Jenama PowerLogic Kini Dikenali Sebagai Alcatroz – Hadir Dengan Aksesori Dan Peranti Untuk Komputer Pada Harga Mampu Milik

Jenama PowerLogic Kini Dikenali Sebagai Alcatroz – Hadir Dengan Aksesori Dan Peranti Untuk Komputer Pada Harga Mampu Milik

Diterbitkan pada Ogos 7, 2017 oleh .

Jika anda pernah membeli aksesori dan peranti untuk komputer sebelum ini, anda pasti sekurang-kurangnya pernah mendengar akan jenama PowerLogic. Ia hadir dengan barang-barangan seperti cangkerang komputer, bongkah kuasa, fon kepala, tetikus dan sebagainya.

Di acara Leapfrog Megatrends, syarikat tersebut mengesahkan bahawa jenama PowerLogic tersebut sudahpun ditukar kepada Alcatroz, dan ini dilakukan atas beberapa alasan, termasuklah untuk menyegarkan semula peranti-peranti di bawah jenama tersebut, dan juga untuk mengelakkan salah-faham di beberapa rantau dimana syarikat Leapfrog melakukan perniagaan.

Bersempena dengan itu, Leapfrog juga mengumumkan beberapa siri aksesori dan peranti baru yang bakal hadir dibawah jenama Alcatroz di dalam waktu terdekat ini. Peranti-peranti baru ini termasuklah papan kekunci, tetikus, pembesar suara dan juga power bank.

Siri papan kekunci Alcatroz dikatakan akan hadir pada harga mampu milik, dan pihak tersebut menunjukkan dua prototaip papan kekunci gaming yang masih belum diberikan nama, yang mempunyai rangka yang diperbuat daripada logam, dan dikatakan bakal hadir dengan sokongan untuk sistem nyalaan RGB.

Dalam pada itu, Alcatroz juga ada menunjukkan sebuah papan kekunci dengan sistem nyalaan tersebut. Alcatroz X-Craft Chroma 3000 merupakan sebuah papan kekunci untuk mereka yang mahukan papan kekunci dengan rekaan yang minimalis, tetapi masih mahukan sistem pencahayaan RGB yang menarik.

Alcatroz X-Craft HP5000 pula sebuah fon kepala yang dibina untuk para gamer yang mahukan fon kepala dengan rekaan menarik, tetapi pada harga mampu milik. Sama seperti siri fon kepala Armaggeddon Nuke, fon kepala Alcatroz HP5000 ini menggunakan driver bersaiz 50mm, dan mampu memberikan anda kualiti bunyi yang cukup mengagumkan.

Jika tetikus yang anda cari, Alcatroz mempunyai dua siri tetikus yang boleh digunakan untuk persekitaran yang berbeza. Alcatroz Stealth Air 3 merupakan tetikus tanpa-wayar yang hadir dengan butang klik yang senyap. Tetikus ini sesuai sekali digunakan oleh mereka yang bekerja di pejabat, kerana ia bukan sahaja kemas, tetapi butangnya tidak akan membuat bunyi bising sama sekali.

Siri tetikus kedua ialah Alcatroz Pebble. Sama seperti Stealth Air 3, tetikus ini merupakan sebuah peranti tanpa-wayar, dan sesuai digunakan untuk mereka yang mempunyai sistem HTPC (Home Theater PC) di ruang tamu. Tetikus ini boleh digunakan di permukaan-permukaan seperti kain, kayu dan sebagainya tanpa masalah.

Alcatroz Pebble hadir dengan warna-warna yang berbeza, dan apa yang berbeza di sini ialah permukaannya mempunyai ciri-ciri berbeza bergantung kepada warna tetikus yang anda beli.

Jenama Alcatroz ini juga akan membawa masuk siri power bank dan adapter pengecasan TZLA (disebut Tesla) yang mempunyai kapasiti storan kuasa sehingga 20,000mAh, dan hadir dengan sokongan teknologi pengecasan seperti QuickCharge. Dalam pada itu, adapter-adapter pengecasan TZLA juga hadir dengan sokongan untuk pengecasan USB Type-C, yang masih tidak lagi begitu banyak di pasaran.

Segelintir daripada produk Alcatroz sudahpun hadir di pasaran, tetapi seperti peranti-peranti baru seperti papan kekunci, tetikus Alcatroz Stealth Air 3 dan Pebble dan juga pengecas TZLA dikatakan akan hadir dalam masa yang terdekat ini.


TIPS & ULASAN