Google Menyumbang Dana Berjumlah RM 3.46 Juta Bagi Membangunkan Kecerdasan Buatan Yang Menulis Berita

Google Menyumbang Dana Berjumlah RM 3.46 Juta Bagi Membangunkan Kecerdasan Buatan Yang Menulis Berita

Diterbitkan pada July 10, 2017 oleh .

Kecedasan buatan dan robot akan menggantikan tugas manusia di masa hadapan. Ini ialah realiti yang harus dihadapi oleh generasi masa hadapan dan kerjaya yang kalis robot serta A.I perlu diwujudkan bagi memastikan tiada masalah sukar mencari kerja. Terkini Google memberikan dana berjumlah €706,000 (~RM 3.46 Juta) kepada Press Association di UK bagi membangunkan kecerdasan buatan yang mampu menulis berita.

Press Association bekerjasama dengan Urbs Media bagi menghasilkan Radar (Reporters And Data And Robots) yang mampu menulis sehingga 30,000 artikel berita setiap bulan. Radar dijangka memulakan operasi pada tahun 2018.  Dana yang diterima ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Berita Digital (Digital News Initiative) Google yang ingin memudahkan penulisan berita bagi kegunaan orang ramai.

Radar masih memerlukan lima orang wartawan manusia untuk mencari data yang relevan untuk dijadikan bahan berita. Manusia juga masih diperlukan bagi menghasilkan templat berita serta menyunting artikel yang di tulis. Sebagai contoh data dari badan audit kerajaan dan laporan tahunan syarikat dimasukkan ke dalam Radar dan artikel yang relevan boleh dihasilkan dengan pantas.

Penggunaan Radar diharap akan mengurangkan kos operasi syarikat media yang kini mengalami masalah mencari dana untuk meneruskan operasi. Di masa hadapan mungkin berita di Amanz juga akan menggunakan Radar dan anda tidak lagi perlu merungut artikel yang dipenuhi typo.


TIPS & ULASAN