Cari @ Amanz

Jika anda masih berfikir-fikir untuk membeli sebuah komputer ataupun laptop gaming yang baru, HP Malaysia baru sahaja mengumumkan kehadiran siri komputer dan laptop Omen yang terbaru, yang diberikan nama Omen by HP.

Siri Omen By HP ini hadir di dalam bentuk sebuah komputer dan dua buah laptop yang kesemuanya dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ketujuh Kaby Lake dan juga kad grafik yang terbaru daripada AMD dan NVIDIA.

Komputer Omen by HP Desktop hadir dengan beberapa ciri baru yang cukup menarik. Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan pilihan CPU AMD Ryzen, manakala daripada segi kad grafik pula, pembeli mempunyai pilihan untuk memilih kad grafik AMD Radeon RX580 ataupun kad grafik NVIDIA dari NVIDIA GTX 1050 sehinggalah GTX 1080Ti dalam konfigurasi SLI.

Dari segi storan dan memori pula, Omen by HP Desktop ini akan hadir dengan storan cakera keras 2TB dan memori DDR4 sebanyak 16GB yang boleh ditambah-baik oleh para pengguna secara sendiri. Dengan komputer ini, HP telah memudahkan proses penaiktarafan storan dengan penggunaan talam hotswap di bahagian depan komputer. Anda hanya perlu membuka panel hotswap tersebut, tarik keluar talam dan masukkan cakera keras di dalamnya,

HP juga mengumumkan kehadiran dua buah laptop gaming yang dikuasakan oleh komponen-komponen yang sangat berkuasa ini: Omen by HP 15 dan Omen by HP 17. Kedua-dua laptop ini dikuasakan oleh CPU generasi ketujuh Intel Kaby Lake, dan juga kad grafik dari syarikat AMD dan NVIDIA.

Laptop Omen by HP 15 hadir dengan paparan 15.6 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080) dengan kadar segar semula 120Hz, dan dari segi grafik pula, pembeli boleh memilih diantara kad grafik AMD RX 550, NVIDIA GeForce GTX 1050, GTX 1050 Ti dan GTX 1060 dengan teknologi NVIDIA Max-Q.

Untuk laptop Omen by HP 17 pula, laptop tersebut mempunyai paparan 17.3 inci, dan pembeli boleh memilih untuk membeli model dengan paparan skrin beresolusi Full HD dengan kadar segar semula 120Hz dengan sokongan teknologi NVIDIA G-SYNC, ataupun paparan skrin beresolusi 4K. Dari segi kad grafik pula, laptop ini hadir dengan pilihan untuk kad grafik AMD RX 580 ataupun NVIDIA GTX 1070.

Kedua-dua laptop ini juga hadir dengan pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan cakera keras 1TB dan SSD NVMe PCIe sebesar 256GB.

Kesemua komputer dan laptop terbaru Omen by HP ini hadir dalam beberapa konfigurasi yang berbeza, tetapi pihak HP Malaysia telahpun menetapkan tanda harga asas untuk komputer dan laptop-laptop tersebut:

  • Omen by HP Desktop : Bermula dari RM5999
  • Omen by HP 15 : Bermula dari RM4499
  • Omen by HP 17 : Bermula dari RM 8899

Syarikat tersebut juga telah mengesahkan bahawa kesemua komputer dan laptop Omen by HP ini sudahpun boleh dibeli di kedai-kedai komputer tempatan, dan juga dari pengedar sah peralatan HP.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd