Cari @ Amanz

Honor sebelum ini pernah hadir dengan Honor 8, iaitu peranti paling berkuasa di bawah jenama Honor dengan rekaan berasaskan kaca. Ia membawakan spesifikasi seumpama Huawei P9, seperti kehadiran cip HiSilicon Kirin 950 bersama penawaran memori 4GB RAM. Setelah hampir setahun pengeluaran peranti ini, Honor telah mengeluarkan versi kemaskini untuknya, menerusi Honor 8 Pro dengan spesifikasi seumpama Huawei P10.

Honor 8 Pro
Skrin 5.7” LTPS IPS LCD, 2K, 515 ppi
Chipset HiSilicon Kirin 960
CPU 4 x Cortex-A73 2.4 GHz
4 x Cortex-A53 1.8 GHz
GPU Mali-G71
Memori 6GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 12MP+12MP, f/2.2, 4K@30fps
Kamera Hadapan 8MP, f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, Glonass
LTE band 1/3/5/7/8/20/38/40
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM/microSD
Sistem Android 7.0 Nougat
Bateri 4000 mAh
Berat & Ketebalan 184g, 7mm
Harga RM1,999

Honor 8 Pro didatangkan dengan cip HiSilicon Kirin 960 iaitu cip pemprosesan paling berkuasa yang dihasilkan oleh Huawei setakat ini. Prestasinya boleh dikatakan berpadanan dengan cip Snapdragon 821 iaitu cip pemprosesan yang digunakan pada peranti Google Pixel dan LG G6. Ia juga kini dilengkapi dengan memori 6GB RAM, menyerupai apa yang ditawarkan oleh pesaing terdekatnya iaitu peranti OnePlus 3T.

Tetapi apa yang membuatkan peranti ini lebih ke hadapan berbanding pesaing terdekatnya, ia hadir dengan skrin 5.7-inci pada resolusi 2K, selain menawarkan kapasiti 4000 mAh untuk kemampuan bateri sepanjang hari. Ia juga hadir dengan rekaan nipis dan elegan, melalui penawaran peranti senipis 7mm tanpa sebarang camera bump di bahagian belakang.

Rekaan

Honor 8 Pro menawarkan rekaan yang sedikit berlainan berbanding Honor 8, dengan menampilkan rekaan berasaskan logam berbanding binaan menggunakan kaca pada bahagian belakang peranti. Ia juga masih mengekalkan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, namun tidak lagi memberikan akses butang yang boleh ditekan seperti Honor 8. Rekaan bahagian belakang ini juga hadir dengan perletakkan dwi-kamera, namun rekaannya kini memberi penampakkan antena pada bahagian ini.

Untuk binaan hadapan, ia masih mengekalkan rekaan seperti Honor 8 sebelum ini dengan penjenamaan Honor di bahagian bawah tanpa sebarang kehadiran butang fizikal. Butang navigasi masih bergantung pada butang soft key di atas skrin, dengan memberi akses untuk menukar lokasi butang back dan butang multitasking melalui halaman Settings. Binaan kaca pada bahagian hadapan ini juga masih hadir dengan binaan kaca sisi 2.5D, dalam meningkatkan imej rekaan yang lebih menarik untuk dilihat.

Dari segi skrin, Honor 8 Pro telah membawakan rekaan skrin yang lebih besar, iaitu sebesar 5.7-inci pada resolusi 2K. Ia juga masih dijana dengan panel LTPS IPS LCD, dengan paparan yang lebih vivid berbanding penggunaan panel IPS LCD biasa. Ia juga menyajikan paparan yang tajam melalui ketumpatan piksel setinggi 515 ppi, yang mana sesuai untuk dijadikan sebagai peranti untuk paparan realiti-maya (VR). Sebagai keselamatan, paparan ini dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 3 bagi mengurangkan kesan hentakan dan calar.

Honor 8 Pro turut mengekalkan sambungan USB Type-C seperti Honor 8 sebelum ini dengan piawaian USB 2.0. Ia juga masih menawarkan sambungan earphone jack 3.5mm di bahagian bawah peranti bagi memudahkan anda membuat pendengaran muzik tanpa penggunaan adapter. Apa yang menariknya, ia juga membawakan sokongan IR blaster di bahagian atas peranti untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Honor 8 Pro ditawarkan dalam satu versi sahaja di Malaysia iaitu versi dengan storan dalaman 64GB bersama memori 6GB RAM. Ia ditawarkan dalam dua warna berbeza menerusi warna biru dan hitam, yang mana agak berbeza dengan Honor 8 yang mempunyai penawaran berwarna putih. Sekiranya storan dalaman tidak mencukupi, ia juga menawarkan slot microSD sehingga 256GB yang mana dikongsi pada slot sim kedua.

Sistem

Honor 8 Pro dijana dengan EMUI 5.1 iaitu iterasi antaramuka terkini oleh Huawei yang dibina di atas Android 7.0 Nougat. Ia membawakan antaramuka yang ringkas dan ceria, melalui penawaran antaramuka yang berasaskan kepada tema. Ia menawarkan enam tema terbina di dalam peranti ini dengan kebolehan untuk memasang tema lain secara luaran. Dari segi paparan homescreen pula, anda diberi pilihan sama ada untuk meletakkan butang app drawer atau membiarkan aplikasi menghiasi keseluruhan homescreen anda.

Seperti EMUI 5.1 yang hadir pada Huawei P10, ia telah dioptimasikan dengan kaedah machine learning bagi memastikan kelancaran peranti walaupun digunakan dalam tempoh masa yang agak lama. Ia juga hadir dengan beberapa fungsi menarik seperti Knuckles Gesture yang membolehkan anda mengaktifkan sesuatu arahan seperti mengambil screenshot dengan hanya ‘mengetuk’ skrin peranti sebanyak dua kali. Fungsi Motion Control pula membolehkan anda mute peranti anda dengan hanya meletakkan paparan hadapan peranti ke meja. Selain ciri-ciri ini, EMUI juga hadir dengan fungsi Floating Dock untuk kawalan navigasi melalui butang terapung dan App Clone untuk membuat aplikasi pendua.

Dengan kehadiran Android 7.0 Nougat, ia juga memberikan kebolehan split-screen secara natif untuk memudahkan anda menjalankan dua aplikasi secara serentak. Ia juga memudahkan anda membuat reply pada mesej yang hadir, melalui fungsi Direct Reply untuk kebolehan membalas mesej terus daripada paparan notifikasi. Selain kedua-dua fungsi ini, ia juga hadir dengan fungsi Data Saver, Doze On-the-Go, dan sejumlah emoji baru berasaskan Unicode 9.

Kamera

Honor 8 Pro dilihat masih menawarkan sokongan dwi-kamera 12MP f/2.2 seumpama yang hadir pada Honor 8. Ia menggunakan teknik gabungan sensor RGB dan monokrom dalam memberikan pencahayaan yang lebih sekata selain membantu untuk meningkatkan mutu warna pada gambar. Namun seperti Honor 8 sebelum ini, ia masih tidak dilengkapi dengan penstabilan imej secara optikal dan hanya dibantu melalui penstabilan imej elektronik.

Dengan kehadiran dwi-kamera, peranti ini membolehkan pengguna mendapatkan imej dengan kesan bokeh, seolah-olah diambil dari kamera DSLR. Hasil percubaan bermain peranti ini dalam beberapa minit, gambar yang diambil memberikan kesan bokeh yang lebih baik berbanding Honor 8, terutama kemasan di bahagian sisi objek. Ia kini lebih tepat dan sekata, seperti mana gambar bokeh yang diambil dari Huawei P10.

Tidak seperti Honor 8, Honor 8 Pro kini membolehkan pengguna mengambil gambar monokrom secara natif, bagi mendapatkan penggambaran monokrom yang lebih tajam dengan perwarnaan hitam yang lebih jitu. Ia juga kini dilengkapi dengan fungsi rakaman 4K selain menyokong fungsi rakaman video 1080p@60fps untuk kemampuan rakaman video yang lebih lancar.

Prestasi

Cip HiSilicon Kirin 960 yang hadir pada Honor 8 Pro sememangnya memberikan prestasi berkelas flagship melalui kehadiran cip lapan-teras. Ia terdiri daripada dua kluster berbeza iaitu 4 x Cortex-A72 2.4 GHz dan 4 x Cortex-A53 1.8 GHz dalam memberi keseimbangan untuk kegunaan prestasi dan penjimatan bateri. Ia juga hadir dengan pemproses grafik Mali-G71 dengan sokongan Vulkan, dalam memberi kelancaran ketika memainkan permainan bersama-sama dengan keupayaan grafik intensif.

Secara kasarnya, cip ini berprestasi hampir menyerupai cip Snapdragon 821 apabila diuji melalui AnTuTu Benchmark. Padanan cip Kirin 960 bersama memori 6GB RAM mampu memberikan mata AnTuTu sebanyak 138,978, menewaskan prestasi Google Pixel yang menggunakan cip Snapdragon 821. Sebagai perbandingan, peranti Google Pixel mencatatkan mata sekitar 133,403 apabila diuji melalui aplikasi penanda aras ini.

Bateri

Walaupun didatangkan dengan rekaan senipis 7mm, Honor 8 Pro masih mampu menawarkan kapasiti bateri yang agak tinggi iaitu pada sekitar 4000 mAh. Menurut Honor, ia mampu memberikan penggunaan sekitar 2 hari untuk kegunaan biasa dan dijangka memberikan bacaan SoT seumpama Huawei P10 Plus untuk penggunaan berat. Walau bagaimanapun, ia tidak dilengkapi dengan Huawei SuperCharge seperti Huawei P10, namun masih menyingkatkan masa pengecasan peranti melalui teknik pengecasan 9V/2A. Untuk masa pengecasan peranti ini, ia dikatakan mampu mengambil masa sekitar 1 jam 45 untuk mengecas peranti ini dari 0-100%.

Rumusan

Honor 8 Pro dilihat mampu memberikan sebuah penawaran peranti yang cukup berkuasa, melalui penggunaan cip HiSilicon Kirin 960 yang memberikan prestasi setanding cip Snapdragon 821. Dengan penggunaan cip Mali-G71, ia mampu menawarkan prestasi permainan yang pantas dengan pengoptimasian daripada Vulkan API untuk meningkatkan kualiti grafik permainan. Melalui kehadiran memori 6GB RAM, memainkan permainan, membuka dan membuat penukaran aplikasi dapat dilakukan dengan pantas tanpa berhadapan dengan isu hiccup sepanjang menggunakan peranti ini.

Paparan Honor 8 Pro sebesar 5.7-inci LTPS IPS LCD pula mampu memberi pengalaman multimedia yang memuaskan, melalui paparan yang tajam dengan perwarnaan yang jitu. Dengan kehadiran resolusi 2K bersama ketumpatan piksel setinggi 515 ppi, ia juga memberi kelebihan untuk penggunaan VR, dengan paparan yang terang berbanding penggunaan resolusi 1080p.

Honor 8 Pro juga mempunyai aspek penggambaran yang baik, melalui kehadiran dwi-kamera 12MP dalam menawarkan penggambaran yang terang dan sekata dari segi cahaya dan perwarnaan pada gambar. Ia juga memberi kelebihan kepada pengguna dengan fungsi Aperture Mode, dalam memberi peluang kepada pengguna menghasilkan penggambaran dengan kesan bokeh, seumpama diambil dari sebuah DSLR. Ia juga didatangkan dengan fungsi monokrom dan fungsi rakaman 4K, bagi memenuhi keperluan penggambaran mudah-alih anda.

Secara keseluruhannya, Honor 8 Pro hadir dengan pakej peranti yang begitu seimbang, dengan kehadiran binaan yang elegan, paparan skrin yang terang, disamping memberi prestasi permainan yang pantas. Ia juga salah sebuah peranti yang mampu memberi keupayaan kamera yang menyerlah disamping mampu untuk menawarkan keupayaan bateri sepanjang hari. Pendek kata, ia adalah sebuah peranti yang disasarkan untuk pengguna yang mahukan peranti yang cukup berkuasa tanpa perlu berbelanja melebihi RM2,000.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd