Carian
Bitscout – Perisian Keselamatan Digital Untuk Membantu Mengeratkan Perhubungan Diantara Pakar Keselamatan Dan Penguatkuasa Undang-Undang
July 10, 2017 Nazrin

Dunia digital kini sedang kuat diserang oleh para penggodam. Walaupun pihak pakar keselamatan digital sedang giat mencari dalang dan kaedah disebalik serangan-serangan ini, jurang diantara pakar-pakar tersebut dan penguatkuasa undang-undang menyebabkan tindakan yang diambil oleh mereka terlalu lambat, dan ini membolehkan penjenayah-penjenayah tersebut melarikan diri sebelum apa-apa pun boleh dilakukan.

Vitaly Kamluk, pengarah Team GReAT Kaspersky Lab APAC telah mencipta sebuah perisian sumber terbuka yang memudahkan pihak penguatkuasa untuk mendapatkan bukti digital dengan mudah dan cepat yang dinamakan Bitscout. Perisian ini membolehkan penggunanya untuk mengakses komputer daripada jarak jauh, dan mengumpul bukti godaman dengan cepat dan selamat,

Menurut Vitaly, beliau mencipta Bitscout kerana di pasaran, masih tiada satu perisian yang boleh digunakan oleh pihak penguatkuasa undang-undang yang tidak terlalu kompleks dan cepat untuk mendapatkan bukti serangan penggodam.

Walaupun pihak keselamatan digital sentiasa memantau serangan-serangan ini, mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengekang dan menyiasat serangan-serangan tanpa kebenaran dari pihak berkuasa. Dengan Bitscout, Vitaly berharap bahawa bukti digital boleh diambil dengan segera, tanpa menjejaskan integritinya, supaya ia lebih mudah untuk menangkap penggodam-penggodam tersebut.

Bitscout ini mampu mengakses komputer anda secara jarak jauh, dan untuk keselamatan pengguna, ia hanya akan mengakses salinan maya komputer pengguna untuk mengumpul bukti serangan penggodam, dan tidak akan mengganggu apa-apa pun data yang asal pada komputer tersebut. Pihak penguatkuasa juga masih perlu mendapatkan kebenaran daripada pengguna sebelum perisian tersebut dapat mengakses komputer tersebut.

Bitscout juga hadir dengan ciri-ciri seperti:

  • Pengambilan salinan imej cakera (disk image)
  • Pengimbasan anti-virus dan YARA (penglasifikasi perisian hasad)
  • Pemindahan data korup ke makmal untuk tujuan penyelidikan
  • Pemulihan data yang dipadamkan secara jarak jauh
  • Pengimbasan rangkaian jarak jauh

Perisian Bitscout ini boleh dimuat-turun dari laman web Github dan sesiapa pun boleh mencubanya tanpa sebarang bayaran.

Komen