Namun tidak seperti Moto M, ia tidak hadir dengan sokongan Dolby Atmos untuk pendengaran audio yang lebih imersif.

Bercakap mengenai paparan, ia hadir saiz skrin yang dikurangkan daripada 5.5-inci kepada 5.2-inci apabila dibandingkan dengan Moto G4 Plus. Namun panel yang digunakan masih sama iaitu IPS LCD selain membawakan resolusi yang sama pada 1080p. Kaca yang melindungi skrin juga masih menggunakan kaca Gorilla Glass 3 berbanding kaca terkini Gorilla Glass 5 yang mungkin digunakan dalam mengurangkan kos pengeluaran peranti. Prestasi paparannya bagi saya sangat baik, terutama dari segi warnanya yang agak vivid untuk melihat kandungan multimedia seperti gambar dan video.

Moto G5 Plus telah ditawarkan dengan satu versi sahaja di Malaysia iaitu versi dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 32GB. Apa yang menariknya, ia didatangkan dengan slot dwi-sim yang bukan berasaskan hibrid, sekaligus memudahkan anda memanfaatkan kedua-dua sim dan microSD secara serentak. Sekiranya storan dalaman peranti tidak mencukupi, Moto G5 Plus mampu menggalas storan microSD pada kapasiti setinggi 128GB untuk menampung keperluan anda seperti rakaman video 4K.

Sistem

Moto G5 Plus dijana dengan sistem operasi Android 7.0 Nougat bersama penawaran antaramuka yang hampir kepada stock. Ia menyerupai apa yang ditawarkan oleh peranti Nexus/Pixel, tanpa sebarang pengubahsuaian antaramuka berasaskan tema. Antaramuka launcher pada peranti Moto G5 Plus kini mempunyai bukaan app drawer seperti Pixel Launcher, dengan menyeret dari bawah ke atas untuk membuka paparan aplikasi ini.

Dengan kehadiran Android 7.0 Nougat, ia telah membolehkan pengguna mengakses beberapa pintasan pantas pada halaman Settings, disamping membolehkan dua aplikasi dijalankan secara serentak melalui fungsi multi-window. Sebagai peranti dengan cip Snapdragon 625, ia juga mempunyai fungsi radio FM bagi memudahkan anda mendengar radio tempatan tanpa sebarang penggunaan internet.

Motorola juga telah menawarkan aplikasi Moto, iaitu aplikasi setempat untuk mengawal fungsi gesture pada peranti ini. Ia memberikan pengguna kemudahan untuk melancarkan sesuatu tugasan melalui pergerakkan peranti, seperti menggerakkan peranti secara twist untuk membuka kamera. Ia juga membolehkan pengguna menjadikan butang home sebagai butang back dan multitasking, sekiranya anda menyukai paparan yang menyeluruh tanpa perletakkan butang navigasi di bawah skrin.

Satu perkara yang saya cukup puji dengan Motorola ialah kawalan dari segi bloatware pada peranti keluaran mereka, termasuk Moto G5 Plus ini. Ia tidak dibebankan dengan kehadiran aplikasi daripada pihak ketiga yang lain dengan hanya meletakkan aplikasi yang penting sahaja untuk digunakan.

Prestasi

Moto G5 Plus dijana dengan cip Snapdragon 625 iaitu cip pemprosesan yang sama digunakan pada BlackBerry KeyONE, ASUS Zenfone 3 Zoom, dan OPPO R9s. Ia hadir dengan binaan cip lapan-teras, yang terdiri daripada 8 x Cortex-A53 2.0 GHz CPU untuk menggalas tugasan harian seperti memainkan permainan dan memberi kelancaran ketika membuat proses multitasking. Ia juga dibina berasaskan kepada rekaan 14nm FinFET, sekaligus mampu untuk memberi penjimatan sebanyak 35% berbanding rekaan 28nm pada Snapdragon 617 sebelum ini.

Apabila diuji menggunakan aplikasi AnTuTu Benchmark, Moto G5 Plus menawarkan bacaan mata sekitar 63,189 berbanding 45,190, hasil bacaan prestasi dari Snapdragon 617 pada Moto G4 Plus. Prestasinya berpadanan dengan cip HiSilicon Kirin 658, yang mana telah digunakan pada Huawei P10 Lite dengan bacaan mata sekitar 60,895. Ia juga berpadanan dengan prestasi Galaxy A5 (2017), dengan angka bacaan AnTuTu sekitar 61,020.

Apabila diuji pada dunia sebenar, cip pemprosesan Snapdragon 625 sememangnya lancar apabila menggalas kebanyakkan permainan dengan grafik intensif seperti Bully: Anniversary Edition, GTA: San Andreas, dan Asphalt Xtreme. Peranti ini sering memberi bacaan frame rate yang konsisten ketika memainkan ketiga-tiga permainan ini, tanpa sebarang isu frame drop. Dengan kehadiran memori 4GB RAM, peranti ini dapat menahan sekitar 15+ tab dan aplikasi daripada direload apabila diakses semula.

Kamera

Moto G5 Plus didatangkan dengan kamera utama 12MP f/1.7 berbanding 16MP f/2.0 pada Moto G4 Plus sebelum ini. Ia kini menyokong penggambaran yang lebih baik untuk low-light, atas penawaran aperture yang lebih besar disamping kini hadir dengan fungsi rakaman video 4K. Namun sebagai peranti yang disasarkan dengan harga yang lebih rendah, ia tidak didatangkan dengan Optical Image Stabilization (OIS) namun masih memberikan fungsi Electronic Image Stabilization (EIS) dalam mengurangkan gegaran pada gambar dan video secara elektronik. Untuk membantu penggambaran malam, kamera utama peranti ini menawarkan lampu LED flash dwi-tona bagi memberikan pencahayaan yang lebih neutral.

Hasil kualiti penggambaran Moto G5 Plus dilihat telah memberikan peningkatan dari segi ketajaman, terutama dari segi penggambaran pada waktu siang dan mesra cahaya. Kawalan dynamic range pada gambar juga mampu memberikan pencahayaan yang sekata, memberi kemudahan ketika mengambil gambar berlatar belakangkan cahaya. Warnanya walau bagaimanapun dilihat agak sedikit pudar berbanding peranti sekelasnya seperti Huawei P10 Lite, yang mana sering memberikan warna yang lebih vivid.

Namun apabila berdepan dengan situasi low-light, kamera peranti ini mula memberikan hasil gambar yang soft, seperti mana yang dialami oleh kebanyakan peranti sekelasnya. Apa yang bagusnya, ia kurang memberi masalah noise, terutama pada bahagian gelap untuk penggambaran malam.

Prestasi kamera hadapannya dilihat agak mengecewakan dengan tahap kawalan warna yang lebih kepada kemerahan. Ia juga menawarkan kualiti yang tidak tajam, jika dibandingkan dengan peranti sekelasnya yang cukup memberi perhatian pada fungsi selfie. Moto G5 Plus kelihatan sangat soft, walaupun diambil pada waktu siang dan situasi mesra cahaya.

Fungsi yang ditawarkan pada kamera Moto G5 Plus meliputi mod-mod standard seperti HDR, panorama, dan rakaman slow motion pada 120fps@720p. Fungsi rakaman manual juga turut hadir pada aplikasi kamera peranti ini, dengan menawarkan tahap kawalan ISO dari 100-3200 dan kawalan shutter speed sehingga 1/3 saat.

Dari segi rakaman videonya, saya cukup puji dengan kebolehan rakaman video HDR yang memberikan rakaman yang cukup terang dan sekata. Walaupun tidak didatangkan dengan sistem OIS, kehadiran fungsi EIS dilihat sangat baik dalam mengurangkan gegaran sewaktu rakaman. Kualitinya saya boleh kata agak tajam untuk rakaman mesra cahaya, dan kemampuan rakaman 4K sangat memberi nilai bagi anda yang inginkan peranti yang lebih future proof.

Bateri

Moto G5 Plus masih mengekalkan kapasiti 3000 mAh seperti mana yang telah hadir pada Moto G4 Plus sebelum ini. Namun dengan penggunaan skrin yang lebih kecil iaitu 5.2-inci berbanding 5.5-inci pada G4 Plus, ia mungkin mampu untuk meningkatkan masa bertahan bateri yang lebih lama. Moto G5 Plus juga kini menggunakan cip Snapdragon 625 yang lebih efisien berasaskan rekaan 14nm, ia sememangnya mampu untuk memberikan masa penggunaan yang sangat baik.

Hasil bacaan bateri yang diberikan oleh peranti Moto G5 Plus ini mampu memberikan bacaan Screen-in-Time (SoT) sekitar 7 jam 27 minit untuk masa bertahan selama 24 jam. Ia sebuah bacaan yang sangat baik, yang mana rata-rata peranti dengan harga sekitar ini mampu memberikan bacaan SoT sekitar 6 jam. Sebagai perbandingan, Huawei P10 Lite mampu memberikan bacaan SoT sekitar 6 jam 21 minit untuk penggunaan sepanjang hari.

Seperti peranti sebelumnya, Moto G5 Plus turut menyokong fungsi pengecasan pantas dalam menyingkatkan masa pengecasan peranti. Melalui teknologi TurboPower, ia mampu memberikan masa penggunaan sekitar 6 jam dengan hanya mengesan peranti ini dalam masa 15 minit. Namun untuk mengecasanya dari 0-100%, ia mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit yang mana bacaannya agak standard seperti peranti sekelasnya.

Rumusan

Moto G5 Plus menawarkan sebuah kelas pertengahan yang cukup baik apabila dinilai dari segi prestasi, kamera utama, dan jangka hayat bateri. Ia menawarkan prestasi yang sangat pantas untuk penggunaan harian, disamping memberikan prestasi permainan yang lancar dengan bacaan frame rate yang konsisten. Kamera utama 12MP f/1.7 yang hadir dilihat mampu memberi penggambaran yang menyerlah untuk penggambaran mesra cahaya, bersama-sama dengan keperincian imej yang cukup tajam. Dengan penggunaan cip 14nm, ia mampu menawarkan masa bertahan dan penggunaan sepanjang hari dengan bacaan SoT melebihi 7 jam+.

Cuma ada beberapa kekurangan yang dilihat sepanjang menguji peranti ini seperti kamera hadapannya yang cenderung untuk memberi hasil gambar yang soft dengan perwarnaan ke arah kemerahan. Rekaan peranti ini juga bagi saya kurang menarik apabila dibandingkan dengan peranti generasi sebelumnya, yang kini dihiasi dengan rekaan kamera membulat dan bezel hadapaan yang tebal. Beberapa kekurangan lain yang mungkin tidak memberi isu besar kepada pengguna umum adalah seperti kehadiran port berasaskan Micro-USB, ketiadaan IR Blaster, dan penawaran skrin yang lebih kecil daripada 5.5-inci kepada 5.2-inci.

Pro
  • Hadir dengan cip Snapdragon 625 yang pantas dan efisien.
  • Menawarkan kemampuan bateri yang lama untuk penggunaan harian.
  • Skrin memberikan paparan yang sangat baik terutama dari segi warna.
  • Pengimbas cap jari yang mampu memberi tindak balas yang pantas.
  • Fungsi kamera hadir dengan keupayaan rakaman video 4K.
  • Pembesar suara hadir pada bahagian hadapan.
  • Didatangkan dengan TurboPower untuk mengurangkan masa pengecasan peranti.
  • Hadir dengan antaramuka yang hampir kepada stock.
Kontra
  • Kamera hadapan tidak tajam, soft, dan memberikan hasil kualiti yang sangat tidak memuaskan.
  • Rekaan satu langkah ke belakang berbanding Moto G4 Plus yang lebih menarik.
  • Skrin dikecilkan daripada 5.5-inci kepada 5.2-inci.
  • Masih menggunakan Micro-USB berbanding USB Type-C yang digunakan pada Moto M.
  • Tidak mempunyai IR Blaster.

Dengan harga sekitarnya, terdapat beberapa peranti yang bersaing untuk memenangi hati pengguna seperti Huawei P10 Lite yang menawarkan rekaan yang lebih menarik dan kamera utama yang lebih vivid dari segi warna. Sekiranya anda mementingkan fungsi selfie dengan lebih lagi, Vivo V5s hadir dengan kamera hadapan 16MP dalam memberikan kualiti selfie yang lebih terang, tajam, dan perwarnaan yang lebih menarik.

Secara peribadi, Moto G5 Plus berpontensi untuk memberi sebuah peranti yang sangat baik untuk kegunaan harian, namun dilihat tidak memfokuskan kepada keupayaan kamera hadapan yang semakin mendapat tempat oleh majoriti pengguna masa kini. Rekaan juga kini kurang menarik, membuatkan pengguna yang memilih rupa peranti akan lebih berpihak kepada peranti yang ditawarkan oleh Huawei, OPPO, dan Vivo. Tetapi sekiranya anda mahukan peranti yang memberikan prestasi harian yang pantas dan ketahanan bateri sepanjang hari, Moto G5 Plus adalah sebuah peranti yang mampu memberi penawaran yang cemerlang untuk kegunaan anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd