Microsoft Mengumumkan MS Paint Akan Ditawarkan Melalui Windows Store

Microsoft Mengumumkan MS Paint Akan Ditawarkan Melalui Windows Store

Diterbitkan pada July 25, 2017 oleh .

Lanjutan daripada laporan semalam, hari ini Microsoft mengumumkan yang mana Microsoft Paint akan terus kekal dan ditawarkan secara percuma melalui Windows Store.

Semalam, Microsoft melalui laman bantuan mengumumkan yang mana tiada sebarang ciri-ciri baru yang dijangka diperkenalkan pada MS Paint, selain mengatakan ia mungkin akan turut dibuang pada versi akan datang Windows.

Microsoft Paint

Pengumuman hari ini memberikan info lanjut mengenainya. Microsoft mengatakan MS Paint kelak akan mempunyai “rumah” baru dan ditawarkan secara percuma melalui Windows Store. Ia secara tidak langsung seperti memberikan petanda yang mana mungkin pengguna perlu memuat-turunnya secara manual – dan mungkin tiada sebarang ciri-ciri baru yang disertakan padanya. Apa pun, perkara lanjut mengenai perubahan ini mungkin hanya akan diketahui selepas kemaskini Windows 10 akan datang.

Seperti biasa, Microsoft turut menekankan kepada penawaran aplikasi terbaru mereka, Paint 3D yang membolehkan pengguna turut menghasilkan karya tiga-dimensi melaluinya.

MS Paint sebelum ini telah ditawarkan untuk tempoh sekitar 32 tahun, dan mempunyai ramai peminatnya tersendiri yang sering hadir dengan sejumlah karya yang menarik. Ini membuatkan ramai mempunyai nostalgia tersendiri untuk aplikasi popular pada Windows ini.


TIPS & ULASAN