Cari @ Amanz

Pada acara Computex di Taipei pada Jun lalu MSI telahpun melancarkan laptop gaming terkini mereka, iaitu MSI GT75VR Titan. Sempena pengumuman kedai atas talian MSI menerusi Lazada, mereka mengumumkan yang laptop ini boleh di pra-tempah oleh pengguna tempatan pada harga bermula RM 13,499.

MSI GT75VR telah mengetengahkan lima ciri-ciri terkini dalam dunia gaming, dan salah satu ciri tersebut adalah hadir dengan paparan berkelajuan tinggi 120Hz. Bagi menyokong tujuan gaming, ia perlu mempunyai sistem penyejukan yang efektif dan MSI menyelesaikannya dengan sistem Cooler Boost Titan. Dan antara ciri-ciri lain termasuklah pembesar suara yang besar, papan kekunci yang responsif serta mampu memberikan maklumbalas sewaktu permainan.

Bagi menjayakan pra-tempahan ini, MSI telah bekerjasama dengan Lazada dan menawarkan dua pakej pra-tempah. Pakej pertama dijual pada harga RM 13,499 merupakan GT75VR 7RE-017MY dengan kad grafik GTX1070 dan disertakan dengan paparan gaming ViewSonic VX2757 yang bernilai RM 799.

Pakej kedua pula dijual pada harga RM 17,999 merupakan GT75VR 7RF-070MY dengan kad grafik GTX1080 dan menyertakan kerusi gaming Warlord Phantom bernilai RM 899. Untuk kedua-dua pakej pra-tempah ini, pembeli akan turut menerima tetikus gaming dan juga beg laptop.

Pihak MSI turut menyatakan pratempah ini akan dibuka bermula 1 Ogos 2017 dan akan mula dihantar kepada pembeli pada 25 Ogos.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd