Cari @ Amanz

Jepun ialah antara negara dengan masa bekerja terpanjang di dunia. Para pekerja berasa terpaksa pergi ke pejabat awal dan pulang pada lewat malam bagi menunjukkan komitmen kepada syarikat. Ini semua dilakukan tanpa bayaran bekerja lebih masa oleh majikan. Ini mewujudkan fenomena karoshi – bekerja sehingga meninggal dunia.

Oleh itu kerajaan Jepun memulakan kempen Telework Day yang menggalakkan bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesesakan pada pengangkutan awam dan juga mengatasi masalah karoshi. Seramai 60,000 pekerja dari 90 syarikat swasta dan kerajaan mengambil bahagian hari ini.

Jepun adalah tuan rumah kepada sukan Olimpik 2020. Dengan menggalakkan bekerja dari rumah, kerajaan Jepun berharap kesesakan pada sistem pengangkutan awam dapat dielakkan ketika temasya berlangsung. Pada waktu yang sama kempen ini cuba mengubah tabiat kerja warga Jepun.

Teknologi sedia ada sudah cukup maju bagi membenarkan pekerja bekerja dari rumah. Ia masih belum popular kerana majikan yang masih mahu melihat pekerja di hadapan mata setiap hari. Tahun lalu program solekan maya Tele Beauty dibangunkan oleh Shiseido bagi menggalakkan golongan wanita Jepun supaya bekerja dari rumah. Mereka masih boleh mempunyai kerjaya walaupun tidak pergi ke pejabat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd