Cari @ Amanz

Moto Z2 Play
Skrin 5.5” Super AMOLED, 1080p, 401 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 626
CPU 8 x 2.2 GHz Cortex-A53
GPU Adreno 506
Memori 4GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 12MP, f/1.7, 4K@30fps
Kamera Hadapan 5MP, f/2.2, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, Glonass
LTE band 1/3/5/7/8/19/20/28/38/40/41
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM + microSD
Sistem Android 7.1 Nougat
Bateri 3000 mAh
Berat & Ketebalan 145g, 6mm

Motorola pada sebelum ini pernah hadir dengan Moto Z Play, iaitu peranti kelas pertengahan di bawah keluarga Moto Z. Keluarga peranti ini yang menariknya turut menyokong aksesori modular, membolehkan pengguna memasang aksesori seperti projektor, speaker, kamera, dan power pack pada peranti ini. Penawaran modular daripada Motorola ini boleh dikatakan antara yang paling praktikal setakat ini, dengan hanya meletakkan aksesori di bahagian belakang telefon dan aksesori ini dapat digunakan dengan serta merta.

Moto Z2 Play ialah peranti generasi kedua di bawah keluarga Moto Z ini yang masih meneruskan untuk segmen peranti kelas pertengahan. Apabila dibandingkan dengan peranti generasi sebelumnya, ia terdapat penambahan dan pengurangan dari segi spesifikasi, dengan penawaran harga yang sedikit tinggi berbanding Moto Z Play. Di Malaysia, peranti Moto Z2 Play dijual pada harga RM1,999 berbanding peranti sebelumnya yang dijual pada harga RM1,799.

Rekaan

Moto Z2 Play masih mengekalkan rekaan seperti Moto Z Play sebelum ini, dengan penambahbaikan dari segi bahan binaan dan rekaan pada butang hadapan. Butang yang berfungsi sebagai butang kini direka dengan rekaan membulat, berbanding rekaan berasaskan petak sebelum ini. Ia juga kini boleh berfungsi sebagai butang back dan multitasking, dengan mengaktifkan fungsi gesture pada tetapan Moto Actions.

Dari segi rekaan belakang, ia kini tidak lagi membawakan rekaan berasaskan kaca seperti Moto Z Play, dengan penampilan berasaskan logam sepenuhnya. Pemilihan rekaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan calar dan cap jari selain memberikan ketahanan peranti yang lebih kukuh. Rekaan kamera pada bahagian belakang ini juga masih dibina dengan rekaan yang sama, namun tidak lagi menampilkan perkataan “moto” seperti yang terdapat pada Moto Z Play.

Untuk binaan sisi, Moto Z2 Play didatangkan dengan rekaan yang lebih nipis, iaitu pada 6mm berbanding 7mm. Walaupun didatangkan dengan rekaan yang nipis, sambungan earphone jack 3.5mm masih dikekalkan pada bahagian bawah peranti untuk kemudahan mendengar muzik tanpa perlu menggunakan adapter. Ia juga menawarkan sambungan berasaskan USB Type-C, yang mana kini menyokong piawaian sambungan pantas USB 3.1.

Moto Z2 Play masih mengekalkan teknologi skrin yang sama seperti Moto Z Play seperti kehadiran paparan 5.5-inci 1080p berasaskan Super AMOLED. Paparan seperti ini sangat menarik untuk dilihat, dengan paparan yang cukup terang dan tajam melalui ketumpatan piksel sekitar 401 ppi. Melihat dan menonton kandungan multimedia pada peranti ini semestinya sangat memuaskan, dengan paparan warna yang sangat vivid berbanding penggunaan panel IPS LCD.

Dari segi storan, Moto Z2 Play kini membawakan peningkatan storan dalaman kepada 64GB berbanding 32GB pada sebelum ini. Sekiranya anda memerlukan storan dalaman dengan lebih tinggi, peranti ini juga menyokong storan luaran melalui kad microSD yang mana boleh ditingkatkan kepada 256GB. Selain slot microSD, ia juga hadir dengan slot dwi-sim berasaskan Nano-SIM untuk membolehkan anda memanfaatkan dua nombor berbeza dengan hanya menggunakan satu peranti.

Sistem

Moto Z2 Play hadir dengan Android 7.1.1 Nougat secara terbina dengan penawaran antaramuka yang hampir ke arah stock. Sejumlah besar antaramukanya masih mengekalkan penawaran antaramuka stock seperti peranti Nexus/Pixel, cuma ada terdapat penambahan dari segi fungsi dan rekaan ikon. Jika diperhatikan pada ikon Moto Z2 Play ini, ia hadir dengan rekaan yang lebih berwarna-warni berbanding menggunakan ikon dengan rekaan stock.

Menariknya, Motorola telah melengkapkan Moto Z2 Play ini dengan Moto Experiences, yang meliputi fungsi Moto Display, Moto Actions, dan Moto Voice.

Moto Display membolehkan pengguna melihat info ringkas seperti jam dan notifikasi dalam seketika waktu, dengan hanya meletakkan tangan di atas skrin ketika skrin dimatikan. Moto Actions pula membolehkan pengguna mengaktifkan beberapa gesture unik, seperti menggoncang ke kiri dan ke kanan untuk mengaktifkan kamera, dan membuat gesture “chop” seperti memotong sesuatu benda sebanyak dua kali untuk membuka lampu suluh. Akhir sekali ialah Moto Voice iaitu fungsi pembantu maya yang membolehkan anda bertanya beberapa soalan asas seperti kalendar, cuaca, dan panduan navigasi.

Kamera

Dari segi keupayaan kameranya pula, Moto Z2 Play membawakan sensor yang berbeza berbanding Moto Z Play melalui kehadiran kamera 12MP f/1.7 berbanding 16MP f/2.0. Ia masih tidak didatangkan dengan sokongan OIS seperti sebelumnya, namun masih mengekalkan sistem pemfokuskan laser dan PDAF untuk memberikan kelancaran ketika membuat fokus. Untuk sokongan penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu CCT LED flash dengan sokongan cahaya dwi-tona.

Dari segi fungsi, Moto Z Play masih mengekalkan fungsi rakaman 4K, selain memberikan kebolehan baru seperti sokongan 60fps untuk rakaman 1080p. Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia membawakan kamera 5MP f/2.0 namun telah ditampilkan dengan sokongan dual-tone CCT LED flash untuk perwarnaan selfie yang lebih natural. Beberapa fungsi lain turut hadir pada peranti ini seperti Professional Mode, Slow Motion, dan Panorama untuk dipadankan pada kegunaan fotografi pengguna.

Prestasi

Moto Z2 Play membawakan pembaharuan kecil dari segi chipset yang digunakan, melalui penggunaan cip Snapdragon 626 berbanding Snapdragon 625 yang digunakan pada Moto Z Play. Ia membawakan cip pemprosesan lapan-teras Cortex-A53 2.2 GHz dengan penggunaan GPU yang sama menerusi Adreno 506. Cuma dari segi memori, ia telah ditingkatkan kepada memori 4GB RAM daripada 3GB RAM, dalam memberikan kelancaran ketika memainkan permainan dan membuat multitasking. Dari segi percubaan awal, prestasi yang diberikan sangat lancar, terutama ketika membuka dan membuat penukaran aplikasi.

Bateri

Dengan rekaan lebih nipis, satu perkara yang dikurangkan ialah kapasiti baterinya yang kini membawakan kapasiti 3000 mAh berbanding 3510 mAh pada Moto Z Play. Namun dengan penggunaan cip berasaskan 14nm, pihak Motorola mengatakan ia masih mampu menawarkan keupayaan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT yang lama untuk penggunaan harian.

Melalui pengalaman menggunakan peranti Snapdragon 625 dengan bateri 3000 mAh, ia mampu memberikan bacaan SoT sekitar 6-7 jam untuk penggunaan sekitar 24 jam. Dari segi sokongan pengecasan pula, Moto Z2 Play turut menyokong fungsi pengecasan pantas TurboPower yang membolehkan peranti dicas dari 0-100% dalam masa 1 jam 40 minit.

Moto Mods

Moto Z2 Play masih menyokong sejumlah aksesori modular Moto Mods generasi terdahulu seperti Moto Insta-Share Projector, Hasselblad True Zoom Camera, dan JBL SoundBoost, jadi anda boleh menggunakan Moto Mods lama anda pada peranti ini. Pada acara pelancaran peranti Moto Z2 Play ini, pihak Motorola turut memperlihatkan beberapa mod baru seperti Moto GamePad, Moto Style Shell with Wireless Charging, Moto TurboPower Pack, dan JBL SoundBoost 2 yang mana bakal hadir pada sekitar Julai-Ogos tahun ini.

Rumusan

Secara kasarnya, Moto Z2 Play menawarkan penambahbaikan dari segi rekaan yang kini menggunakan binaan logam berbanding binaan berasaskan kaca. Dari segi rekaan butang juga ia membawakan penawaran butang home yang lebih baik, dengan kawalan berasaskan gesture untuk bertindak sebagai butang back dan multitasking. Ia juga memberikan binaan yang lebih nipis, dengan menawarkan binaan peranti senipis 6mm sahaja berbanding 7mm pada Moto Z Play.

Selain daripada binaan, ia juga memberi peningkatkan dari spesikasi yang kini menawarkan memori 4GB RAM berbanding 3GB RAM pada sebelum ini. Keupayaan kamera juga ditambah baik, dengan memberi peningkatan aperture yang lebih besar melalui kamera 12MP f/1.7 untuk penggambaran malam yang lebih baik. Tidak dilupa juga, ia kini menyokong rakaman 60fps untuk rakaman 1080p bagi mendapatkan fungsi rakaman yang lebih sinematik.

Cuma satu aspek sahaja yang dikurangkan, iaitu kapasiti baterinya kini membawakan kapasiti 3000 mAh berbanding 3510 mAh pada Moto Z Play sebelum ini. Perbezaan 510 mAh mungkin dilihat kecil, tetapi mungkin mengurangkan bacaan SoT berbanding Moto Z Play yang turut menggunakan cip berasaskan 14nm. Moto Z2 Play juga ditawarkan dengan harga lebih mahal, iaitu pada harga RM1,999 berbanding RM1,799 untuk peranti sebelumnya.

Namun dengan sejumlah peningkatan yang hadir pada Moto Z2 Play, peningkatan harga sebanyak RM200 nampaknya memberikan lebih nilai, terutama bagi pengguna yang belum pernah memiliki siri Moto Z ini. Dengan kemampuan sokongan aksesori modular yang tiada tandingan buat masa ini, Moto Z2 Play meneruskan penawaran peranti unik dengan rekaan yang elegan, penawaran peranti pantas, dan kemampuan kamera yang lebih baik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd