Jika anda sedang memikirkan tentang komponen-komponen yang diperlukan untuk membina sebuah komputer kelas bangsawan, ASUS baru sahaja mengumumkan papan induk paling premium mereka untuk siri CPU Intel Core X series yang terbaru, iaitu ASUS ROG Rampage VI Apex X299.
Papan induk ini hadir untuk penggemar overclock, dan mahu mengejar nombor-nombor penanda aras yang tinggi, dan juga bagi mereka yang mahukan prestasi yang terbaik dari komputer mereka, tidak kira untuk permainan video ataupun tugas-tugas yang memerlukan kuasa CPU dan GPU yang tinggi.
Papan induk ini hadir dalam saiz E-ATX, tetapi rekaannya sedikit berbeza berbanding dengan papan-papan induk yang lain kerana ia hadir dengan beberapa potongan di bahagian sisinya yang membuatkan ia kelihatan berbeza berbanding dengan papan-papan induk lain.
Dari segi sokongan untuk sistem overclock, ia hadir dengan beberapa palam kuasa ATX, termasuk palam 24-pin dan 4-pin untuk kuasa ke papan induk, dua palam 8-pin EPS dan juga sebuah palam 6-pin untuk PCIe.
Menariknya, walaupun papan induk ini direka khusus untuk cipset Intel X299,ia hanya hadir dengan empat slot memori DDR4, yang bermakna setiap slot hadir untuk satu saluran memori DDR. Akan tetapi, papan induk ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri overclocking yang mudah digunakan seperti butang overclocking, palam untuk pengira voltan dan juga skrin LED untuk memeriksa ralat.
Buat masa ini, pihak ASUS masih lagi belum mengemukakan tanda harga dan tarikh kehadiran papan induk ini.