Asus hari ini telah memperkenalkan beberapa peranti baru dibawah keluarga Zenfone 4. Salah satu peranti yang diperkenalkan adalah Asus Zenfone 4 Selfie Pro, yang mana memfokuskan kepada ciri kamera hadapan untuk rakaman selfie.
Seperti ramai sedia maklum, terdapat beberapa peranti yang memfokuskan kepada arena ini, termasuk daripada Oppo dan juga Vivo. Asus sendiri memfokuskan kepada arena ini dengan turut menyertakan sokongan dwi-kamera pada bahagian hadapan untuk rakaman gambar yang baik.
Zenfone 4 Selfie Pro | |
---|---|
Skrin | 5.5-inci AMOLED HD Penuh |
Pemproses | Snapdragon 625 |
Memori | 4GB RAM |
Muatan Dalaman | 64GB |
Kamera Depan | 24MP (IMX362) + 5MP |
Kamera Belakang | 12MP |
Bateri | 3000 mAh (Mikro-USB) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
Harga Jualan | RM 1799 |
Dari segi spesifikasi, Asus Zenfone 4 Selfie Pro hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci AMOLED dengan sokongan paparan pada resolusi HD Penuh. Menggunakn cip pemprosesan Snapdragon 625, memori sehingga 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB. Telefon pintar ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3000mAh, tetapi menggunakan port mikro-USB untuk tujuan pengecasan dan bukannya USB-C. Pihak Asus mengatakan langkah ini kerana ia ditujukan kepada pengguna umum yang memfokuskan selfie dan mungkin mereka sedia mempunyai sejumlah aksesori yang mesra peranti sedia ada dengan port berkenaan.
Peranti ini turut hadir dengan rekaan berasaskan logam, dilengkapi pengimbas cap jari pada bahagian hadapan, dan butang kapasitif dengan posisi butang Back pada bahagian kiri dan butang Recent Apps pada bahagian kanan. Asus turut menyertakan sebuah kerangka luar tambahan dalam kotak untuk perlindungan tambahan bagi telefon pintar anda.
Dwi-Kamera Untuk Selfie
Menjadi fokus utama pada telefon ini adalah sokongan kamera hadapan yang hadir dengan ciri 24-megapixel DuoPixel F/1.8, dan sensor 5-megapixel Untuk kamera 24-megapixel berkenaan, Asus menggunakan sensor IMX362 yang sebenarnya 12-megapixel, tetapi ia diubah-suai sedikit dengan mematikan ciri PDAF dan beberapa perubahan supaya ia boleh menghasilkan rakaman 24-megapixel. Dengan saiz rakaman yang besar, ia membolehkan pengguna menghasilkan rakaman yang cantik apabila dicetak pada kertas dan sebagainya. Sensor tambahan kedua yang digunakan adalah 5-megapixel yang memfokuskan kepada rakaman gambar luas.
Daripada percubaan kami, ia dilihat menghasilkan rakaman gambar selfie yang sangat cantik pada kamera utama – tidak kira pada keadaan cahaya cerah ataupun malap. Walaubagaimanapun, ketika mod rakaman luas diaktifkan – ia menggunakan sensor kedua, sekaligus menjadikan hasil rakaman tidak begitu cerah berbanding penggunaan sensor utama 24-MP. Asus Zenfone 4 Selfie Pro turut dilengkapi dengan sokongan LED dihadapan – dimana sekiranya anda merakamkan gambar pada keadaan cahaya yang terlalu gelap, ia boleh diaktifkan dan merakamkan gambar anda tanpa masalah melaluinya.
- Lebih contoh gambar akan ditambah pada awal pagi esok/
Asus sendiri turut menyertakan sebuah aplikasi khusus bersama dengan telefon pintar ini dinamakan sebagai Selfie Master. Melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh membuat beberapa perkara, termasuk:
Rakaman Kamera – Berbeza dengan kamera utama, ia hadir dengan ciri mencantikkan wajah.
Rakaman Video – Turut hadir dengan ciri mencantikkan wajah.
BeautyLive – Kebolehan untuk menstrim video secara langsung dengan penambahan ciri mencantikan wajah secara masa-nyata. Sesuai untuk Instagram Live dan juga Facebook Live.
Kolaj – Kebolehan mengabungkan sejumlah gambar menjadi gambar kolaj sebelum dikongsikan ke laman sosial.
Slideshow – Kebolehan untuk mengabungkan sejumlah gambar dan video untuk menghasilkan sebuah video dengan tema tersendiri termasuk lagu latar.
Untuk rakaman belakang pula, kami agak kurang berpuas hati dengan hasil rakaman. Ia seperti kehilangan sedikit pewarnaan dan gambar sedikit malap jikalau dibandingkan dengan dunia sebenar. Pada keadaan malap pula, ia sedikit mengecewakan kerana gambar kurang jelas ketika dirakamkan. Hal ini mungkin dijangka ramai kerana telefon pintar ini lebih memfokuskan kepada rakaman gambar hadapan sahaja, dan sensor yang lebih baik digunakan pada kamera bahagian hadapan.
Selamat Tinggal Bloatware
Bercakap mengenai peranti Asus Zenfone sahaja, salah satu igauan ramai adalah mengenai perisian dan aplikasi gendut yang disertakan bersama pada telefon pintar berkenaan sejak beberapa generasi sebelum ini. Pada ZenUI 4.0, pihak Asus akhirnya mengambil berat hal ini, dan telah membuang pelbagai aplikasi yang tidak digunakan – sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan peranti yang lebih baik dan lancar.
Penutup
Secara kesimpulannya, dengan letusan perkhidmatan sosial seperti Instagram Stories, Snapchat, Facebook Stories, dan sebagainya, semestinya anda ingin tampil cantik didalam video dan gambar yang dikongsikan. Ia secara tidak langsung menghasilkan permintaan tersendiri untuk kamera hadapan yang cantik – dan Asus Zenfone 4 Selfie Pro memenuhi permintaan berkenaan.
Di Malaysia, Asus Zenfone 4 Selfie Pro akan ditawarkan pada harga RM1799, bermula daripada 25 Ogos 2017 kelak.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|