Sony Xperia XZ Premium ialah peranti kedua di pasaran yang dilengkapi skrin 4K. Kali pertama ia dilakukan ialah dua tahun yang lalu dengan pelancaran Sony Xperia Z5 Premium. Sony merasakan teknologi skrin 4K pada TV keluaran mereka mempunyai ruang di dalam dunia peranti mudah alih. Terdapat banyak kandungan yang boleh distrim sekarang dan bagi mereka yang mahukan paparan yang terbaik hanya peranti mereka dapat menawarkannya. Adakah fungsi skrin 4K ini sudah mencukupi untuk menarik minat pengguna? Ini ulasan kami untuk Sony Xperia XZ Premium.
Spesifikasi
Sony Xperia XZ Premium | |
---|---|
Skrin | 5.5″ IPS LCD 4K HDR |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 835 |
CPU | 4 x 2.45 GHz Kryo 4 x 1.9 GHz Kryo |
Cip Grafik | Adreno 540 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB) |
Kamera Utama | 19 Megapixel f/2.0, EIS, Laser, PDAF |
Kamera Depan | 13 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 3230 mAh (Qnovo) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
Jalur LTE | 1/2/3/4/5/7/8/12/13/17/19/20/26/28/29/ 32/38/39/40/41 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Harga Jualan | RM 3399 |
Tempoh Ulasan | 14 Hari |
Skrin 5.5″ IPS LCD 4K digunakan dengan sokongan teknologi Triluminous dan Xreality Engine. Ini adalah teknologi yang digunakan pada televisyen premium keluaran Sony. Kualiti paparan memang amat baik dan tajam. Warna yang dihasilkan adalah hidup tetapi harus diakui mata kami tidak dapat melihat perbezaan yang ketara dengan skrin QHD pada penggunaan biasa.
Skrin 4K ini hanya terserlah ketajamannya apabila memaparkan kandungan 4K. Keperincian pada video 4K memang berlipat ganda lebih nyata apabila dilihat pada skrin. Ia turut menyokong format video HDR10 yang boleh ditemui pada perkhidmatan penstriman video seperti Amazon Prime. Buat masa ini jumlah kandungan HDR yang memberikan paparan lebih hidup masih agak terhad. Pemilik XZ Premium membeli peranti yang kalis masa hadapan apabila kandungan HDR semakin mudah ditemui.
Untuk menjadi paparan 4K ini, pemproses Snapdragon 835 digunakan. Ini ialah pemproses yang paling berkuasa di atas kertas yang boleh ditemui di pasaran sekarang. Pemproses ini dipadankan pula dengan memori sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 GB disokong.
Peranti ini menyokong dwi SIM nano tetapi talam SIM kedua berkongsi slot dengan kad MikroSD. Oleh itu penggunaan dwi-SIM dan sebuah kad MikroSD secara serentak tidak dapat dilakukan. Talam SIM XZ Premium disorok di belakang pintu kecil pada sisi peranti. Sedikit berbeza dari sistem talam yang perlu dicucuk jarum yang ditemui pada kebanyakan peranti di pasaran.
Kamera utama 19-Megapixel f/2.0 XZ Premium menggunakan sistem Motion Eye yang mampu merakam video pada tetapan 950 FPS. Ini menjadikannya peranti dengan kemampuan gerak perlahan terbaik buat masa ini. Sungguhpun itu ia hanya dilengkapi lensa f/2.0 dan tiada sokongan EIS. Sony merasakan sistem EIS, laser dan PDAF sudah memadai pada peranti utama mereka ini.
Kamera selfie pula sebesar 13-Megapixel f/2.0 yang merakam video pada resolusi 1080P. Ini sedikit mengecewakan kerana peranti-peranti utama sekarang sudah berpindah ke lensa f/1.7 dan lebih baik.
Membekalkan kuasa pada peranti ialah bateri sebesar 3230 mAh dan ini meneruskan tradisi Sony menggunakan bateri yang kecil pada peranti dengan spesifikasi tinggi. Ia kurang masuk akal kerana secara peribadi kami merasakan peranti utama perlu dilengkapi bateri yang bersaiz besar. Sistem pengecasan pantas Qnovo disokong dan ini sedikit sebanyak mengurangkan kemarahan apabila peranti kehabisan bateri. Port USB-C digunakan bagi mengecas dan ini mengikut trend semasa.
Rekabentuk
Rekaan Xperia XZ Premium menggunakan semula rekaan Xperia XZ tahun lalu. Rekaannya lebih berkotak dan mengingatkan kami kepada peranti Lumia.
Bahagian bawah dan atas adalah rata yang membolehkan peranti berdiri. Bahagian sisi dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan ketika ia digenggam. Model yang kami ulas mempunyai kemasan seakan cermin ini adalah amat seksi. Tetapi permukaan kaca yang digunakan membuatkan ia memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Adalah mustahil untuk mengekalkan kebersihan dan kesucian peranti kaca. Sony Xperia XZ Premium bukan satu-satunya peranti yang mempunyai masalah ini pada tahun 2017.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dan pengatup kamera khas. Perubahan besar dilakukan pada kedudukan butang suara yang kini di atas butang kuasa. Ini mungkin seperti sebuah perubahan kecil tetapi ia memudahkan penggunaan peranti berbanding rekaan Xperia XZ tahun lalu. Ia jauh lebih ergonomik.
Butang kuasa yang lebih besar juga memudahkan nyahkunci peranti. Rekaannya besar kerana ia dilengkapi sistem imbasan jari. Bagi yang gemar menggunakan sistem imbasan jari, imbasan dapat dilakukan dengan pantas tanpa sebarang masalah.
Pada sisik kiri pula terdapat pintu untuk talam kad MikroSD dan dwi-SIM bersaiz nano. Rekaan yang digunakan sedikit aneh kerana terdapat dua talam berbeza. Satu talam hanya menyokong satu SIM manakala sebuah lagi talam hibrid menyokong SIM atau sebuah kad MikroSD. Ini bermakna penggunaan kedua-dua SIM dan kad MikroSD secara serentak adalah mustahil.
Sejak April yang lalu kita melihat semakin banyak peranti yang menggunakan rekaan semua-skrin dan bezel yang nipis. Di Sony mereka masih enggan berganjak dari paradigma lama dan mengekalkan rekaan dengan bezel tebal serta dagu dan dahi yang amat besar. Ini tidak semestinya negatif. Kami secara peribadi merasakan peranti ber-bezel lebih mudah digunakan dan paling penting sekali XZ Premium dilengkapi sistem pembesar stereo hadapan sebenar.
Ini menggembirakan kami kerana kami menyedari sistem audio stereo dengan satu sahaja pembesar suara di hadapan seperti yang ditemui pada iPhone 7 Plus, HTC U11 dan Galaxy S8 tidak memberikan keseimbangan audio yang baik berbanding sistem yang digunakan pada XZ Premium. Gabungan audio stereo dan skrin 4K HDR adalah kombinasi yang amat baik.
Saiz peranti yang besar dengan permukaan yang licin membuatkan peranti ini sukar digunakan sebelah tangan. Seperti peranti-peranti utama di pasaran sekarang, kami menyarankan anda membeli kerangka tahan lasak bagi mengelakkan duka sekiranya peranti terjatuh dari genggaman. Ini juga akan mengurangkan keperluan mengelap panel belakang yang mudah kotor seperti kami katakan beberapa perenggan sebelum ini.
Antaramuka
Android Nougat 7.1.1 digunakan dengan pelancar Sony yang hanya menyertakan penambahan yang minimum. Secara keseluruhan pelancar ini mengekalkan elemen antaramuka Android Asal tanpa aplikasi gendut. Ia berfungsi dengan amat lancar sekali.
Kerana penggunaan hampir Android Asal ini, fungsi tambahan pada XZ Premium adalah terlalu sedikit. Sebagai contoh tiada pilihan untuk mengubah susunan butang navigasi atas skrin. Ia kekal dengan butang back pada sebelah kiri, home di tengah dan multi-tasking di sebelah kanan. Terdapat pilihan untuk mengubah saiz susunan grid (5×5, 4×5, 4×4, 4×3), saiz ikon dan animasi transisi apabila skrin ditatal. Tidak seperti Galaxy S8, resolusi skrin juga tidak boleh diubah. Peranti mengekalkan resolusi 4K sepanjang masa tidak seperti Xperia Z5 Premium sebelum ini.
Bagi mereka yang gemarkan rekaan hampir stock ini, XZ Premium tidak akan mengecewakan. Bagi mereka yang biasa dengan pelancar dengan pelbagai fungsi tambahan pula ia mungkin mengecewakan.
Berikut ialah beberapa fungsi tambahan menarik yang ditemui pada peranti ini.
Assist – Aplikasi ini mengandungi tutorial menggunakan peranti, tip menggunakan peranti, sistem pembersihan storan, penjagaan bateri dan Action yang mengoptimasikan beberapa fungsi.
Audio Optimisation – Mengoptimasikan audio yang didengari bergantung kepada fon telinga/kepala yang digunakan.
Multi Window – Menggunakan sistem multi-window natif Android Nougat bagi melancarkan dua aplikasi serentak.
Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.
Lifelog – Aplikasi menjejak kecergasan tubuh. Ia mengira langkah yang diambil pengguna dan mengira kalori yang dibakar. Ia turut boleh menjejak tabiat penggunaan peranti lengkap dengan jumlah masa yang dihabiskan.
Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.
Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.
Kamera
Kamera utama sebesar 19-Megapixel f/2.0 dilengkapi sistem PDAF dan laser untuk mempercepatkan proses pemfokusan. Teknologi Motion Eye terkini Sony turut disertakan dan ini membolehkan kamera utama XZ Premium merakam pada tetapan 960FPS dengan resolusi 720P. Tetapan tertinggi rakaman video ialah 4K 30FPS. Terdapat juga pilihan untuk 1080P 60FPS dan 1080P 30FPS. Spesifikasi kamera adalah mengagumkan tetapi aneh sekali sistem penstabilan optikal OIS tidak pula disertakan. Sony merasakan sistem EIS adalah lebih dari mencukupi.
Bergerak ke hadapan kamera selfie 13-Megapixel f/2.0 disertakan. Tiada sokongan flash dan autofokus disertakan. Kamera hadapan ini hanya mampu merakam pada tetapan 1080P 30FPS.
Apa yang mengecewakan tentang kamera peranti ini ialah penggunaan lensa f/2.0. Ini ialah nilai f-stop yang kecil bagi sebuah peranti utama. Pesaing seperti LG sudah menggunakan lensa f/1.6. Samsung sudah menggunakan f/1.7 sebagai standard sejak dua tahun yang lalu. Malahan peranti kelas pertengahan mereka seperti siri Galaxy A sudah menggunakan lensa f/1.9.
Sony masih menggunakan aplikasi kamera mereka sendiri dan seperti tahun-tahun sebelumnya ia mempunyai rekaan yang mudah difahami. Dari skrin utama pengguna perlu menatal untuk menggunakan mod automatik, manual, video dan beberapa pra-tetapan yang disertakan Sony.
Antara tetapan yang diberikan ialah AR Effect, Panorama dan rakaman video 4K. Sedikit aneh Sony masih memerlukan pengguna menggunakan pra-tetapan untuk mengakses fungsi rakaman 4K sedangkan pada peranti lain ia dengan mudah diakses dari menu tetapan kamera. Seperkara lagi pra-tetapan lain boleh dimuat turun sekiranya diperlukan oleh pengguna. Pra-tetapan AR Effect adalah yang paling menarik kerana membolehkan watak tiga dimensi muncul secara maya di dunia sebenar dan juga topeng seperti aplikasi Snapchat.
Masalah peranti panas sehingga kamera perlu ditutup tidak lagi muncul tahun ini. Kamera berfungsi dengan pantas tapi tidak sepantas pada Galaxy S8 yang pada hemat kami ialah peranti dengan sistem kamera terpantas kami ulas tahun ini.
Kita sudah bercakap tentang perisian kamera tetapi kami yakin anda lebih berminat untuk melihat sendiri gambar yang diambil menggunakan kamera Motion Eye ini.
Di dalam situasi pencahayaan yang baik gambar yang diambil memang menyerlah. Objek di dalam foto tajam dengan penghasilan warna yang tepat. Tiada masalah dedahan berlebihan dan kami tidak mempunyai sebarang komen negatif mengenai kualiti gambar.
Pada waktu malam gambar yang diambil masih lagi baik dengan penghasilan semua warna yang sedikit kekuningan. Tiada masalah dedahan berlebihan yang menyebabkan sumber kehilangan keperincian objek pada sumber cahaya. Namun kami sedari gambar yang diambil sedikit kurang tajam apabila dilihat semula di dalam komputer pada resolusi sebenar. Perisian kamera menghasilkan softening pada objek yang diambil pada waktu malam. Sekiranya gambar dikongsi ke media sosial ini tidak akan disedari. Tetapi bagi peminat fotografi peranti mudah alih kekurangan ini pasti disedari.
Dari skala satu hingga sepuluh kami memberikan kamera XZ Premium 9/10. Ia antara yang terbaik tetapi masih buka yang terbaik. Sekali lagi takhta ini masih dipegang oleh Galaxy S8. Gambar pada peranti Samsung kekal tajam dan terang walaupun pada waktu malam. Penggunaan lensa f/2.0 XZ Premium menjadi tumit Achilles yang menyebabkan ia gagal melangkaui kemampuan Galaxy S8.
Kualiti video juga baik cuma penggunaan EIS membuatkan video yang distabilkan kelihatan kurang semula jadi. Pergerakan pantas akan menyebabkan video kelihatan tidak semula jadi. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, keperluan menggunakan menu berlainan untuk rakaman 4K adalah tidak mesra pengguna.
Fungsi rakaman 960FPS memang kedengaran menarik di atas kertas tetapi ia dirakam pada resolusi 720P yang menyakitkan mata bagi mereka yang sudah terbiasa dengan 1080P apakan pula 4K. Gerak perlahan ini pada kami hanya gimik jualan yang kemungkinan besar tidak akan digunakan dengan kerap. Adalah lebih baik Sony meningkatkan kemampuan mengambil gambar pada waktu malam dengan menggunakan lensa yang lebih baik. Kita sudah di tahun 2017, lensa f/2.0 hanya layak digunakan pada peranti kelas permulaan yang dijual pada harga mampu milik. Asas teknologi kamera perlu lebih teguh sebelum menyertakan fungsi tambahan yang jarang sekali digunakan.
Audio
Pembesar suara stereo pada bahagian hadapan ialah konfigurasi yang paling kami gemari pada peranti sejak di dipopularkan oleh HTC One M7. Sejak itu beberapa pengeluar meniru rekaan ini dan Sony telah menggunakannya sejak Xperia Z3. Kualiti audio memuaskan pada tetapan rendah tetapi mula menjadi pecah pada tetapan lebih tinggi. Bunyi bass dan treble mula bercampur sehingga menyukarkan pendengaran. Sungguhpun begitu ia masih lebih baik berbanding sistem pembesar suara mono pada majoriti peranti lain di pasaran.
Sony masih menyertakan bicu audio 3.5mm. Terima kasih Sony kerana masih menyedari dunia masih belum bersedia untuk sistem tanpa wayar dan USB-C sepenuhnya. Ini bermakna fon kepala berwayar berkemampuan tinggi boleh digunakan tanpa penyesuai. Audio berdefinasi tinggi boleh dimainkan oleh peranti ini. Perisian audio Sony memudahkan pengguna melakukan optimasi audio berdasarkan fon kepala atau fon telinga yang disambung.
Tidak mengejutkan kualiti audio adalah lebih baik dari biasa. Bunyi cukup bermaya dengan bass berfrekuensi rendah berdentum dengan bermaya. Dengan fon telinga yang berkualiti, penstriman audio pada tetapan bitrate lebih tinggi dalam dinikmati sepenuhnya. Pendek kata kepakaran Sony di dalam bidang audio jelas dapat didengari pada XZ Premium.
Penanda Aras
Pemproses Snapdragon 835 digunakan dengan RAM sebesar 4GB, ini ialah pemproses yang paling berkuasa di pasaran sekarang dan turut ditemui pada HTC U11, OnePlus 5 dan Nokia 8. Tidak mengejutkan markah yang dicatatkan pada penanda aras adalah yang tertinggi yang pernah dicatatkan di makmal Amanz.
Dalam ujian penanda aras Antutu 3D, Xperia XZ Premium mencatatkan 164245 markah manakala dalam ujian Futuremark pula ia mencatatkan 39936 markah.
Markah yang tinggi ini selari dengan prestasi peranti yang lancar. Kami tidak menemui sebarang masalah sela masa ataupun peranti gagal berfungsi sepanjang tempoh ulasan. Bagi mereka yang gemar memainkan permua dengan grafik 3D, XZ Premium tidak akan tersedak ketika saat genting.
Bateri
Pada penggunaan sederhana peranti bertahan selama 18 jam 28 minit. Skrin terpasang selama 6 jam 15 minit. Pada penggunaan paling berat peranti bertahan hampir 9 jam dengan skrin terpasang selama hampir 8 jam. Jangka hayat bateri boleh dipanjangkan lagi sekiranya sistem Battery Stamina diaktifkan dengan mematikan fungsi Internet apabila bateri mencapai tahap kritikal.
Ini ialah hayat penggunaan yang baik bagi sebuah peranti berspesifikasi tinggi dengan skrin 4K sepanjang masa. Pada awalnya kami mempunyai beberapa kerisauan mengenai hayat peranti ini dan kami ternyata salah. Sistem pengecasan pantas pula mengecas peranti dalam masa sekitar 100 minit. Pada hemat kami ini ialah masa pengecasan yang munasabah.
Pesaing
Sony Xperia XZ Premium bersaing dengan Samsung Galaxy S8 dan LG V30. Ketiga-tiga peranti adalah peranti utama pengeluar dan mempunyai pemproses yang sama/setanding. Pada waktu yang sama ketiga-tiganya juga antara sebilangan kecil peranti di pasaran yang dilengkapi skrin dengan teknologi HDR.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
Sony Xperia XZ Premium | Samsung Galaxy S8 | LG V30 |
5.5″ IPS LCD 4K HDR (807PPI) | 5.8″ SAMOLED QHD+ (570 PPI) | 5.7″ P-OLED QHD (537 PPI) |
2.45 X 4 + 1.9 X 4 GHz Snapdragon 835 | 2.3 X 4 + 1.7 X 4 GHz Exynos 8895 | 2.45 X 4 + 1.9 X 4 GHz Snapdragon 835 |
Adreno 540 | Mali-G71 MP20 | Adreno 540 |
4 Gigabyte | 4 Gigabyte | 4 Gigabyte |
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) | 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) | 64/128 Gigabyte (256 GB MikroSD) |
Kamera Utama 19 Megapixel f/2.0, PDAF, Laser, EIS | Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7, Dual Pixel,OIS, | Kamera Utama 16+13 Megapixel, f/1.6+f/1.9, PDAF, OIS |
Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.7 | Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/2.2, |
3230 mAh (Pengecasan Pantas) | 3000 mAh (Pengecasan Pantas) | 3300 mAh (Pengecasan Pantas) |
RM 3399 | RM 3299 | RM 3184* |
Kesimpulan
Pasaran sekarang dipenuhi dengan peranti dengan spesifikasi yang baik dan pelbagai fungsi tambahan. Percaturan Sony ialah dengan menjual satu-satunya peranti yang dilengkapi skrin 4K HDR di pasaran tahun ini. Mari bercakap tentang perkara yang kami gemari terlebih dahulu mengenai Sony Xperia XZ Premium,
Skrin 4K HDR yang digunakan memaparkan imej yang tajam dan terang. Pemproses yang berkuasa dipadankan dengan antaramuka hampir Android Asli memastikan peranti sentiasa berjalan dengan lancar serta pantas. Ujian penanda aras mengesahkan XZ Premium sebagai antara peranti paling berkuasa pernah kami ulas di makmal Amanz. Penggunaan sistem audio stereo sebenar dan sokong audio berdefinasi tinggi akan menggembirakan para peminat audio. Kamera dengan kemampuan merakam pada tetapan 960 FPS juga menjadi fungsi unik hanya boleh ditemui pada peranti keluaran Sony seperti XZ1 yang XZ1 Compact.
Tetapi pada waktu yang sama peranti mempunyai rekaan yang tidak berganjak dari rekaan tahun lalu. Dagu,dahi dan bezel adalah agak besar bagi peranti utama 2017. Pesaing mereka telah berevolusi tetapi Sony masih mahu kekal di takuk lama. Skrin 4K memang menarik tetapi ia memerlukan kelajuan internet yang tinggi untuk menstrim. Apabila menggunakan data selular ini akan memakan kuota dengan pantas. Ini masih belum mengambil kira kelajuan internet di Malaysia yang kurang stabil.
Tambah mengecewakan ialah tidak banyak fungsi tambahan disertakan bagi memberikan lebih banyak nilai. HTC U11 hadir dengan kerangka boleh dipicit. Note 8 hadir dengan stylus. S8 hadir dengan AOD, Edge Lightning dan Edge Panel. Google Pixel pula menawarkan kemaskini yang terpantas. Sony Xperia XZ Premium tidak langsung membenarkan pengguna menukar kedudukan butang navigasi kapasitif. Walaupun menggunakan Android 7.1.1, fungsi menu tambahan apabila ikon ditekan tidak disokong oleh pelancar Sony. Kami hanya boleh mengaktifkannya dengan menggunakan Google Pixel launcher.
Kamera ialah antara bidang kepakaran Sony tetapi kami masih lagi kecewa dengan hasil gambar yang diambil menerusi peranti pintar mereka. Penghasilan warna memang amat baik. Tetapi kami menyedari ia masih tidak setajam pesaing seperti HTC U11 dan Galaxy S8/Note 8.
Pada waktu malam gambar menjadi sedikit lembut (softening). Penggunaan lensa f/2.0 menjadi tumit Achilles XZ Premium sedangkan iPhone sudah bergerak ke lensa f/1.8 tahun lalu. Bagi sebuah peranti premium dari pengeluar sensor ternama, penggunaan lensa yang mempunyai nilai f-stop yang kecil tidak boleh dimaafkan. Tiada logik munasabah mengapa Sony masih gagal menghasilkan kamera peranti mudah alih yang baik pada peranti keluaran mereka sedangkan sensor mereka digunakan pada pesaing dan menghasilkan gambar yang jauh lebih baik.
Fungsi 960 FPS pula hanya gimik yang jarang digunakan. Kami berpendapat gerakan adi perlahan tidak sebaik yang diharapkan. Lebih baik Sony menghasilkan kamera yang baik dari kamera dengan fungsi gerak perlahan melampau.
Haruskah anda memiliki Sony Xperia XZ Premium yang dijual pada harga RM 3399? Sekiranya anda peminat produk Sony jawapannya pasti ya. Ia antara sebilangan peranti dengan skrin 4K serta sokongan Remote Play PlayStation 4. Tetapi dengan beberapa pesaing lain yang mempunyai kemampuan kamera lebih baik, skrin AMOLED lebih menyerlah dan pelbagai fungsi tambahan kami sukar mengesyorkan XZ Premium kepada bukan peminat tegar Sony. Ini amat menyakitkan bagi kami kerana pembaca Amanz tentu tahu kami antara peminat tegar peranti Xperia sejak bertahun lamanya.
Sony Xperia XZ Premium ialah peranti yang baik yang wujud di dalam pasaran yang mempunyai peranti yang lebih baik dengan harga lebih kompetitif. Oleh itu kami hanya boleh katakan Xperia XZ Premium hanyalah sebuah peranti 4K yang OK.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|