Pandang Pertama: Neffos X1 Lite – Peranti Dengan Spesifikasi Menarik Pada Harga RM499

Pandang Pertama: Neffos X1 Lite – Peranti Dengan Spesifikasi Menarik Pada Harga RM499

Diterbitkan pada July 26, 2017 oleh .

Neffos sebelum ini pernah hadir dengan Neffos X1, iaitu siri peranti yang mengutamakan rekaan berasaskan logam bersama penawaran prestasi dan kamera harian yang baik. Siri peranti ini dijana dengan cip MediaTek Helio P10, penawaran skrin minimum HD, dan pengimbas cap jari yang mampu bertindak balas sepantas 0.2s. Kamera utamanya turut dilengkapi dengan sensor Sony IMX, memberikan prestasi penggambaran yang cukup terang untuk waktu siang dan malam.

Neffos X1 Lite
Skrin 5.0” IPS LCD, 720p, 294 ppi
Chipset MediaTek MT6750
CPU 4 x Cortex-A53 1.5 GHz
4 x Cortex-A53 1.0 GHz
GPU Mali-T860MP2
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 13MP, f/2.0, [email protected]
Kamera Hadapan 5MP, f/2.0, [email protected]
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.1
A-GPS, GLONASS
LTE Band 1/3/5/7/8/20
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM/microSD
Sistem Android 7.0 Nougat
Bateri 2550 mAh
Berat & Ketebalan 138g, 8.5mm
Harga RM499

Walaupun ditawarkan pada harga di bawah RM1000, harga siri peranti ini masih ada sesuatu tidak kena dengan harganya, apabila dinilai segi cip pemprosesannya yang kini telah memasuki usia 2 tahun dan skrin 5-inci pada resolusi 720p. Neffos X1 ditawarkan pada harga bermula RM769 untuk versi 2GB RAM + 16GB, sementara versi 3GB RAM + 32GB ditawarkan pada harga RM849. Neffos X1 turut mempunyai satu lagi variant teratas dengan skrin dan kapasiti bateri yang lebih besar, menerusi Neffos X1 Max yang mana ditawarkan pada harga bermula RM999.

Untuk membawa jenama Neffos lebih dikenali, sebuah peranti baru perlu diwujudkan dengan harga yang jauh lebih berpatutan daripada penawaran yang sedia ada. Di sinilah Neffos X1 Lite ingin mendekati pengguna, dengan penawaran spesifikasi yang cukup menarik pada harga di bawah RM500. Dengan kehadiran skrin 5-inci 720p, memori 2GB RAM, storan dalaman 16GB, kamera 13MP, dan Android 7.0 Nougat, ia sebuah peranti yang mempunyai daya tarikan apabila dinilai dari sudut spesifikasi.

Rekaan

Rekaan Neffos X1 Lite masih mengekalkan rekaan seperti Neffos X1 sebelum ini, melalui binaan berasaskan logam. Ia menawarkan pengimbas cap jari di bahagian belakang, yang mana mampu menyahkunci peranti sepantas 0.2s (apabila skrin dibuka) dan 0.4s (ketika skrin dimatikan). Menariknya, fungsi pengimbas cap jari ini turut hadir dengan fungsi tambahan seperti App Lock dan File Safe bagi melindungi aplikasi dan fail peribadi anda daripada diakses oleh pihak luar. Di bahagian belakang ini juga, ia menempatkan kamera utama 13MP f/2.0 bersama lampu LED flash berasaskan pencahayaan dwi-tona.

Binaan hadapannya juga masih membawakan rekaan Neffos X1 melalui kehadiran panel kaca sisi melengkung 2.5D. Ia menampilkan butang kapasitif di bahagian bawah skrin yang membolehkan pengguna mengubah lokasi butang back sama ada di bahagian kiri atau kanan. Butang ini walau bagaimanapun tidak hadir dengan sebarang sokongan pencahayaan, sedikit menyukarkan pengguna untuk mengenal pasti kedudukan butang apabila digunakan pada waktu gelap.

Neffos X1 Lite turut mengekalkan saiz skrin yang sama seperti Neffos X1 melalui skrin bersaiz 5-inci pada resolusi 720p. Sewaktu mencuba peranti ini, saya agak kagum dengan warnanya, yang mana tidak kelihatan pudar seperti kebanyakan peranti sekelasnya yang lebih menggunakan teknologi paparan yang murah. Penggunaan panel full in-cell IPS LCD pada skrin peranti ini amat membantu dalam memberikan paparan skrin yang terang, disamping memberi viewing angle yang lebih lebar untuk dilihat dari sudut berlainan.

Sebagai peranti yang disasarkan untuk segmen mampu-milik, ia masih menggunakan sambungan Micro USB berbanding USB-C sebagai medium untuk pengecasan dan penyambungan data. Ia juga menampilkan sambungan earphone jack 3.5 di bahagian atas peranti, selain menempatkan saluran pembesar suara di bahagian bawah. Untuk butang pelarasan suara dan butang kuasa, ia tempatkan pada lokasi standard iaitu di bahagian sebelah kanan peranti, namun tidak lagi hadir dengan butang slider untuk kebolehan silent seperti yang terdapat pada Neffos X1.

Tidak seperti Neffos X1 yang mempunyai pilihan storan dan memori yang berbeza, Neffos X1 Lite ditawarkan dalam satu versi sahaja iaitu versi 2GB RAM + storan dalaman 16GB. Sekiranya storan 16GB ini tidak mencukupi bagi anda, ia turut menyokong storan tambahan microSD (sehingga 256GB) yang mana dikongsi pada ruang slot sim kedua. Bermakna, ia menyokong slot dwi-sim namun direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Sistem

Satu perkara yang agak menarik sebenarnya, Neffos X1 Lite turut dijana dengan sistem operasi Android 7.0 Nougat – membuatkannya salah satu peranti termurah yang menawarkan sistem operasi ini secara terbina. Untuk harga sekitarnya, tidak banyak peranti yang menawarkan Android 7.0 secara terbina, dan kebanyakannya masih terikat dengan iterasi Android 6.0 dan ke bawah. Android 7.0 memberi banyak kelebihan dari segi kawalan notifikasi, aksesibiliti, selain memudahkan pengguna membuat multi-tasking.

Neffos X1 Lite turut menjadi peranti terawal Neffos yang menjalankan Neffos UI (NFUI) 2.0 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan pilihan warna ceria. Dengan versi 2.0, ia telah hadir dengan sejumlah penambahbaikan, terutama dari segi paparan antaramuka dan pengoptimasian dari sudut prestasi.

NFUI 2.0 hadir dengan tampilan yang lebih minimal, yang mana kini turut membawa rekaan yang diinsipirasikan daripada rekaan Material Design. Paparan ikonnya cukup kemas, ceria dan independent, tanpa dibebani dengan masalah rekaan ikon yang tidak sekata (seperti peranti Xiaomi) untuk ikon yang tidak mempunyai versi ikon yang ditemakan. Bercakap mengenai sokongan tema, ia hadir dengan 6 pilihan tema berbeza yang mana boleh diaktifkan melalui aplikasi Themes.

Sebagai peranti dengan Android 7.0, pengguna Neffos X1 Lite dapat menikmati kebaikan dari sistem operasi ini sendiri seperti fungsi multi-window yang membolehkan pengguna menjalankan dua aplikasi dalam satu paparan. Ia juga memudahkan pengguna membuat reply pada sesuatu notifikasi yang hadir melalui fungsi Direct Reply, selain hadir dengan paparan notification drawer yang dikemaskini. Ia juga menyokong sejumlah emoji baru, disamping menawarkan fungsi tambahan seperti Data Saver, Doze On-the-Go, dan kebolehan untuk mengubah saiz paparan dan teks.

Kamera

Kamera utama Neffos X1 Lite dikuasakan dengan sensor 13MP f/2.0, bersama keupayaan Phase Detection Autofocus (PDAF) dan sokongan dual-tone LED flash. Keupayaan kamera ini walaupun kelihatan hampir serupa seperti Neffos X1, ia tidak dilengkapi dengan penggunaan sensor Sony IMX atas harganya yang dikurangkan. Sensor di bahagian belakang ini turut menyokong rakaman [email protected] bersama sokongan slow-motion dan time-lapse untuk tujuan penggambaran video.

Kamera hadapannya pula masih menawarakan kamera hadapan 5MP dengan sokongan lensa sudut lebar 84-darjah, bagi memudahkan anda mengambil gambar selfie secara ramai. Menariknya untuk keupayaan kamera hadapan ini, ia turut menyokong rakaman [email protected] berbanding kebanyakan peranti sekelasnya yang hanya menawarkan rakaman selfie 720p. Ia juga turut dilengkapi fungsi Beautify Mode yang diaktifkan secara masa-nyata, dengan kawalan tahap kecantikan yang boleh dilaraskan.

Untuk percubaan awal, kamera peranti ini memberi hasil yang agak bergegar dan soft yang mana banyak dipengaruhi daripada pencahayaan yang tidak baik pada acara lokasi, selain terikat dengan alat sekuriti pada peranti. Dengan situasi seperti ini, saya tidak boleh menilai hasil gambarnya, sehinggalah peranti ini telah berada di tangan saya sendiri untuk diuji.

Dari segi fungsi penggambarannya pula, ia menawarkan antaramuka kamera yang straightforward, dengan perletakkan butan flash, HDR, pilihan resolusi, grid, dan butang untuk penukaran kamera hadapan/belakang. Ia juga hadir dengan butang Beautify Mode di bahagian bawah, bagi memudahkan pengguna membuat pelarasan tahap beautification ketika mengambil gambar. Untuk fungsinya pula, ia menawarkan beberapa mod standard, seperti kehadiran fungsi HDR, panorama, dan 6 pilihan filter secara terbina.

Prestasi

oppo-f1s-antutu-benchmarkCip pemprosesan MediaTek MT6750 yang hadir pada peranti ini sebenarnya hampir menyamai prestasi yang hadir pada Neffos X1, yang mana dijana menggunakan MediaTek Helio P10. MediaTek MT6750 menawarkan rekaan cip lapan-teras Cortex-A53 (4 x Cortex-A53 1.5 GHz + 4 x Cortex-A53 1.0 GHz), sementara MediaTek Helio P10 turut menawarkan bilangan teras yang sama, namun hadir dengan bilangan GHz yang lebih tinggi pada kluster berkuasa (4 x Cortex-A53 1.8 GHz + 4 x Cortex-A53 1.0 GHz).

Untuk bacaan benchmark, saya tidak berkesempatan untuk menguji peranti ini atas masa percubaan peranti yang agak terhad, jadi saya perlu mencari peranti yang dijana menggunakan cip MediaTek MT6750 ini. Mujur di tangan saya ada Oppo F1s, yang mana turut dikuasakan dengan cip MediaTek ini. Walau terdapat perbezaan dari segi sistem operasi, memori, dan antaramuka yang digunakan, ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bagaimana cip pemprosesan ini berprestasi.

Cip MediaTek MT6750 mampu mencatatkan mata sekitar 41,821 pada AnTuTu Benchmark, menawarkan bacaan yang hampir sama seperti yang dicatatkan pada peranti Neffos X1. Sebagai perbandingan, cip MediaTek Helio P10 menawarkan bacaan mata sekitar 46,017, sekaligus mencatatkan perbezaan mata hanya 4,186. Bacaan mata melebihi angka 40,000 ini adalah bacaan optimum untuk penawaran prestasi peranti yang lancar, dan melebihi bacaan mata pemprosesan terdahulu seperti Snapdragon 615 pada Oppo R7 Plus (39,937) dan Snapdragon 801 pada Xperia Z3 (40,892).

Bateri

Neffos X1 Lite hadir dengan penawaran kapasiti bateri yang dipertingkatkan, melalui kapasiti sebesar 2550 mAh berbanding 2250 mAh pada Neffos X1 sebelum ini. Walaupun kapasiti ini dilihat kecil, penggunaan paparan 5-inci pada resolusi 720p dijangka banyak memberi penjimatan untuk penggunaan tenaga. Melalui pengalaman menggunakan Neffos X1 terdahulu, ia masih mampu memberi bacaan Screen-on-Time (SoT) yang baik, dengan bacaan sekitar 4 jam 14 minit. Dengan kapasiti yang dipertingkatkan, ia dijangka akan memberi bacaan sekitar 4-5 jam SoT untuk masa bertahan sekitar 24 jam.

Rumusan

Secara kasarnya, walaupun hadir dengan nama “Lite”, saya merasakan peranti ini kadangkala memberi penawaran yang lebih baik daripada Neffos X1 yang lalu, seperti kehadiran kapasiti bateri yang lebih besar dan sistem operasi yang lebih terkini. Namun perkataan “Lite” ini tetap menunjukkan sedikit pengurangan pada peranti ini, seperti ketidakhadiran sensor kamera berasaskan Sony IMX dan butang slider untuk kebolehan silent switch.

Namun dengan perbezaan harga RM270 apabila dibandingkan dengan harga Neffos X1, Neffos X1 Lite masih memberi sebuah penawaran yang berbaloi kerana kekurangan yang hadir tidak memberi impak yang besar pada sudut prestasi. Kehadiran cip MediaTek MT6750 yang hadir boleh dikatakan menyamai prestasi cip MediaTek Helio P10, yang mana kedua-duanya mampu menggalas tugasan harian secara pantas. Penggunaan memori 2GB RAM dan storan 16GB adalah menyamai harga versi asas untuk Neffos X1, yang mana ditawarkan pada harga RM749.

Bagi saya, Neffos X1 Lite mempunyai pontensi untuk menawarkan sebuah peranti yang seimbang dengan harganya, melalui binaan yang selesa dipegang, prestasi yang optimum untuk harian, disamping hadir dengan sistem operasi Android 7.0 yang meliputi fungsi terkini. Cuma ada beberapa perkara yang belum sempat diuji seperti kamera dan keupayaan bateri, yang mana dijangka akan turut memberi penawaran yang baik, seperti yang dicatatkan pada ulasan Neffos X1 sebelum ini.

Dengan harga RM499, ia memberi pesaingan sengit kepada segmen peranti di bawah RM500, seperti ZTE Blade V7 Lite sebelum ini, dan terkini, Xiaomi Redmi 4A/4X dengan penawaran spesfikasi yang menarik. Namun dengan kehadiran pengimbas cap jari yang lebih pantas, sistem operasi Android 7.0 yang lebih terkini, dan perlindungan waranti selama dua tahun, ia memberi kelebihan kepada Neffos X1 Lite untuk memenangi hati pengguna pada segmen peranti mampu-milik ini.

Perbandingan Telefon Di Bawah RM500

ZTE nubia N1 Lite

Neffos X1 Lite

Xiaomi Redmi 4X

Xiaomi Redmi 4A
Skrin
5.5-inci
5.0-inci
5.0-inci
5.0-inci
Resolusi
1280 x 720
1280 x 720
1920 x 1080
1280 x 720
Chipset
MediaTek MT6737
MediaTek MT6750
Snapdragon 435
Snapdragon 425
CPU
4 x A53 1.5 GHz
4 x A53 1.5 GHz
4 x A53 1.0 GHz
8 x A53 1.4 GHz
4 x A53 1.4 GHz
Memori
2GB RAM
2GB RAM
2GB RAM
2GB RAM
Storan
16GB
16GB
16GB
32GB
Kamera Belakang
8MP
13MP
13MP
13MP
Kamera Hadapan
5MP
5MP
5MP
5MP
Fungsi Tambahan
Dwi-SIM
microSD
Fingerprint Scanner
Dwi-SIM
microSD
Fingerprint Scanner
Dwi-SIM
microSD
Fingerprint Scanner
IR Blaster
Dwi-SIM
microSD
IR Blaster
Bateri
3000 mAh
2550 mAh
4100 mAh
3120 mAh
Sistem
Android 6.0
Android 7.0
Android 6.0
Android 6.0
Harga
RM499 (Official)
RM499 (Official)
RM499 (Imported)
RM469 (Official)

TIPS & ULASAN