Carian
Samsung Galaxy Note 8 – Apa Yang Diketahui Setakat Ini?
August 3, 2017 Aman

Samsung kini dalam persiapan untuk pelancaran peranti terbaru mereka, Galaxy Note 8. Ia bakal dilancarkan pada 23 Ogos ini di New York – sekaligus menjadikan ia salah satu peranti yang dinantikan ramai di seluruh dunia.

Bagi para peminat keluarga Galaxy Note, ia semestinya salah satu yang dinantikan, memandangkan peranti pada tahun lepas telah ditarik kembali – sekaligus menjadikan Galaxy Note yang terakhir di pasaran adalah Galaxy Note 5.

Galaxy Note 8 akan menggunakan rekaan yang sama seperti Galaxy S8 – iaitu menggunakan skrin dengan bingkai nipis. Selepas ketirisan rekabentuk telefon pintar berkenaan, kini @evleaks turut berkongsi spesifikasi untuk telefon pintar ini.

Ia dikatakan bakal menggunakan skrin 6.3-inci SuperAMOLED dengan resolusi 1440×2960 pixel. Telefon pintar terbaru ini turut dijangka menggunakan cip Exynos 8895 dengan rekaan 10nm – sekaligus menawarkan penjimatan tenaga bateri dalam penggunaan. Samsung Galaxy Note8 dikatakan bakal menggunakan 6GB RAM, serta ruangan storan 64GB.

Untuk rakaman gambar, ia dijangka hadir dengan dwi-kamera pada bahagian belakang – menggunakan gabungan sensor 12-megapixel. Galaxy Note 8 mungkin menjadi peranti pertama dengan sokongan dwi-kamera ini. Ia dikatakan akan menggunakan satu sensor untuk rakaman sudut-luas, dan satu lagi untuk telephoto. Untuk rakaman selfie, Samsung akan menggunakan kamera 8-megapixel pada telefon pintar ini.

Dari segi bateri, Samsung dijangka menggunakan bateri 3300mAh, dan pengecas berasaskan USB-C. Dibawah fokus terhadap keluarga Note, telefon pintar ini juga dijangka menawarkan S-Pen dengan pelbagai ciri-ciri terkini.

Dengan pelbagai info yang telah tertiris ini, semestinya ramai yang ingin ketahui harganya. Ia masih menjadi misteri buat masa ini. Galaxy Note 7 sebelum ini diumumkan dengan harga RM3199, dan Galaxy S8+ yang dilancarkan pada tahun ini pula membawakan harga RM3699.


Spesifikasi Galaxy Note 8 Tertiris

Skrin : 6.3-inci (1440×2960 pixel) Super AMOLED 18:5:9
Cip : Exynos 8895 10nm
Memori : 6GB RAM
Storan : 64GB dengan sokongan mikro-SD
Kamera Belakang : 12+12-megapixel dwi-kamera
Kamera Hadapan : 8-megapixel f/1.7
Bateri : 3300mAh, USB-C
Piawaian : IP68 Kalis Air & Debu
Tambahan : S-Pen

  • Ini adalah berdasarkan info tertiris. Info rasmi dijangka diumumkan pada 23 Ogos ini.
Komen