Cari @ Amanz

Sabtu lalu peminat konsol PlayStation di Malaysia diberikan peluang untuk menghadiri acara PlayStation Experience SEA 2017. Ia acara julung kali diadakan di rantai Asia Tenggara dan tidak mengejutkan mendapat sambutan yang cukup luar biasa. Kami menemui peminat yang sanggup datang dari pantai timur, utara dan selatan Malaysia semata-mata untuk menghadiri acara yang semalam ini hanya diadakan di benua Amerika Utara. Jadi apakah yang menarik, buruk dan harus diperbaiki di acara PlayStation Experience SEA ini?

YANG BAIK

Pengunjung

Kita sering mendengar rakyat Malaysia tidak berdisiplin dan mengikut “waktu Malaysia”. Seluruh sidang redaksi Amanz dan Aksiz tiba di KL Live pada jam 7 pagi. Amat mengejutkan apabila kami melihat barisan pengunjung yang sudah beratur hampir 200 meter dari pintu masuk. Kami sempat menemuramah insan yang hadir paling awal. Mereka mengaku sudah beratur sejak malam sebelumnya. Bagi yang tidak sanggup tidur seperti gelandangan, mereka beratur sejak jam lima pagi.

Peminat tegar ini berpegang kepada prinsip biar awal asal selamat. Pengunjung berbaris dengan penuh disiplin walaupun cuaca agak panas. Tiada insiden orang memotong sesuka hati dapat kami lihat atau kami baca di media sosial. Apabila pintu acara dibuka, pengunjung tidak menyerbu tetapi bergerak dengan tertib mengikut giliran.

Seleksi Permainan

Seleksi permainan merangkumi hampir kesemua genre. Bagi yang menyukai permainan lumba kereta, Grand Turismo Sports lengkap dengan penyelaku disediakan. Lebih meminati permainan beat-em up? Marvel vs Capcom Infinite boleh dimainkan menggunakan fight stick. Seleksi permainan VR juga tidak kurang hebat dengan Inpatient, Stifled, Monster of The Deep : FFXV dan Bravo Team. Tidak ketinggalan permainan dengan alat kawalan unik Taiko no Tatsujin: Session de Dodon ga Don! Terdapat pelbagai permainan yang boleh dicuba oleh pengunjung sepanjang acara.

Oh ya. Kami amat gembira Sony menggunakan PlayStation 4 biasa pada kesemua demo dan bukannya PlayStation Pro. Majoriti pengguna masih lagi menggunakan PS4 biasa dan demo yang dicuba memberikan gambaran yang lebih realistik apabila dimainkan pada konsol di rumah.

Barangan Rasmi PlayStation

Adalah amat sukar untuk mendapatkan barangan asli berjenama PlayStation di Malaysia. Di PlayStation Experience, peminat boleh mendapatkan t-shirt, jaket, permainan edisi khas dan pelbagai lagi terus dari sumber. Harga jualan mungkin sedikit mahal (RM 99 untuk T-shirt dan RM199 untuk hoodie) tetapi bagi yang mementingkan kualiti, ini peluang yang harus direbut. Pihak PlayStation turut memberikan T-Shirt edisi khas bagi 300 pengunjung pertama dan barangan edisi terhad yang hanya boleh dimiliki dengan cabutan bertuah.

YANG BURUK

Ruang Pameran Yang Kecil

Ini ialah komen negatif yang tertinggi kami terima dari pengunjung. Ruang lantai adalah agak kecil untuk acara yang ulung kali dianjurkan di Malaysia. Mungkin pihak PlayStation Asia tidak menyangka terdapat ramai peminat konsol mereka di negara kita. Ruang yang kecil menyebabkan hanya sebilangan kecil pengunjung dibenarkan masuk secara beransur-ansur.

Kami pernah ke E3 dan ruang pameran PlayStation Experience hanya 1/3 dari ruang lantai yang diambil oleh PlayStation di LA Convention Center. Menjelang tengah hari jumlah pengunjung bertambah dan ruang dalaman menjadi padat sehingga menjadi kurang selesa. Kami bersyukur sistem penyaman udara KL Live berfungsi dengan baik. Walaupun dipenuhi ramai pengunjung kami tidak berpeluh namun menjelang petang bau yang “menarik” mula menusuk rongga hidung.

Jumlah Reruai Yang Sedikit

Kerana ruang lantai yang kecil, jumlah reruai untuk demo permainan juga menjadi terhad. Terdapat empat sahaja penyelaku untuk GT Sports. Barisan untuk mencuba demo GT Sports adalah antara yang terpanjang diikuti pula oleh reruai untuk PSVR.

Bercakap tentang PSVR, masa menanti yang amat lama diikuti pula oleh peranti realiti maya yang dibasahi peluh membuatkan pengalaman sedikit kurang menyenangkan. Kami bernasib baik dapat mencuba kesemua demo sejam lebih awal tanpa perlu beratur. Tetapi maklum balas dari pengunjung lain ramai yang terasa sedikit kecewa kerana tidak sempat mencuba semuanya.

Pengunjung Dihalau

Sekitar jam tiga petang kami dimaklumkan oleh rakan mereka dihalang dari beratur di hadapan pintu KL Live. Menurut mereka, pengawal keselamatan menghalang pengunjung dari beratur atas “arahan Polis Diraja Malaysia”. Kekecewaan menyebabkan ramai pulang dengan hampa tanpa dapat melihat ruang pameran.

Kami menghubungi pihak PlayStation Asia dan mereka menegaskan tidak menerima sebarang arahan dari PDRM tentang halangan beratur. Malahan mereka terkejut kejadian ini berlaku. Akibatnya selepas jam tiga, hanya sebilangan pengunjung dilihat beratur di luar KL Live.

Pada jam enam petang, kami melihat laporan di Twitter pengunjung dibenarkan beratur semula. Mereka yang pantas dapat memasuki ruang pameran tanpa perlu beratur lama kerana terdapat ramai pengunjung telah pulang.

YANG PERLU DIPERBAIKI

Secara keseluruhan acara pertama PlayStation Experience SEA ini boleh dikatakan berlangsung dengan jayanya. Sambutan cukup luar biasa dengan peminat sanggup hadir dari seluruh genap Malaysia dan beratur dari awal pagi. Pengunjung juga berdisiplin dan tidak mendatangkan sebarang masalah. Namun harus diakui terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki di acara PlayStation Experience SEA di masa hadapan.

Pertama sekali ruang pameran yang lebih besar mungkin dapat digunakan serta lebih banyak reruai demo disertakan. PlayStation Asia sudah boleh melihat bahawa peminat konsol mereka adalah amat besar di rantau ini.

Kedua kami berharap kawalan pengunjung (crowd control) dapat dilakukan dengan lebih lancar. Insiden pengunjung dilarang dari beratur untuk memasuki ruang pameran adalah mengecewakan. Bayangkan mereka menanti dengan sabar sejak tarikh diumumkan tetapi dihalau hanya beberapa meter dari pintu masuk.

Sidang redaksi Amanz dan Aksiz mengucapkan terima kasih kepada pihak PlayStation Asia kerana sudi memberikan jemputan serta akses lebih awal. Diharap jemputan yang sama dapat diberikan sekali lagi untuk acara yang dianjurkan oleh mereka di masa hadapan.


Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Bagi yang sempat mengunjungi PlayStation Experience South East Asia 2017, apakah perkara positif atau negatif yang ingin anda kongsikan? Sila luahkannya di ruangan komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd