CPU AMD Ryzen Threadripper Dan Ryzen 3 Bakal Hadir Untuk Pasaran Global Tidak Lama Lagi
AMD

CPU AMD Ryzen Threadripper Dan Ryzen 3 Bakal Hadir Untuk Pasaran Global Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada July 14, 2017 oleh .

Pihak AMD mengumumkan ketibaan siri CPU paling berkuasa mereka, AMD Ryzen Threadripper sewaktu acara COMPUTEX beberapa bulan yang lalu. Siri CPU ini, hadir dengan cip pemprosesan yang mempunyai sehingga 16 teras dan 32 bebenang kuasa yang mampu menggerakkan aplikasi-aplikasi yang digunakan oleh pereka industrial dan juga para jurutera.

AMD baru sahaja mengumumkan bahawa siri CPU AMD Ryzen Threadripper tersebut, yang direka khusus untuk pasaran HEDT (High End Desktop) akan hadir dalam dua variasi; Ryzen Threadripper 1950X akan hadir dengan konfigurasi 16 teras dan 32 bebenang kuasa pada kelajuan 3.4GHz, manakala Ryzen Threadripper 1920X pula mempunyai 12 teras dan 24 bebenang kuasa pada kelajuan 3.5GHz.

Kedua-dua CPU ini dijangka hadir pada awal bulan Ogos kelak untuk pasaran global pada harga $999 untuk Ryzen Threadripper 1950X dan $799 untuk Ryzen Threadripper 1920X.

Selain dari itu, AMD juga akhirnya mengumumkan kehadiran CPU kelas mampu-milik mereka, AMD Ryzen 3 untuk pasaran global juga. Siri CPU ini hadir dengan empat teras dan empat bebenang kuasa, dan akan hadir dalam dua model, Ryzen 3 1300X yang mempunyai kelajuan asas 3.5GHz dan juga AMD Ryzen 3 1200 dengan kelajuan 3.1GHz.

Tanda harga untuk kedua-dua CPU ini masih belum lagi diumumkan, tetapi AMD telahpun menyuarakan bahawa CPU-CPU Ryzen 3 ini akan mula dijual di seluruh dunia bermula 27 Julai ini.


TIPS & ULASAN