Xiaomi Kini Dilaporkan Mendahului Fitbit Dan Apple Dalam Arena Peranti Boleh-Pakai

Xiaomi Kini Dilaporkan Mendahului Fitbit Dan Apple Dalam Arena Peranti Boleh-Pakai

Diterbitkan pada Ogos 4, 2017 oleh .

Strategy Analytics telah mengeluarkan data berkaitan Huawei yang semakin menghampiri pegangan pasaran Apple dalam arena telefon pintar sebelum ini. Kini, mereka turut mengeluarkan data analisa berkaitan peranti boleh-pakai, dan ia dilihat Xiaomi mendahului pelbagai pengeluar lain.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Strategy Analytics ini, Xiaomi mempunyai pegangan pasaran sekitar 17.1% pada suku kedua 2017 yang lepas, diikuti Fitbit pada tangga kedua dengan 15.7%, dan Apple dengan 13%.

Peranti Boleh-Pakai

Seperti ramai sedia maklum, Xiaomi popular dengan penawaran peranti boleh-pakai pada harga sangat murah. Mi Band mereka sendiri dijual pada harga berkali ganda murah berbanding pelbagai penyedia lain, sekaligus membuatkan ia menjadi pilihan ramai. Di China sendiri, Mi Band sangat popular, malah ia turut digunakan secara meluas di sejumlah negara lain, termasuk Malaysia.

Kejatuhan Fitbit pada suku tahun kedua lepas adalah mungkin kerana penawaran produk mereka yang kurang. Fitbit sendiri dikatakan menghadapi sedikit cabaran dalam arena perniagaan, dan sedang memfokuskan untuk memperkenalkan jam tangan pintar mereka sebelum penghujung 2017 ini.

Apple seperti biasa dengan Apple Watch, dan menjadi pilihan ramai pengguna seluruh dunia yang memfokuskan kepada gaya dan integrasi dengan ekosistem iOS.

Selain daripada itu, sejumlah syarikat lain turut mempunyai penawaran tersendiri, daripada Android Wear, sehinggalah penawaran individu seperti Samsung dengan peranti boleh-pakai berasaskan Tizen.

Bagi anda sendiri, apakah anda menggunakan peranti boleh-pakai? Sekiranya ya, jenama apakah yang digunakan oleh anda?


TIPS & ULASAN