PhotoBucket Kini Perlukan Akaun Berbayar Untuk Pengehosan Gambar Di Web Luar

PhotoBucket Kini Perlukan Akaun Berbayar Untuk Pengehosan Gambar Di Web Luar

Diterbitkan pada July 1, 2017 oleh .

PhotoBucket merupakan salah satu perkhidmatan pengehosan gambar yang terawal, membolehkan pengguna memuat-naik gambar pada PhotoBucket, dan seterusnya menggunakan gambar berkenaan di web-web pihak lain, termasuk ketika membuat tema MySpace, di Blogger, dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, dengan perkembangan arena internet, hadir beberapa perkhidmatan alternatif lain yang lebih popular, termasuk seperti Imgur.

PhotoBucket

Kini, dalam meneruskan perkhidmatan PhotoBucket, mereka telah melakukan beberapa perubahan pada penawaran mereka. Salah satu yang memberikan kesan meluas kepada pengguna seluruh dunia adalah dimana PhotoBucket kini memerlukan pengguna menggunakan akaun berbayar sekiranya ingin mengehos gambar diluar web mereka.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin memasukkan gambar daripada PhotoBucket untuk digunakan sebagai tema di Blogger (Blogspot), anda akan perlu mempunyai akaun berbayar. Pelan yang menyokong penawaran ini adalah hanya pelan yang paling tertinggi sahaja, iaitu pada harga $399.99 setahun.

Sekiranya tidak, PhotoBucket secara automatik menggantikan ia dengan sebuah imej khas yang meminta pengguna menaik-taraf akaun mereka untuk menawarkan pengehosan pihak ketiga.

Perubahan ini daripada PhotoBucket mungkin tidak digemari ramai – apatah lagi ia dilakukan sebelum memberikan notifikasi meluas kepada para pelanggan mereka seluruh dunia.


TIPS & ULASAN