Cari @ Amanz

Jam tangan pintar Huawei Watch 2 diumumkan di acara Mobile World Congress pada bulan Februari tahun ini, dan pihak Maxis sudahpun mula menjualnya melalui pelan Maxis Zerolution untuk RM98 sebulan pada hujung bulan Jun.

Terkini, pihak Huawei baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan mula menjual jam ini di kedai-kedai pengedar peranti Huawei, termasuklah kedai induk mereka di Huawei Flagship Store di pusat membeli-belah Pavilion Elite.

Jam pintar Huawei Watch 2 ini mempunyai paparan bersaiz 20mm, dan dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon Wear 2100, dan mempunyai sokongan untuk kad nano-SIM dan sambungan ke rangkaian selular dan juga 4G. Jam ini juga digerakkan oleh sistem operasi Android Wear 2.0 dan boleh disambungkan ke semua peranti-peranti Android mahupun iPhone tanpa sebarang masalah.

Rekaan Huawei Watch 2 menggunakan plastik campuran dan bukan lagi logam seperti Huawei Watch kerana syarikat tersebut kini memfokuskan peranti ini untuk mereka yang sering melakukan aktiviti lasak. Ia juga mempunyai pensijilan IP68 yang membuatkannya tahan debu dan air.

Menurut Huawei Malaysia, jam Huawei Watch 2 ini hadir dalam dua pilihan warna, termasuklah Carbon Black dan Dynamic Orange. Jam pintar Huawei Watch 2 ini akan dijual di kedai-kedai Huawei terpilih untuk harga RM1999 tidak lama lagi di laman web VMall, tetapi buat masa ini, ia hanya hadir melalui pelan Maxis Zerolution bersama-sama dengan Huawei P10.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd