Kenderaan Berusia Tidak Lebih Lima Tahun Antara Syarat Perkhidmatan Perkongsian Kenderaan Dibenarkan Beroperasi

Kenderaan Berusia Tidak Lebih Lima Tahun Antara Syarat Perkhidmatan Perkongsian Kenderaan Dibenarkan Beroperasi

Diterbitkan pada Ogos 2, 2017 oleh .

Perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Gran akhirnya dapat beroperasi secara sah di Malaysia selepas kabinet meluluskan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Tetapi beberapa syarat dikenakan kepada pengusaha perkongsian kenderaan sebelum mereka dibenarkan beroperasi di atas jalan raya.

GrabCar

SPAD hari ini mengeluarkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi. Pertama sekali kenderaan yang digunakan tidak boleh berusia melebihi 5 tahun dari tarikh ia didaftarkan ke JPJ. Hak usia kenderaan sebelum ia perlu diganti pula ialah 7 tahun. Sebagai perbandingan, teksi perlu ditukar setiap 10 tahun.

Pemeriksaan tahunan di PUSPAKOM perlu dilakukan sekiranya kenderaan berusia lebih tiga tahun. Pemandu perlu memiliki insurans yang merangkupi kecederaan kepada pemandu, penumpang. kenderaan dan pihak ketiga. Ini bagi memastikan sekiranya kemalangan berlaku semua pihak terlindung.

Grab Kecemasan

Setiap pemandu akan disaring terlebih dahulu oleh SPAD, PDRM dan JPJ. Mereka turut perlu memiliki lesen memandu digital yang dikeluarkan SPAD dan pengusaha pula perlu menyediakan butang kecemasan terbina di dalam aplikasi.

Dengan pelbagai garis panduan dan syarat ini, perkhidmatan perkongsian kereta akan lebih menyamai perkhidmatan teksi. Ia adalah pedang dua mata kepada pengguna. Kesan positif ialah perkhidmatan yang lebih profesional serta selamat. Kesan negatifnya pula tambang mungkin meningkat bagi menampung kos mendapatkan lesen dan pemeriksaan tahunan.


TIPS & ULASAN