Cari @ Amanz

Aliran kerja seorang jurugambar bermula dengan mencari subjek yang ingin diambil. Kamera kemudian ditetapkan kedudukan diikuti oleh melihat apa yang dipandang oleh kamera melalui viewfinder. Gambar yang diambil kemudian disunting menggunakan perisian grafik seperti Lightroom. Banyak masa dihabiskan di sini bagi menyunting gambar yang terbaik untuk  digunakan.

Aplikasi kamera rekaan Massachusetts Institute of Technology (MIT) akan mengubah bagaimana gambar diambil menggunakan telefon pintar. Dengan bantuan Google dan Adobe Systems, mereka menghasilkan aplikasi kamera yang menyunting gambar yang dipaparkan pada viewfinder sebelum ia diambil.

Prototaip aplikasi Android ini diperlihatkan di acara SISSGRAPH 2017. Rangkaian neural buatan menganalisa ribuan gambar yang telah disunting bagi mendapatkan tetapan gambar yang sempurna. Apabila fungsi suntingan diaktifkan, ia secara automatik memaparkan gambar pasca-suntingan pada viewfinder aplikasi. Jurugambar kini boleh melihat hasil gambar sebelum pengatup kamera ditekan.

Bagi insan yang kurang pintar mengambil gambar dan menyunting seperti kami, sistem suntingan langsung pada aplikasi ini akan memudahkan kerja. Tetapi berapa pantaskah sistem ini akan diperkenalkan pada peranti Android?

Seperti laporan kami semalam, Google mengambil masa yang lama memperkenalkan sistem baru pada kamera kerana ia perisian unsur terbuka. Oleh sebab itu Vic Gundotra, bekas timbalan presiden bahagian sosial di Google mengatakan kamera iPhone lebih baik berbanding Android.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd