(Ura-Ura) ASUS ROG Swift PG35VQ Dan PG27VQ Bakal Memasuki Pasaran Malaysia Pada Penghujung Tahun Ini

(Ura-Ura) ASUS ROG Swift PG35VQ Dan PG27VQ Bakal Memasuki Pasaran Malaysia Pada Penghujung Tahun Ini

Diterbitkan pada July 14, 2017 oleh .

Jika anda seorang pembina PC yang gilakan nyalaan warna-warni RGB, anda pasti gembira mengetahui bahawa pihak ASUS Malaysia akan hadir dengan dua pilihan paparan skrin ASUS ROG yang menyokong sistem penyalaan Aura SYNC mereka.

Paparan-paparan skrin ini termasuklah ASUS ROG Swift PG35VQ dan juga ASUS ROG Swift PG27VQ, yang dibina khusus untuk tujuan permainan komputer yang hadir dengan teknologi paparan NVIDIA G-SYNC yang mengurangkan masalah screen-tearing apabila bermain permainan komputer pada tetapan tertinggi melalui penggunaan komponen-komponen berkuasa tinggi yang merabakkan dompet.

Monitor ASUS ROG Swift PG35VQ merupakan sebuah paparan bersaiz 35 inci dengan resolusi 3440×1440 Ultrawide QHD dengan nisbah paparan 21:9 dan kadar segar semula 200Hz. Ia menggunakan panel Quantum Dot yang dipopularkan oleh pihak Samsung, dan juga mampu menyokong teknologi HDR yang menghasilkan warna paparan yang cukup terang.

Paparan skrin ASUS ROG Swift PG27VQ pula sebuah monitor bersaiz 27 inci dengan resolusi 2560×1440 dengan nisbah paparan 16:9 yang lebih tradisional dengan kadar segar semula 165Hz. Tidak seperti model PG35VQ, paparan ini menggunakan panel TN (Twisted Nematic) yang boleh dilihat di kebanyakan paparan skrin moden hari ini.

Menariknya, kedua-dua paparan ini juga, yang ditunjukkan untuk pertama kalinya di acara Computex 2017 tahun ini hadir dengan sistem pencahayaan RGB Aura SYNC yang boleh menyalakan berjuta-juta jenis warna di bahagian belakang paparan-paparan tersebut. Sistem ini juga boleh diselarikan dengan pelbagai komponen dan aksesori yang menyokong sistem pencahayaan ini melalui perisian Aura SYNC oleh ASUS.

Pihak ASUS Malaysia, apabila ditanya menyatakan bahawa ada kemungkinan yang cukup besar bahawa kedua-dua paparan ini akan hadir di pasaran Malaysia pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Apa-apa pun, paparan ini pasti menjadi pelengkap kepada sistem komputer RGB anda apabila ia dilancarkan nanti.


TIPS & ULASAN