Cari @ Amanz

Pihak AMD baru sahaja mengumumkan siri kad grafik AMD Radeon RX Vega, dan ia merupakan kad grafik kelas atasan dari syarikat tersebut. Di acara Siggraph, terdapat pelbagai syarikat pembuat komponen yang turut mengumumkan model-model khusus yang berasaskan kad grafik tersebut.

Salah satu syarikat tersebut ialah ASUS, dan di acara Siggraph 2017, dan mereka menunjukkan tiga buah kad grafik AMD RX Vega, termasuklah ASUS RX Vega 64 yang menggunakan penyejuk udara asas, ASUS ROG STRIX Vega 64 dan juga ASUS RX Vega 64 Water Cooled Edition yang menggunakan penyejuk cecair.

Dari segi rekaan, kad grafik ASUS RX Vega 64 mempunyai dua model yang berbeza. Model pertama ialah kad grafik dengan penutup yang diperbuat daripada plastik hitam, manakala model yang kedua mempunyai penutup kad yang diperbuat daripada aluminium, dan berwarna perak.

Untuk kad grafik ASUS RX Vega 64 Water Cooled Edition, rupanya sama seperti kad grafik rekaan AMD, dan akan hadir dengan penutup kad aluminium berwarna perak dan juga radiator dan kipas bersaiz 120mm.

Kad grafik ASUS ROG STRIX RX Vega 64 pula hadir dengan sistem penyejukannya yang tersendiri, yang menggunakan tiga bilah kipas 0db dan juga sistem penyejukan MaxContact, dimana teras pengalir haba yang mengalirkan haba daripada cip grafik dengan lebih cekap berbanding dengan kad-kad grafik sebelum ini.

Kad grafik tersebut juga akan hadir dengan sokongan pencahayaan LED RGB ASUS Aura Sync pada bahagian kipas dan juga backplate

Menurut pihak ASUS Malaysia, kad grafik ASUS RX Vega 64 dengan penyejuk udara dan juga ASUS RX Vega 64 Water Cooled Edition akan hadir di pasaran Malaysia pada pertengahan bulan Ogos ini, manakala kad grafik ASUS ROG STRIX RX Vega 64 akan hadir pada pertengahan bulan September hingga Oktober kelak.

Seperti yang dinyatakan pada nama kad masing-masing, kesemua kad grafik yang akan hadir di pasaran ini ialah kad grafik AMD Radeon RX Vega dengan 64 compute unit. Pihak ASUS masih lagi belum pasti sama ada model dengan 56 compute unit akan dibawa masuk ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd