Cari @ Amanz

Bagi anda yang gemar mengikuti arena fotografi, salah satu jenama kamera yang mungkin tidak asing dan pernah anda dengar adalah RED. Mereka mengeluarkan kamera premium dengan sokongan rakaman berkualiti tinggi beserta sejumlah ciri-ciri menarik.

Terkini, hari ini, RED mengumumkan mereka bakal hadir dengan sebuah telefon pintar premium seawal 2018 kelak. Telefon pintar ini dikenali dengan nama Hydrogen One.

Info penuh mengenai Hydrogen One ini masih menjadi tanda tanya. Walaubagaimanapun, RED dilihat menekankan kepada penggunaan paparan “holografik” melalui telefon pintar ini.

Hydrogen One

RED mengatakan pengguna boleh menikmati kandungan 2D tradisional pada paparan skrin resolusi penuh, melihat kandungan holografik, melihat kandungan 3D, selain turut menikmati kandungan realiti-maya, AR dan juga realiti-gabungan.

Disamping paparan, Hydrogen One juga turut dilengkapi sokongan audio multi-dimensi untuk melengkapkan tontonan holografik.

RED turut akan menyertakan sokongan komponen modular yang lebih memfokuskan kepada rakaman gambar dan video.

Info penuh mengenainya masih tidak diketahui. Tetapi, RED telah mula mengambil pra-tempahan untuk telefon pintar ini pada harga bermula $1195 (~RM5136) untuk versi aluminium dan $1595 (~RM6856) untuk versi titanium.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd