Cari @ Amanz

Jika anda telah membaca ulasan laptop Acer Predator 21X kami sebelum ini, anda pasti akan berasa terkejut dengan spesifikasi dan juga tanda harga laptop tersebut. Kini, hadir lagi sebuah laptop dengan spesifikasi yang lebih kurang sama dan juga tanda harga yang pastinya akan membuatkan dompet anda lari ketakutan jika ianya mempunyai kaki untuk berbuat demikian.

Laptop yang kami perkatakan ini ialah MSI GT83VR Titan, sebuah laptop berkuasa tinggi yang akan membuatkan ramai penggemar-penggemar permainan komputer iri hati; bukan sahaja dengan dompet anda yang cukup dalam, tetapi juga spesifikasi yang hadir di dalam laptop ini yang cukup hebat.

Spesifikasi

MSI GT83VR Titan SLI
Skrin 18.4″ IPS FHD 1920×1080 pixel
Pemproses Intel Core i7-6820HK
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 x2
RAM 32GB DDR4
Muatan Dalaman 512GB SSD NVMe x2, HDD 1TB
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
I/O USB 3.0 Type-A x4
USB 3.1 TYpe-C x1
Pembaca kad SD x1
Video HDMI 2.0 x1 (4K/2K)
DisplayPort x1
Lain-lain KillerLAN 2×2 802.11ac

Laptop MSI GT83VR Titan SLI ini hadir dengan spesifikasi yang cukup mengagumkan. Dari segi CPU, ia dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core i7-6820HK, memori DDR4 sebanyak 32GB dan juga gabungan storan PCIe SSD dan cakera keras sebanyak 512GB dan 1TB yang boleh diubahsuai mengikut keperluan anda.

Laptop ini dilengkapi dengan sepasang kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 di dalamnya, yang secara teorinya mampu menggerakkan paparan yang mempunyai resolusi 4K. Sayang sekali, dua kad ini hanya disambungkan kepada paparan skrin IPS 18.4 inci yang mempunyai resolusi Full HD (1920×1080) sahaja.

Sayang sekali lagi, paparan besar ini tidak hadir dengan sebarang sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA GSYNC, manakala kadar segar semulanya pula terhad pada 60Hz sahaja. Pada pendapat kami, dengan dua kad grafik GTX 1080 ini, MSI sepatutnya memuatkan paparan skrin yang mempunyai resolusi sekurang-kurangnya 2K dengan sokongan NVIDIA GSYNC dan kadar segar semula 120Hz.

Dari segi kelengkapan I/O, laptop MSI GT83VR Titan ini hadir dengan jumlah port yang cukup untuk menyambungkan pelbagai jenis perkakasan dan aksesori ke laptop ini. Ia mempunyai lima port USB 3.0, tiga di sebelah kanan dan dua lagi di bahagian kiri laptop ini, sebuah port USB 3.1 Type-C yang juga merangkap sebuah port Thunderbolt 3 di bahagian belakang laptop, satu port HDMI yang boleh disambungkan ke monitor 4K dengan kadar segar semula 60Hz, satu port Mini DisplayPort, sebuah port RJ-45 Cat-5 untuk sambungan Internet berwayar.

Untuk sambungan audio, laptop ini mempunyai beberapa pilihan port, termasuklah dua buah port 3.5mm untuk fon kepala dan mikrofon, satu sambungan audio untuk SPDIF dan sebuah lagi untuk TOSLINK.

Bukan itu sahaja, jika anda masih lagi menggunakan cakera padat, mahupun DVD dan Blu-Ray, MSI GT83VR Titan ini juga mempunyai sebuah pemacu Blu-Ray yang boleh digunakan dengan media-media tersebut.

Rekabentuk

Rekaan laptop MSI GT83VR Titan ini tidaklah jauh berbeza dengan kebanyakan laptop MSI yang lain. Ia mempunyai rekabentuk yang cukup agresif, terutama sekali dengan penggunaan kerangka berwarna hitam dengan kemasan berwarna merah.

Oleh kerana spesifikasinya yang terlampau berkuasa, laptop MSI GT83VR Titan ini bukanlah sebuah laptop yang mudah untuk dibawa kemana-mana sahaja. Walaupun anda boleh memasukkannya ke dalam sebuah beg, dengan berat 5.5kg, anda mungkin perlu mula mengangkat berat untuk menggerakkan laptop ini dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Ini tidak mengambil kira dua bongkah kuasa 300W yang diperlukan untuk menguasakan kesemua komponen-komponen laptop ini. Tidak seperti laptop Acer Predator 21X sebelum ini, MSI menggunakan sebuah penyesuai yang menggabungkan kabel daripada kedua-dua bongkah kuasa ini kepada laptop tersebut melalui satu kabel sahaja.

Cangkerang laptop MSI ini menggunakan gabungan beberapa jenis plastik untuk melindungi komponen-komponen yang dimasukkan di dalam mesin ini. kerangka asasnya menggunakan sejenis plastik keras yang cukup kukuh, manakala bahagian paparan pula dilindungi oleh sebuah panel logam.

Empat lubang pengudaraan dapat dilihat di bahagian belakang laptop GT83VR ini untuk mengalirkan udara panas daripada komponen-komponen yang digunakan.Sistem penyejukan MSI Cooler Boost Titan yang direka khas digunakan bagi menyejukkan komponen-komponen dalaman laptop ini.

Dari segi papan kekunci, MSI GT83VR Titan ini hadir dengan papan kekunci mekanikal dari Steel Series yang menggunakan suis mekanikal Cherry MX Brown yang cukup selesa digunakan sama ada untuk menaip atau sesi permainan komputer. Ia juga hadir dengan sokongan untuk sistem penyalaan RGB yang boleh diubahsuai melalui perisian Dragon Centre.

Di sebelah papan kekunci ini ialah pad sesentuh yang boleh digunakan sebagai sebuah trackpad mahupun sebagai sebuah numpad. Penggunaan pad sesentuh ini sebagai trackpad tidak mendatangkan sebarang masalah, akan tetapi ia sedikit janggal apabila digunakan sebagai numpad kerana pad numerik sesentuh mengalami kesukaran untuk menerima input tekanan dari jari-jemari kami.

Pihak MSI juga mengutamakan audio untuk laptop ini, dan memuatkan sistem pembesar suara 4.1 yang menggunakan perisian audio Nahimic 2. Ini memberikan pengguna laptop MSI GT83VR Titan pengalaman audio yang cukup mengagumkan. Tidak kira jika anda sedang bermain permainan komputer, mendengar lagu ataupun menonton filem, pembesar suara 4.1 MSI GT83VR Titan ini cukup berkuasa untuk memastikan bahawa anda dapat mendengar setiap kesan audio dengan jelas.

Apabila bermain permainan komputer seperti Call of Duty dan Counter Strike: Global Offensive, kami dapat mendengar arah pergerakan musuh kami dengan jelas sekaligus memudahkan kami untuk menunggu dan menyerang hendap musuh-musuh kami dengan cepat dan tangkas.

Ciri-Ciri

MSI GT83VR Titan ini hadir dengan pelbagai ciri-ciri dan perisian yang membuatkan penggunaan laptop ini sebuah pengalaman yang cukup baik dan menyeronokkan.

Ciri pertama yang ingin kami ketengahkan di sini ialah kebolehan laptop ini untuk menyokong tiga paparan beresolusi 4K dengan kadar segar semula 60Hz (MSI Matrix Display) melalui port-port HDMI, DisplayPort dan juga Thunderbolt 3. Walaupun paparan yang digunakan dengan laptop ini hanya mempunyai resolusi Full HD 1080p, port-port tersebut boleh digunakan dengan paparan-paparan 4K tersebut untuk memaksimakan penggunaan dua kad grafik GTX 1080 di dalam laptop ini.

Sebuah lagi ciri mensasarkan kepada paparan 18.4 inci laptop ini. Walaupun ia hanya hadir dengan resolusi 1920×1080 60Hz, MSI bekerjasama dengan Portrai Displays Inc. untuk hadir dengan teknologi MSI True Color yang memberikan paparan tersebut sokongan untuk hampir 100 peratus warna sRGB, dan dalam pada itu, lima tetapan paparan yang berlainan untuk tujuan penggunaan paparan yang berbeza.

Selain daripada mod sRGB, paparan ini juga hadir dengan lima tetapan untuk penggunaan yang berbeza. Tetapan tersebut adalah :

  1. Blue Light – Jika anda ingin membaca menggunakan laptop ini buat jangka masa yang panjang,
  2. Designer – Warna yang lebih neutral apabila melakukan kerja rekaan,
  3. Office  – Paparan yang tidak menyakitkan mata apabila melakukan tugas-tugas pejabat,
  4. Movie – Tetapan untuk menonton filem ataupun siri TV
  5. Gamer – Tetapan untuk bermain permainan video.

Sayang sekali, tetapan-tetapan ini tidak boleh diubahsuai, dan anda hanya boleh menggunakan mod-mod yang ditetapkan oleh pihak MSI.

Sebuah ciri yang ada kami sentuh sebelum ini ialah sistem penyejuk MSI Cooler Boost Titan. Tiga buah kipas digunakan di dalam sistem penyejukan ini. Dua daripadanya hadir dengan kipas 29 bilah untuk menyejukkan dua kad grafik NVIDIA GTX 1080. Sebuah lagi kipas dengan 23 bilah digunakan untuk menyejukkan  pemproses CPU Intel Core i7.

Di bahagian tepi dan belakang MSI GT83VR Titan ini terdapat empat lubang pengudaraan yang bertujuan untuk mengalirkan haba keluar daripada laptop. Jumlah haba yang dialirkan berkadar terus dengan kelajuan putaran kipas Cooler Boost. ini akan membuatkan kipas tersebut berbunyi agak bising. Pada tetapan kelajuan tertinggi, putaran kipas-kipas ini kedengaran dengan kuat di seluruh pelusuk pejabat kami.

Bercakap tentang dengan sistem penyejukan, laptop ini juga hadir dengan sistem overclocking pantas MSI Shift yang hanya memerlukan anda menekan satu butang sahaja untuk mengaktifkannya. Bagi mereka yang kurang arif tentang tetapan overclocking, ini adalah ciri yang amat dihargai.

Sama seperti sistem gear pada sebuah kereta, MSI Shift hadir dengan beberapa mod. Misalnya Eco Mode akan menggunakan jumlah tenaga yang sangat sedikit khusus untuk mereka yang hanya menggunakan laptop untuk tugas-tugas ringan seperti menaip ataupun melayari laman web.

Comfort Mode pula menambah sedikit kuasa kepada laptop sambil memastikan kipas-kipas penyejuk masih lagi senyap. Di dalam mod ini, anda boleh bermain permainan komputer yang tidak terlalu kompleks seperti Dota, League of Legends dan sekutunya tanpa perlu risau mengenai prestasi dan bunyi kipas yang bising.

Bagi mereka yang ingin menggerakkan permainan komputer ataupun video pada resolusi dan tetapan yang lebih tinggi, Sport Mode adalah pilihan anda. Pada mod ini, anda boleh bermain permainan komputer yang memerlukan kuasa CPU dan grafik yang lebih tinggi dari biasa.

Jika anda mempunyai peranti realiti maya seperti Oculus Rift mahupun HTC Vive, anda boleh menggunakan port HDMI untuk menyambungnya kepada laptop ini. Kami tidak mempunyai sebarang peranti realiti maya, tetapi apabila spesifikasi laptop MSI GT83VR Titan ini dibandingkan dengan spesifikasi asas untuk menggunakan headset realiti maya, kami pasti laptop ini tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menggerakkannya.

Untuk menggunakan tetapan Comfort Mode dan ke atas, anda perlu menyambungkan kedua-dua blok kuasa ke laptop GT83VR Titan ini, jika tidak, tetapan-tetapan tersebut tidak boleh diaktifkan.

Jika anda seorang yang mementingkan kualiti audio, laptop ini tidak akan mengecewakan anda. Sistem audio Nahimic 2 menguasakan sistem pembesar suara laptop MSI GT83VR Titan hadir dengan beberapa tetapan audio khusus untuk permainan video dan juga pelbagai tugasan multimedia yang lain.

Dalam pada itu, jika anda mempunyai fon kepala kelas atasan, laptop ini juga hadir dengan DAC (Digital Audio Converter) ESS Sabre HiFi Audio yang dibina khusus untuk digunakan bersama-sama dengan fon kepala kelas premium. Port audio 3.5mm yang hadir dengan DAC ini boleh dilihat sedikit berbeza daripada port audio 3.5mm yang biasa, dan melaluinya, perbezaan kualiti audio jelas kedengaran,

Terdapat sebuah lagi ciri yang menarik pada laptop ini, dan pada hemat kami, merupakan ciri yang cukup penting bukan sahaja untuk laptop GT83VR Titan ini, tetapi juga kesemua siri gaming laptop daripada MSI: MSI Dragon Centre.

MSI Dragon Centre merupakan sebuah perisian yang cukup penting kerana disinilah pengguna dapat mengawal pelbagai ciri-ciri seperti warna lampu RGB, memerhati butiran sistem, pengubahsuaian kelajuan CPU dan kipas penyejuk secara manual apabila anda mengaktifkan Turbo Mode.

Dari perisian ini juga anda boleh melakukan tugas-tugas seperti data backup, menentukur bateri, mendaftar produk MSI dan juga mengakses perisian lain seperti SteelSeries Engine, XSplit Gamecaster dan sebagainya.

Boleh dikatakan kesemua ciri-ciri pengubahsuaian untuk laptop MSI GT83VR Titan ini boleh diakses melalui MSI Dragon Centre, dan ia sebuah perisian yang sangat penting untuk memaksimakan prestasi laptop dan pengalaman anda menggunakan laptop ini.

Pengalaman Pengguna

Pada pendapat kami, laptop MSI GT83VR Titan SLI ini sebuah komputer desktop berkuasa tinggi di dalam rangka sebuah laptop. Ini bukan sahaja dapat dilihat dari segi spesifikasinya, tetapi dari rekaan dan betapa beratnya laptop ini.

Pada ukuran berat 5.5kg dan ketebalan 6.9cm, laptop ini sesuai dibawa ke acara-acara seperti LAN Party namun perlu kami ingatkan bahawa anda juga perlu membawa dua bongkah kuasa 300W untuk menguasakan kesemua komponen-komponen di dalam laptop ini.

Selain dari itu, kami juga menasihatkan bahawa anda tidak menghilangkan kabel penyesuai yang menggabungkan kedua-dua bongkah kuasa tersebut ke laptop ini kerana untuk mendapatkan sebuah penyesuai gantian adalah agak sukar.

Dari segi penggunaannya pula, kami cukup suka dengan laptop ini sebagai sebuah mesin pengganti desktop (desktop-replacement machine). Walaupun laptop ini mengambil sejumlah kawasan yang agak besar untuk sebuah laptop, ia masih kecil jika dibandingkan dengan sebuah komputer desktop yang beberapa kali ganda lebih besar darinya.

Apabila kami menguji laptop ini dengan beberapa jenis permainan komputer, kami tidak terkejut apabila kesemua permainan video yang kami uji dapat dimainkan pada tetapan grafik yang paling tinggi tanpa sebarang masalah. Malahan, satu-satunya kekurangan yang terdapat pada laptop ini, pada pendapat kami ialah paparan skrin 18.4 inci yang hanya mempunyai resolusi Full HD 1080p.

Jika anda mempunyai wang untuk membeli laptop ini, kami menyarankan bahawa anda juga membeli sebuah paparan yang mempunyai resolusi sekurang-kurangnya 2K dengan sokongan untuk NVIDIA G-SYNC serta kadar segar semula 120Hz dan keatas untuk memaksimakan penggunaan dua kad grafik NVIDIA GTX 1080.

Dalam pada itu, sewaktu ujian kami juga, kami tidak pernah perlu meng-overclock laptop ini melebihi Comfort Mode kerana permainan-permainan komputer tersebut, termasuklah Rise of The Tomb Raider, Doom, Deus Ex: Mankind Divided semuanya mampu digerakkan dengan tetapan yang sangat tinggi, dan tiada bunyi bising daripada kipas.

Bercakap tentang overclocking, di dalam Sport Mode, kipas penyejuk Cooler Boost Titan akan nyaring kedengaran walaupun anda hanya sedang menggunakan laptop ini untuk melayari laman web dan menonton video sahaja. Ini kerana di dalam mode ini, CPU dan kad grafik yang digunakan akan terus di-overclock pada kadar yang agak tinggi, dan kipas-kipas Cooler Boost tersebut akan terus berputar untuk menyejukkannya ke tahap yang ditetapkan.

Apabila anda menggunakan Turbo Mode pula, anda boleh mengubahsuai kelajuan CPU, GPU dan juga kipas-kipas melalui perisian MSI Dragon Centre untuk mendapatkan kadar prestasi, suhu dan bunyi kipas yang paling optimum.

Kami perlu menasihati anda bahawa sistem overclock hanya akan berfungsi apabila laptop ini dipasangkan ke kedua-dua bongkah kuasa 300W. Ini kerana sejumlah kuasa yang agak tinggi diperlukan untuk mengubahsuai kelajuan CPU dan kad grafik.

Papan kekunci mekanikal SteelSeries yang digunakan dalam pembinaan laptop MSI GT83VR Titan ini juga sangat selesa digunakan, dan penggunaan suis mekanikal Cherry MX Brown adalah seimbang untuk menaip dan juga bermain permainan komputer yang selesa.

Satu-satunya kelemahan di sini ialah ketiadaan tempat letak tangan untuk penggunaan jangka-masa yang lama.

Bercakap tentang penggunaan jangka-masa yang lama, laptop MSI GT83VR Titan ini hadir dengan bateri 8-sel, dan mempunyai jangka-hayat sekitar 2 jam sahaja apabila digunakan untuk kegunaan harian, dan lebih pendek jika anda bermain permainan video.

Bagi mereka yang ingin menambah-baik komponen-komponen di dalam laptop ini, mereka boleh melakukannya dengan membuka panel di bahagian bawah. Komponen-komponen seperti RAM, storan cakera keras dan SSD boleh ditukar dengan hanya menggunakan sebuah pemutar skru.

Pilihan CPU

MSI menawarkan dua jenis model untuk laptop MSI GT83VR Titan SLI. Model yang kami ulas hadir dengan CPU generasi ke-6 Intel Core i7-6820HK, manakala jika anda mahukan cip pemprosesan yang terbaru oleh syarikat pembuat cip tersebut, laptop ini juga hadir dengan CPU Intel Core i7-7920HQ.

Jika anda tertanya-tanya tentang perbezaan lain tentang kedua-dua model laptop ini, kami boleh menjawab bahawa selain daripada CPU, kesemua komponen lain, termasuklah jumlah storan, memori dan juga kad grafik GTX 1080 dalam konfigurasi SLI yang digunakan adalah sama.

Dari segi tanda harga pula, ini adalah tanda harga yang diberikan oleh pihak MSI Malaysia untuk kedua-dua model laptop ini:

  • MSI GT83VR 6RF Titan SLI : RM20,999
  • MSI GT83VR 7RF Titan SLI: RM24,999

Dari tanda-tanda harga yang diberi, jika dibandingkan dengan laptop Acer Predator 21X yang diulas sebelum ini, harga laptop MSI ini yang mempunyai spesifikasi yang hampir sama tidaklah semahal laptop tersebut. Selain itu, laptop MSI GT83VR Titan SLI ini boleh dibeli di kedai-kedai seperti kedai MSI di Plaza LowYat, dan ia tidak terhad seperti laptop Predator 21X.

Kesimpulan

Laptop MSI GT83VR Titan SLI adalah sebuah lagi laptop kelas bangsawan yang lebih berkuasa dari kebanyakan komputer desktop di luar sana. Tanda harganya tidaklah setinggi Acer Predator 21X, tetapi pada nilai RM20,000 sehingga RM27,000, laptop ini mempunyai nilai yang sama dengan sebuah kereta terpakai.

Sama seperti laptop yang dibandingkan sebelum ini, kami hanya boleh menyarankan pembelian MSI GT83VR Titan SLI kepada golongan pemain permainan komputer yang tegar. Berita baiknya, jika anda membeli laptop ini, anda tidak perlu lagi menukar komputer yang baru untuk sekurang-kurangnya 5-6 tahun yang akan datang, kerana dua kad grafik NVIDIA GTX 1080 yang dimuatkan ke dalam laptop ini akan mampu menggerakkan apa sahaja permainan video untuk satu jangka-masa yang cukup lama.

Pro Kontra
  • Spesifikasi yang cukup berkuasa
  • Dua kad grafik NVIDIA GTX 1080
  • Mampu menggerakkan apa sahaja jenis permainan komputer tanpa sebarang masalah
  • Komponen boleh ditukar melalui panel di bawah laptop
  • Sistem pembesar suara yang nyaring dan merdu
  • Tanda harga yang mahal
  • Paparan skrin dengan resolusi yang terlalu rendah
  • Penggunaan dua bongkah kuasa yang sangat besar

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd