Cari @ Amanz

Kami tergolong di dalam kumpulan yang kerap mendengar muzik menggunakan peranti pintar di pejabat. Ia meningkatkan tumpuan ketika menulis di pejabat. Kerap kali fon telinga musnah kerana tidak tahan lasak disimpan di dalam beg. Fon kepala Samsung U Flex yang dilancarkan pagi tadi direka khas untuk insan seperti kami.

Samsung U Flex ialah “fon kepala” dengan rekaan earbud. Ia disangkut pada leher dengan dua earbud yang boleh dicantum secara magnetik. Pemacu audio jenis woofer 11mm dipadankan dengan pemacu tweeter sebesar 8mm digunakan pada setiap earbud.

Bahagian yang disangkut pada leher tahan lasak boleh dilentur sehingga 100 darjah. Ini membolehkannya disimpan di dalam kocek seluar apabila tidak digunakan. Ia turut tahan percikan air menggunakan teknologi salutan teknologi nano P2i. Menurut Samsung, fon kepala ini mampu berfungsi sehingga 10 jam sebelum perlu dicas semula.

Fungsi tambahan lain yang disertakan ialah butang kawalan terbina Bixby dan S Voice pada sebelah kanan. Butang kawalan suara dan muzik pula terletak pada sebelah kiri. Buat masa ini tarikh jualan dan harga masih belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd