Cari @ Amanz

Perkara yang menjengkelkan kami apabila cuba membeli barangan dari kedai Facebook dan Instashop ialah pembeli perlu menghantar mesej kepada penjual untuk mengetahui harga barang yang dijual. Tambah mengejutkan, terdapat ramai “Guru” perniagaan atas talian mengatakan ini ialah taktik terbaik memanipulasi algoritma Facebook kerana meningkatkan komen. Di masa terdekat amalan “PM harga sis” ini akan terhapus di Malaysia.

Datuk Mohd Roslan Mahayudin, pengarah bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dipetik dalam laporan New Straits Times mengatakan, penjual atas talian perlu memaparkan lapan maklumat penting pada setiap produk yang diiklankan. Lapan maklumat tersebut adalah.

  1. Harga penuh barangan/perkhidmatan – termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran.
  2. Nama penuh perniagaan dan individu yang menjalankan perniagaan
  3. Nombor pendaftaran perniagaan.
  4. Alamat penuh, nombor telefon dan emel perniagaan.
  5. Maklumat penuh produk apa yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan yang diberikan.
  6. Maklumat bayaran yang lengkap.
  7. Terma dan syarat jual beli.
  8. Anggaran tempoh masa produk akan dihantar.

Ini adalah bagi memenuhi Akta Perlindungan Pengguna 1999. Peniaga yang gagal memaparkan kelapan-lapan perkara di atas boleh didenda sebanyak RM 50,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. sekiranya disabit kesalahan. Pengguna menjadi mata kepada pihak KPDNKK dengan melaporkan kedai atas talian yang gagal mematuhi peraturan di atas dengan menghubungi talian 1-800-886-800.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd