Komputer bersaiz mini semakin popular akhir-akhir ini, apatah lagi dengan arena peranti berhubung, robotik dan bandar pintar yang memerlukannya untuk membangunkan pelbagai inovasi. Sebelum ini, kita sedia melihat Asus sedia hadir dengan penawaran mereka yang dinamakan Tinkerboard, dan kini Gigabyte turut hadir dengan penawaran mereka tersendiri.
Dikenali dengan nama kod GA-SBCAP3350, yang mana membawakan saiz sedikit besar berbanding dengan Raspberry Pi. Ia hadir dengan cip pemprosesan Intel Celeron N3350, slot memori sehingga 8GB berasaskan DDR3L SO-DIMM, dan membolehkan anda menghubungkan storan mSATA SSD.
Memandangkan ia dilengkapi cip berasaskan x86, maka ia membolehkan pengguna menjalankan sistem operasi yang lebih berkuasa – termasuk menjalankan sejumlah perisian yang memerlukan pemprosesan lebih tinggi.
Dari segi port sambungan, ia hadir dengan dua port USB 3.0, port Ethernet, VGA, dan sokongan HDMI sehingga resolusi 4K.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapakah harga jualannya, dan bilakah Gigabyte akan menawarkannya.