Cari @ Amanz

Acer mengumumkan beberapa siri laptop terbaharu di acara pengumuman Acer GPC mereka di New York beberapa bulan yang lalu, dan nampaknya kebanyakan peranti-peranti tersebut akan hadir di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Dua daripada peranti tersebut adalah laptop gaming Acer Predator Helios 300 dan juga Acer Nitro 5, yang hadir dengan CPU generasi ketujuh Intel Kaby Lake dan juga kad grafik NVIDIA siri GTX 10xx.

Laptop Acer Predator Helios 300 hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080 pixel, yang dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-7700HQ, memori DDR4 sebanyak 8GB dengan storan SSD 256GB dan HDD 1TB.

Dari segi pemprosesan grafik pula, ia dimuatkan dengan sebuah kad grafik NVIDIA GTX 1060. Untuk menyejukkan komponen-komponen yang berkuasa ini, Acer menggunakan kipas penyejuk AeroBlade 3D yang lebih cekap berbanding model sebelum ini.

Kesemua komponen-komponen ini dimuatkan di dalam sebuah cangkerang besi yang hadir dengan port-port I/O yang mencukupi, seperti dua port USB 2.0, sebuah port USB 3.0, port USB Type-C, HDMI dan juga port LAN.

Laptop Acer Nitro 5 pula sebuah gaming laptop mampu milik dengan spesifikasi yang masih cukup berkuasa untuk memainkan kebanyakan permainan komputer terbaru dengan tetapan yang cukup baik.

Sama seperti laptop Helios 300, ia hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD 1920×01080, dan dimuatkan dengan pilihan untuk CPU Intel Core i5 ataupun i7, memori DDR4 sebanyak 4GB yang boleh ditambahkan, dan juga storan HDD 1TB dan 128GB SSD jika anda membeli model Intel Core i7.

Dari segi I/O, Acer Nitro 5 hadir dengan jumlah port yang sama seperti Helios 300, termasuklah port LAN, HDMI dan pembaca kad SD. Dalam pada itu, laptop ini juga hadir dengan cangkerang besi yang memberikan peranti ini rupa yang cukup premium.

Kedua-dua laptop ini akan hadir di pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat ini, dan pihak Acer Malaysia telahpun mengumumkan tanda harga laptop-laptop ini. Acer Predator Helios 300 akan dijual pada harga RM 5999, manakala Acer Nitro 5 akan hadir pada harga RM 3299 untuk model Intel Core i5 dan NVIDIA GTX 1050, manakala model dengan CPU Intel Core i7 dan NVIDIA GTX 1050 Ti akan dijual pada harga RM 4699

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd