Ulasan: BlackBerry KEYone – Produktiviti Perkasa Dengan Perlindungan Sekuriti Berganda

Ulasan: BlackBerry KEYone – Produktiviti Perkasa Dengan Perlindungan Sekuriti Berganda

Diterbitkan pada July 20, 2017 oleh .

Kali terakhir saya menggunakan peranti BlackBerry adalah pada tahun 2012, menerusi peranti BlackBerry Curve 8300 yang dibeli secara second hand pada harga RM150. Itulah peranti yang membuatkan saya jatuh cinta dengan BlackBerry, melalui keunikan papan kekunci fizikalnya yang mudah untuk menaip sesuatu perkara, dan BIS, iaitu perkhidmatan BlackBerry Internet Service (BIS) dengan pelan data yang cukup murah pada waktu itu. Dengan BIS, saya dapat menikmati internet tanpa had dengan hanya RM20 sebulan, yang mana dikhaskan untuk kegunaan aplikasi BlackBerry seperti BBM, email, web browser, dan aplikasi media sosial.

BlackBerry KEYone
Skrin 4.5” IPS LCD, 1620×1080, 433 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x 2.0 GHz Cortex-A53
GPU Adreno 506
Memori 3GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 2TB
Kamera Utama 12MP, f/2.0, [email protected]
Kamera Hadapan 8MP, f/2.2, [email protected]
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS, BDS2
LTE band 1/2/3/4/5/7/8/12/13/
17/19/20/28/29/30/38/39/40/41
Jenis Slot SIM Nano-SIM + microSD
Sistem Android 7.1 Nougat
Bateri 3505 mAh
Berat & Ketebalan 180g, 9.4mm
Tempoh Ujian
Peranti
1 minggu

Selepas BlackBerry mengumumkan BlackBerry 10 OS, BIS tidak lagi dijadikan sebagai medium untuk mengakses internet pada peranti BlackBerry, sebaliknya menggunakan medium data standard seperti yang digunakan pada majoriti peranti lain. Pelan data standard tidak lagi tertakluk pada sesuatu aplikasi, dan kuota akan digunakan untuk apa jua aktiviti yang melibatkan internet pada peranti, melainkan ada perubahan kuota untuk aplikasi tertentu yang ditentukan melalui telco.

Selepas ketiadaan BIS, cinta saya pada peranti BlackBerry hanyalah tinggal pada papan kekunci fizikalnya sahaja.

Saya pernah menggunakan BlackBerry Z10 iaitu peranti untuk saya mendekati platform baru BlackBerry, BlackBerry 10. Ia adalah sebuah platform yang cukup berkuasa melalui ketangkasan multitasking, gesture yang unik, dan penawaran sistem yang mampu menjalankan aplikasi Android. Namun, seperti platform Windows Phone/Windows 10 Mobile, sokongan aplikasi natif semakin berkurangan akibat peralihan kepada pembangunan aplikasi yang difokuskan kepada sistem operasi Android dan iOS.

BlackBerry beralih kepada platform Android melalui pengenalan BlackBerry Priv dengan rekaan peranti berbertuk slider. Ia agak besar apabila papan kekunci dibuka, dan saya lebih gemar dengan rekaan kekunci dan paparan yang disatukan dalam satu bentuk peranti candybar. Selepas diambil-alih oleh TCL, BlackBerry pernah hadir dengan peranti Android dan rekaan skrin sentuh sepenuhnya melalui siri BlackBerry DTEK, namun tidak begitu mengujakan saya atas ketiadaan papan kekunci fizikal.

Sewaktu BlackBerry KEYone mula menghiasi arena internet, saya amat gembira dengan kemunculannya, atas sebuah peranti yang dikuasakan dengan Android dengan papan kekunci fizikal. Inilah peranti BlackBerry yang saya nanti-nantikan sejak awal Januari lalu, dan kini, saya hampir seminggu menggunakannya sebagai peranti harian saya.

Rekabentuk

Sewaktu mula memegang peranti ini, saya cukup menyukai dengan tubuh fizikalnya, yang mana memberikan citarasa yang sangat kukuh apabila berada di tangan. Rekaan logam dengan sedikit lengkungan di bahagian sisi cukup memberi keselesaan, apatah lagi digarapkan dengan tekstur berasaskan getah di bahagian belakang. Tekstur ini sangat membantu untuk mengurangkan masalah peranti licin, selain memberi penampilan peranti yang elegan melalui binaannya yang berasaskan warna hitam. Penampilan warna hitam dan logam pada peranti ini memberi satu kombinasi yang cukup harmoni, menggambarkan ia adalah sebuah peranti produktiviti yang mempunyai kelasnya tersendiri.

Rekaan bahagian hadapannya pula sedikit sebanyak telah mengembalikan kembali nostalgia sewaktu zaman kegemilangan BlackBerry, dengan menampilkan rekaan berasaskan skrin dan papan kekunci fizikal. Walaupun mengekalkan beberapa elemen lama, rekaan KEYone ini saya boleh kata kelihatan agak segar dan moden, dengan sentuhan sisi yang sedikit dilengkungkan. Rekaan hadapannya dihiasi dengan skrin sebesar 4.5-inci dengan menampilkan butang navigasi Android di bahagian bawah skrin. Di bahagian atas skrin pula menawarkan kamera hadapan 8MP f/2.2, saluran earpiece, lampu LED RGB, dan sensor (ambient dan proximity).

Papan kekunci fizikal KEYone masih mengekalkan susun atur yang sama seperti papan kekunci tradisional BlackBerry, tidak seperti BlackBerry Passport yang menawarkan susun atur baru. Ia mengekalkan sejumlah besar butang pada kedudukan yang sama seperti peranti legasi BlackBerry, dengan sedikit sentuhan moden seperti kehadiran butang input suara Google Voice Typing pada butang 0. Butang space bar juga telah didatangkan dengan pengimbas cap jari terbina, selain berfungsi sebagai butang shutter ketika menggunakan fungsi kamera.

Pengimbas cap jarinya mampu menyahkunci peranti dengan lancar, namun tidak sepantas yang hadir pada peranti OnePlus 5, Galaxy S8, mahupun Huawei P10. Seperti kebanyakan peranti lain, ia mampu menyahkunci dengan hanya meletakkan jari pada sensor ini sewaktu skrin dimatikan, tanpa perlu menghidupkan skrin atau menekan butang home terlebih dahulu seperti yang perlu dilakukan pada iPhone. Namun pengimbas cap jari ini tidak ditampilkan dengan sebarang fungsi tambahan seperti kebolehan mengunci aplikasi dan fail, selain hanya berfungsi ketika membuat pengesahan sewaktu pembayaran online atau ketika ingin log masuk sesuatu akaun pada aplikasi terpilih.

Papan kekunci ini yang menariknya hadir dengan ciri-ciri pintar, seperti kebolehan touchpad yang direka secara terbina di pada bahagian papan kekunci ini. Ia membolehkan pengguna membuat scroll ketika melayari web, Twitter, dan Instagram, disamping membolehkan anda membuat kawalan shutter speed, ISO, dan exposure pada aplikasi kamera. Ia juga hadir dengan kebolehan gesture, memudahkan anda memilih teks ramalan yang dipaparkan (pada bahagian bawah skrin) dengan hanya membuat swipe jari anda ke atas. Apabila anda ingin memilih sesuatu teks atau ingin memperbetulkan sesuatu typo, anda hanya perlu membuat isyarat “double tap” pada touchpad untuk mengeluarkan fungsi cursor. Ingin memadam sesuatu teks? Swipe ke kiri atau ke kanan untuk memadam teks yang anda sedang menaip.

Sewaktu saya menerima peranti ini, saya sebenarnya agak kekok dengan perletakkan butang convenience key di sebelah kanan peranti, yang mana sering disalah tekan sebagai butang kuasa. Butang kuasa pula ditempatkan pada bahagian kiri, yang mana lebih sesuai sekiranya butang convenience key ini ditempatkan pada bahagian ini. Di atas butang convenience key yang berada di sisi kanan peranti pula menempatkan butang pelarasan suara dan slot-sim yang disatukan bersama slot microSD.

Pembesar suara KEYone ditempatkan pada bahagian bawah peranti, namun hadir dengan saluran audio berasaskan mono. Kualiti audio yang dihasilkan cukup kuat untuk pendengaran di dalam bilik, namun adalah lebih baik sekiranya ia mempunyai saluran berasaskan stereo, dengan menjadikan saluran earpiece sebagai saluran audio sekunder. Di bahagian bawah ini juga menawarkan sambungan data dan pengecasan berasaskan USB Type-C dengan piawaian sambungan pantas USB 3.1. Sambungan earphone jack 3.5mm ditempatkan pada bahagian atas peranti, bersama-sama dengan satu saluran untuk mikrofon.

Paparan sebesar 4.5-inci pada peranti ini walaupun dilihat kecil, ia sebenarnya agak besar untuk peranti dengan rekaan candybar. Melihat kandungan web, gambar, dan dokumen masih memberikan penglihatan yang selesa, walaupun saya lebih mengharapkan peranti ini dijana dengan panel AMOLED berbanding IPS LCD. Ia juga dijana dengan resolusi 1620×1080, yang mana memberikan paparan yang tajam untuk teks melalui ketumpatan piksel 433 ppi. Dari segi kekuatan skrin, ia dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 4, bagi mengurangkan kesan hentakan dan calar.

Paparan peranti BlackBerry KEYone agak berbeza dengan peranti lain, yang mana menawarkan nisbah paparan 3:2 berbanding nisbah majoriti 16:9. Nisbah peranti ini walaupun agak berbeza, tetapi sebenarnya dilihat bersesuaian dengan peranti berasaskan candybar seperti KEYone ini. Ia tidak terlalu memanjang ke atas dan masih sesuai untuk kegunaan multi-window pada Android 7.1 Nougat.

Cuma apabila digunakan untuk tontonan video atau penggambaran 4:3/16:9, ia akan memberi paparan dengan sisi hitam yang mungkin tidak begitu memuaskan sesetengah pengguna. Apabila melihat nisbah ini, satu perkara yang terlintas di fikiran saya adalah dengan mencuba untuk memainkan permainan Nintendo DS. Hasilnya, ia benar-benar sangat praktikal, membolehkan dwi-paparan konsol ini memenuhi setiap sudut skrin 3:2 pada peranti ini. Dengan kombinasi papan kekunci fizikal di bawah skrin yang boleh ditetapkan sebagai butang D-PAD, X/Y, dan A/B, ia sebuah peranti yang sempurna untuk menjalankan permainan Nintendo DS pada sebuah telefon mudah-alih.

BlackBerry KEYone hanya ditawarkan dalam satu versi storan sahaja iaitu versi dengan memori 3GB RAM dan storan dalaman 32GB. Sekiranya storan dalaman peranti tidak mencukupi, KEYone menawarkan slot storan luaran microSD, yang mana boleh ditingkatkan sehingga 2TB. Tetapi satu sahaja perkara yang tidak dibawa KEYone berbanding peranti flagship lain (kecuali iPhone), iaitu sokongan slot dwi-sim. Ia hanya menawarkan satu slot sim sahaja berasaskan Nano-SIM untuk tujuan panggilan dan data.

Sistem

BlackBerry telah mula menggunakan sistem operasi Android bermula daripada pengenalan BlackBerry Priv pada tahun 2015, dan diteruskan untuk keluaran peranti BlackBerry DTEK sehinggalah pada BlackBerry KEYone ini. Menariknya, KEYone hadir dengan sistem operasi terkini Android 7.1 Nougat, bersama penawaran sekuriti yang ditawarkan secara bulanan seperti peranti Google Pixel. Dengan penggunaan sistem operasi Android, peranti BlackBerry kini tidak lagi berdepan dengan masalah kekurangan aplikasi, yang mana memberikan pengguna dengan akses kepada 3 juta aplikasi pada Google Play Store.

Sistem operasi Android 7.1 Nougat yang hadir pada KEYone menawarkan antaramuka yang lebih menyerupai stock, dengan sedikit tweak dan penambahan aplikasi yang dilakukan oleh BlackBerry.

BlackBerry Launcher membawakan paparan launcher yang standard, dengan perletakkan app drawer yang ditempatkan secara berasingan. Paparan app drawer ini direka dengan rekaan berasaskan Material Design, mengingatkan saya dengan rekaan app drawer pada Google Now Launcher. Cuma ia tidak menampilkan paparan Google Now pada bahagian kiri, membuatkan anda perlu melihatnya secara manual dengan membuka aplikasi Google.

BlackBerry Launcher menampilkan sejumlah fungsi unik seperti Pop-up widgets yang membolehkan anda melihat widget dengan hanya membuat hold pada ikon aplikasi. Pada bahagian settings untuk launcher ini, ia juga membolehkan anda menetapkan keyboard shortcuts, dengan menetapkan sesuatu aksara pada papan kekunci fizikal untuk melancarkan sesuatu tugasan atau aplikasi. Seperti contoh, dengan hanya menekan kekunci “I” untuk beberapa saat, saya boleh melancarkan aplikasi Instagram apabila menetapkan aplikasi ini untuk aksara “I” ini. Launcher ini yang menariknya turut menyokong icon pack daripada pihak ketiga, membolehkan anda menetapkan ikon luaran hasil daripada muat-turun.

BlackBerry turut menawarkan sejumlah fungsi dan aplikasi menarik pada peranti Android keluaran mereka, seperti sokongan BlackBerry Hub. Fungsi Hub ini menjadi salah satu fungsi kegemaran saya sewaktu menggunakan BlackBerry Curve 8300, yang mana membolehkan anda melihat kesemua notifikasi daripada aplikasi berbeza di dalam satu paparan mudah. Fungsi ini masih setanding dengan apa yang ditawarkan pada BlackBerry OS terdahulu, cuma kini ia sentiasa diberi penambahbaikan atas kehadirannya sebagai sebuah aplikasi.

BlackBerry turut menawarkan aplikasi DTEK, iaitu pusat sehenti untuk mengawal kadar privasi dan sekuriti pada peranti ini. Ia akan memaparkan sejumlah perkara yang mampu mengundang privasi, dan seterusnya mengesyorkan anda untuk menanganinya. Fungsi kegemaran saya ialah fungsi Privacy Shade, yang membolehkan pengguna melihat sesuatu bahagian skrin yang dilindungi dengan lapisan paparan berwarna hitam. Ia amat berguna sekiranya anda sedang membaca maklumat sulit atau ketika ingin memasukkan input yang dirahsiakan. Selain daripada fungsi-fungsi ini, BlackBerry turut menghadirkan aplikasi BBM, Password Keeper, Notes, Tasks, dan BlackBerry Device Search untuk digunakan pada kegunaan produktiviti pengguna.

Sebagai peranti yang menjalankan Android 7.1 Nougat, ia turut menampilkan fungsi multi-window yang membolehkan anda menjalankan dua aplikasi pada satu paparan. Ia juga telah memudahkan pengguna untuk membuat reply pada notifikasi yang hadir, melalui fungsi Direct Reply, tanpa perlu membuka aplikasi. Selain daripada fungsi-fungsi ini, Nougat telah menampilkan sejumlah emoji baru berasaskan Unicode 9, selain hadir dengan fungsi Doze On-the-Go untuk penjimatan bateri ketika bergerak.

Prestasi

BlackBerry KEYone dijana dengan cip Snapdragon 625 iaitu cip pemprosesan yang sama digunakan pada ASUS Zenfone 3 Zoom, Oppo R9s, dan Moto G5 Plus. Ia menawarkan cip pemprosesan lapan-teras, yang mana terdiri daripada 8 x Cortex-A53 2.0 GHz untuk memberi kelancaran ketika membuka aplikasi dan memainkan permainan. Ia juga membawa binaan berasaskan 14nm FinFET, dalam memberi penjimatan sekitar 35% apabila dibandingkan dengan Snapdragon 617 yang dibina melalui rekaan 28nm.

Apabila cip pemprosesan ini diuji melalui AnTuTu Benchmark, BlackBerry KEYone berprestasi lebih pantas berbanding BlackBerry Priv dengan mencatatkan mata sekitar 62,392 berbanding 49,117. Walaupun KEYone didatangkan dengan cip kelas pertengahan, ia lebih memberikan prestasi yang lebih pantas atas kehadiran bilangan teras dan frekuensi yang lebih besar. Sebagai perbandingan, Snapdragon 808 hadir dengan 2 x Cortex-A57 1.82 GHz dan 4 x Cortex-A53 1.44 GHz.

Untuk pengalaman penggunaan di dunia sebenar, BlackBerry KEYone dengan cip Snapdragon 625 tidak tidak memberi sebarang isu lag mahupun hiccup sepanjang mengguna dan melancarkan aplikasi. Cuma dari sudut multitasking, penggunaan 3GB RAM tidak memberi kepuasan ketika membuat multitasking, terutama dari segi bilangan aplikasi yang mampu ditahan secara background. Sekiranya ia hadir dengan memori 4GB RAM, aplikasi yang mampu berjalan di belakang tabir adalah lebih banyak, selain mengurangkan masa untuk membuat penukaran aplikasi.

Dari segi prestasi permainannya, memainkan permainan terkini seperti Asphalt: Xtreme, Bully Anniversary Edition dapat dimainkan dengan begitu lancar dengan bacaan frame rate yang konsisten. Cuma dengan rekaan seperti ini, ia bukanlah direka untuk kegunaan permainan, tetapi mampu untuk menjalankan sejumlah permainan kegemaran anda sekiranya diperlukan.

Kamera

BlackBerry KEYone menawarkan kamera utama 12MP Sony IMX378 dengan aperture f/2.0 dan sensor sebesar 1/2.3″. Menariknya, kamera KEYone dengan saiz piksel 1.55um ini merupakan teknologi kamera yang sama digunakan pada Google Pixel, iaitu peranti mudah-alih terbaik pada tahun lalu apabila dinilai dari sudut fotografi. Peranti daripada Google ini menawarkan keupayaan kamera harian yang begitu seimbang untuk waktu siang dan malam, disamping memberi keupayaan dynamic range yang cemerlang melalui keupayaan unik HDR+ daripada aplikasi Google Camera.

Walaupun membawakan teknologi kamera yang sama, KEYone tidak dilengkapi dengan algoritma HDR+ seperti Pixel, membuatkan hasil penggambaran daripada kedua-dua peranti agak sedikit berbeza. Seperti Pixel, KEYone juga tidak didatangkan dengan Optical Image Stabilization (OIS), sebaliknya bergantung kepada fungsi Electronic Image Stabilization (EIS) untuk kebolehan penstabilan imej dan video berasaskan software.

Peranti BlackBerry pada sebelum ini tidak terkenal dengan keupayaan fotografi yang baik, tetapi KEYone benar-benar mengubah aspek penggambaran pada peranti BlacKBerry. Ia sebuah peranti yang mampu memberikan kualiti gambar yang terang dan tajam, disamping menawarkan warna yang cukup vivid seperti yang dihasilkan pada kebanyakan peranti flagship terkini. Saya amat memuji kawalan dari segi dynamic range, walaupun tidak sehebat Google Pixel, ia mampu mengurangkan masalah overexposed pada belakang objek (seperti langit menjadi putih) atau masalah underexposed (seperti objek menjadi silhouette).

Saya juga cukup mengagumi dengan keupayaan low-light pada peranti ini, yang mampu memberi hasil penggambaran yang menyerlah tanpa dibebankan dengan masalah soft yang agak ketara. Hasil penggambarannya masih tajam terutama dari segi keperincian objek, dengan pengurangan noise pada kawasan yang gelap. Prestasinya mengingatkan saya ketika menguji keupayaan kamera Google Pixel, yang mana memberi kawalan cahaya yang amat baik tanpa memberi masalah cahaya yang berselerak pada gambar.

Untuk keupayaan kamera hadapannya pula, ia mampu mengambil selfie dengan baik, cuma keperinciannya tidaklah sebaik yang hadir pada peranti flagship. Ia kadangkala memberi gambar selfie yang soft terutama mengambil gambar dalam keadaan yang gelap atau ketika situasi kurang cahaya. Warnanya juga kadangkala memberi perwarnaan yang sedikit ke arah kemerahan, yang mana tidak sebaik pewarnaan yang terdapat pada peranti yang memfokuskan kepada selfie. Tetapi sebagai sebuah peranti yang direka untuk golongan berkerjaya, aspek ini tidaklah memberi isu yang besar, apabila anda lebih menggunakan kamera hadapan untuk tujuan produktiviti.

Secara asalnya, BlackBerry KEYone mengambil gambar pada nisbah 3:2 iaitu nisbah yang jarang digunakan pada peranti mudah-alih. Tetapi ia masih membenarkan anda untuk menukar nisbah penggambaran ke 4:3 atau 16:9 sekiranya anda tidak beberapa kisah dengan viewfinder kamera yang tidak memenuhi keseluruhan skrin.

Dari segi fungsi, saya boleh kata penawaran yang hadir pada kamera KEYone amat menyeluruh, seperti yang hadir pada peranti yang memfokuskan kepada kamera. Ia hadir dengan butang kawalan yang mudah dilihat dan diakses, memudahkan anda menukar mod sesuatu kamera tanpa perlu mencarinya.

Pada bahagian atas, ia menempatkan sejumlah butang kawalan seperti lampu flash, timer, nisbah gambar, HDR, dan butang untuk mengakses tetapan penggambaran. Di bahagian bawahnya pula memudahkan anda mengakses gambar yang baru diambil, butang untuk penukaran kamera hadapan/belakang, shutter button, butang penukaran mod penggambaran, dan butang filter. Kesemua butang ini mudah dilihat dengan jelas tanpa perlu mencarinya pada mana-mana bahagian yang disorokkan seperti yang terjadi pada aplikasi Google Camera.

Apa yang saya suka dengan aplikasi kamera peranti ini, ia tidak dibebankan dengan fungsi penggambaran gimik dan hanya meliputi fungsi-fungsi standard yang sering digunakan seperti penghasilan panorama dan slow-motion. Untuk keupayaan manual, anda boleh mengaktifkannya pada bahagian Settings > Control Mode > Manual dan tetapan Manual/Auto ini akan diingati setiap kali anda membuka aplikasi kamera, seperti fungsi Preserve Settings pada iOS.

Untuk tetapan manualnya, saya cukup puji dengan kawalan yang diberikan, yang membolehkan pengguna mengawal fokus secara manual, shutter speed, ISO, white balance, dan exposure. Apa yang menarik lagi, sejumlah tetapan ini boleh dikawal melalui touchpad pada papan kekunci, tanpa perlu menyentuh skrin. Seperti contoh, sekiranya saya ingin menetapkan kadar ISO dari 100 ke 400, saya hanya perlu menggerakkan jari saya pada touchpad ke atas (dalam keadaan peranti melintang) untuk menetapkannya. Sangat mudah dan praktikal.

Dari segi keupayaan rakaman video, ia menawarkan sejumlah tetapan resolusi dan frame rate yang boleh dipilih pengguna, seperti [email protected]/30/60fps, [email protected]/30/60fps, dan [email protected]/30fps. Kualiti rakamannya saya boleh kata ia sangat baik, terutama dari segi pencahayaan videonya yang sering memberi hasil yang agak terang. Warna dari video juga memberikan hasil perwarnaan yang cerah, melalui penghasilan warna yang vivid seperti penggambaran imej biasa. Cuma atas ketiadaan OIS, video yang diambil lebih terkesan dengan masalah gegaran, terutama ketika mengambil rakaman ketika bergerak.

Bateri

BlackBerry KEYone menawarkan kapasiti bateri yang agak besar apabila dibandingkan dengan skala saiz skrinnya, dengan muatan kapasiti 3505 mAh. Dengan penggunaan skrin 4.5-inci pada resolusi 1080p, ia mampu menawarkan bacaan bateri yang lebih lama, apatah lagi digandingkan dengan cip Snapdragon 625 yang terkenal dengan penggunaan tenaga yang efisien. Melalui ulasan peranti yang menggunakan Snapdragon 625, rata-ratanya mampu memberikan bacaan Screen-on-Time (SoT) melebihi 6 jam+.

Hasil bacaan bateri yang diberikan oleh BlackBerry KEYone mampu mencatatkan penggunaan yang agak lama, dengan bacaan SoT sekitar 8 jam 26 minit untuk masa bertahan sekitar 24 jam. Ia semestinya suatu bacaan yang baik atas bacaan SoT melebihi 4 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Namun bacaan peranti terbaik yang pernah hadir daripada peranti Snapdragon 625 ialah ASUS Zenfone 3 Zoom (5000 mAh) dengan bacaan SoT melebihi 13 jam.

BlackBerry KEYone turut menyokong fungsi pengecasan pantas melalui piawaian Quick Charge 3.0 daripada Qualcomm yang mana mampu mengecas peranti sehingga 50% dalam masa 36 minit. Untuk masa pengecasan keseluruhannya pula, ia mengambil masa sekitar 1 jam 55 minit untuk mengecas peranti ini dari 0-100%. Bacaan ini boleh dikatakan agak baik apabila dibandingkan dengan peranti lain seperti Galaxy S8 (1 jam 40 minit) dan OnePlus 5 (1 jam 39 minit) atas masa pengecasan di bawah 2 jam.

Apabila anda menyambungkan peranti ini ke alat pengecas, KEYone akan memaparkan beberapa pilihan pengecasan seperti Charge Only dan Boost Mode. Dengan memilih Charge Only, peranti akan dicas seperti biasa namun mungkin akan mengambil masa pengecasan yang lebih lama sekiranya anda menggunakan peranti ketika dicas. Tetapi apabila anda memilih Boost Mode, peranti akan dikurangkan dari segi prestasi dan aplikasi yang berjalan di belakang tabir, untuk memberi masa pengecasan yang lebih singkat dan konsisten.

Rumusan

Walaupun didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, BlackBerry KEYone masih mengekalkan citarasa klasik dan elemen premium apabila anda memegang dan menggunakan peranti ini. Rekaan yang diperbuat dari kombinasi logam dan tekstur getah di bahagian belakang benar-benar menaikkan imej rekaan yang elegan, apatah lagi dengan mutu rekaannya yang cukup kukuh di tangan. Papan kekunci dengan susur atur yang serupa seperti peranti klasik BlackBerry cukup memberi impak kepada elemen nostalgia, yang mana kini digarapkan dengan penggunaan moden melalui penampilan touchpad secara terbina. Satu perkara yang cukup puji adalah akses shortcuts yang begitu menyeluruh, yang membolehkan pengguna mengaktifkan sesuatu fungsi daripada butang convenience key atau dengan menekan aksara pada papan kekunci peranti ini.

Cuma dari segi spesifikasinya, saya lebih mengharapkan BlackBerry menawarkan versi yang tinggi untuk KEYone, seperti kehadiran versi 4GB RAM + 64GB untuk keperluan yang lebih berkuasa. Paparannya juga adalah lebih menarik sekiranya ia dipadankan dengan panel AMOLED seperti BlackBerry Priv, yang mana mampu memberi tahap perwarnaan yang lebih terang berbanding IPS LCD. Sebagai peranti keluaran tahun 2017, sokongan waterproof sepatutnya telah mula dijadikan standard untuk peranti di atas RM2000, dalam meningkatkan aspek ketahanan peranti. Seperkara lagi, alangkah baiknya sekiranya BlackBerry memberi penawaran warna lain seperti warna hitam sepenuhnya yang mana dilihat lebih menawarkan rekaan timeless untuk peranti ini.

Pro
  • Hadir dengan rekaan yang premium dan elegan.
  • Mengekalkan citarasa klasik BlackBerry dengan fungsi moden.
  • Menawarkan pelbagai shortcut untuk mengaktifkan sesuatu fungsi dan aplikasi
  • Papan kekunci fizikal hadir dengan ciri-ciri pintar.
  • Kamera yang sangat baik untuk penggambaran waktu siang dan malam.
  • Menawarkan masa penggunaan yang lama dengan SoT yang mencapai 8 jam+.
  • Didatangkan dengan fungsi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0.
  • Menawarkan kemaskini sekuriti secara berterusan.
Kontra
  • Hanya ditawarkan dalam satu versi sahaja iaitu 32GB dan 3GB RAM.
  • Paparan IPS LCD mampu beraksi dengan baik, tetapi lebih baik sekiranya ia didatangkan dengan AMOLED.
  • Tiada sokongan waterproof.
  • Hanya ditawarkan dalam satu warna.

Sekiranya melihat penawaran alternatif, peranti ini tidak mempunyai pesaingnya kerana KEYone adalah satu-satu peranti Android yang mampu memberikan pengalaman penggunaan kekunci fizikal terbaik. Bagi saya, KEYone adalah peranti yang terdekat untuk mendapatkan penggambaran dan sekuriti seumpama Google Pixel, namun dengan harga yang lebih berpatutan dan mudah untuk diperolehi. Prestasi penggambarannya cukup menyerlah dari segi pencahayaan dan warnanya, terutama apabila anda mengambil gambar pada situasi kurang cahaya. Begitu juga dari segi sokongan sekuritinya, yang mana merangkumi kemaskini sekuriti secara bulanan seperti yang diperolehi oleh peranti daripada Google.

Secara peribadi, KEYone adalah salah satu peranti pilihan saya untuk tahun ini atas penawaran sebuah peranti yang seimbang dengan kemampuan papan kekunci fizikal. Ia tidaklah sebuah peranti BlackBerry yang terunggul oleh disebabkan spesifikasinya yang berada pada kelas pertengahan, tetapi ia mampu memenuhi keperluan produktiviti seperti kehadiran papan kekunci fizikal yang baik, ketahanan bateri yang lama, dan perlindungan sekuriti yang terulung pada peranti Android.


TIPS & ULASAN