Cari @ Amanz

Pandang Pertama Samsung Galaxy Note 8 – Kembalinya Raja Phablet

Link Copied!

Samsung Galaxy Note 8 akhirnya dilancarkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penarikan semula Note 7 akibat masalah bateri tahun lalu. Ketika ditarik semula, terdapat sebilang kecil peminat tegar Note 7 yang berkeras menggunakannya walaupun menyedari ia mungkin meletup pada bila-bila masa. Ini adalah kerana setakat ini tidak ada alternatif kepada peranti dengan stylus yang mempunyai kemampuan peranti keluarga Note.

Dengan Note 8, rekaan Note diberikan nafas baru serasi dengan anjakan paradigma rekan peranti semasa. Skrin Infiniti S8 digunakan semula. Tetapi perbezaan saiz skrin Note 8 dan S8+ adalah kecil iaitu o.1″ sahaja (6.3″ vs 6.2″). Adakah perbezaan kecil ini serta penggunaa sistem dwi-kamera pada peranti Samsung akan membuatkan Note 8 berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy Note 8.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 8
Skrin 6.3″ QHD+ SAMOLED (521 PPI)
Pemproses Exynos 8895
Cip Grafik Mali G71 MP20
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64  Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel , f/1.7+f/2.4, OIS, Zoom Optikal
Kamera Depan 8 Megapixel f/1.7, Fokus Auto
Bateri 3300 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan  Belum diumumkan

Skrin 6.3″ yang digunakan pada peranti ini hanya sedikit lebih besar berbanding 6.2″ yang ditemui pada Galaxy S8+. Hasilnya ialah Note 8 adalah sedikit tinggi dan lebar berbanding model terbesar Galaxy S8+. Skrin SAMOLED Infinity Display dwi-lengkung dikekalkan dengan resolusi QHD+. Keempat-empat bucu skrin mempunyai jejari bulatan yang kecil berbanding S8. Ini bagi membuatkannya rekaannya lebih serasi dengan tubuh Note 8 yang lebih berkotak.

Walaubagaimanapun apabila peranti dihidupkan buat pertama kalinya, resolusi ditetapkan pada FHD+ sahaja. Skrin memanjang dengan nisbah 18:5 ini menyokong paparan HDR. Sungguhpun begitu sehingga artikel ini ditulis, penstriman kandungan HDR melalui Neftlix, Amazon Prime dan YouTube masih belum disokong.

Skrin SAMOLED buatan Samsung ini tidak mengecewakan dengan warna yang hidup dan boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah sinaran matahari yang terik. Kami membawa Note 8 berjalan-jalan sekitar New York ketika musim panas terik. Tidak sekalipun kami sukar melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Ini adalah kelebihan skrin SAMOLED berbanding IPS LCD yang kerap ditemui pada peranti pengeluar lain.

Ini dipadankan dengan pemproses Exynos 8895 untuk pasaran Malaysia, RAM sebesar 6 GB dan storan 64GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256GB boleh digunakan.

Perubahan paling menarik pada Note 8 tahun ini ialah penggunaan sistem dwi-kamera yang disusun mendatar pada bahagian belakang peranti. Samsung memilih menggunakan dua sensor 12-Megapixel dengan satu lensa f/1.7 untuk rakaman biasa manakala sebuah lagi dengan lensa f/2.4 untuk zoom optikal 2X. Ura-ura zoom optikal 3X nampaknya tidak menjadi kenyataan. Kekecewaan terubat kerana kedua-dua kamera mempunyai sokongan OIS serta sistem pemfokusan Duo-Pixel yang pantas. Pada bahagian hadapan kamera selfie 8-Megapixel f/1.7 dengan fokus auto disertakan. Masih tiada sistem flash atau OIS disertakan.

Sebuah pengimbas nadi dan jari disertakan bersebelah dwi-kamera. Ini masih bukan penyelesaian kepada kedudukan pengimbas yang kurang ergonomik pada S8. Tetapi dengan pengimbas nadi dan jari yang kini bersebelahan antara satu sama lain, masalah jari mengotorkan lensa kamera kini berjaya dikurangkan. Bagi mengurangkan lagi kesilapan tersentuh lensa kamera, permukaan lensa kamera kini rata tanpa dengan alur untuk pengimbas cap jari yang lebih dalam. Alur yang lebih dalam ini memudahkan pengguna mencari kedudukan pengimbas cap jari.

Bagi yang kurang yakin dengan imbasan jari, sistem nyahkunci menggunakan wajah dan anak mata turut boleh digunakan. Perbezaan di antara dua sistem ini ialah sistem imbasan mata tidak mesra mereka yang berkaca mata.

Bateri “sebesar” 3300 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar. Kami letakkan “sebesar” kerana ia lebih kecil berbanding 3500 mAh yang ditemui pada Galaxy S8+. Ini adalah mengecewakan kerana skrin yang lebih besar akan pasti menggunakan lebih kuasa. Ini antara kerisauan kami apabila melihat spesifikasi penuh Note 8. Tambahan lagi sistem Adaptive Fast Charging Samsung tidak sepantas QuickCharge 3.0 Qualcomm dari generasi terdahulu. Menurut Samsung hanya setanding QuickCharge 2.0.

Akhir sekali ialah terdapat sokongan NFC dan MST bagi pemindahan fail dengan mudah serta Samsung Pay. Tidak lupa juga stylus S-Pen yang kami lihat tidak mempunyai perbezaan berbanding Note 7 tahun lalu.

Bagi mereka yang tidak membaca kesemua yang ditulis di atas, versi pendeknya ialah Note 8 ialah sebuah S8+ dengan skrin lebih besar, dilengkapi dwi-kamera, stylus dan bateri lebih kecil.

Rekabentuk

Tubuh Note 8 adalah lebih berkotak berbanding S8. Ini adalah konsisten dengan rekaan yang digunakan pada Note 7. Jujurnya kami lebih menyukai rekaan yang lebih berkotak ini kerana kelihatan lebih kacak.

Kerangka logam pada sisi dipadankan dengan panel berkaca depan dan belakang. Kerana permukaan yang hampir kesemuanya kaca, ia memerangkap kotoran dengan teramat mudah.

Butang kuasa terletak pada kanan peranti dan diperbuat daripada logam. Dua butang kawalan suar pula terletak pada sisi kiri di atas butang khas Bixby.

Bergerak ke atas, terdapat satu talam dwi-SIM nano dan kad MikroSD. Talam yang digunakan adalah dari jenis hibrid dan tidak membenarkan penggunaan dwi-SIM serentak dengan kad MikroSD. Seperti pada model-model terkini Samsung, talam SIM perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan.

Sebuah pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Ini apabila dipadankan dengan pembesar suara pada bahagian atas skrin memberikan sokongan audio stereo. Bersebelahannya  terdapat tempat simpanan S-Pen. Rekaan yang dikemaskini membuatkan S-Pen tidak lagi boleh dimasukkan secara terbalik. Bicu audio 3.5mm dan port pengecasan USB-C juga terletak pada bahagian bawah.

Walaupun terdapat lubang terbuka, Samsung Galaxy Note 8 masih hadir dengan tahap ketahanan air dan debu IP68. Pada peranti utama semasa, ini ialah yang kini wajib disertakan bagi menjadikan peranti lebih kompetitif di pasaran.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Samsung Experience 8.5. Kedua-duanya adalah lebih terkini berbanding yang digunakan pada S8 (Android 7.0 dan Samsung Experience 8.1). Perbezaan yang kami sedar ialah animasi antaramuka adalah lebih pantas dan lancar berbanding pada S8. Animasi sedikit kurang lancar mencari sumber rungutan pengguna S8.

Tetapi kami kecewa fungsi App Shortcut yang muncul apabila ikon aplikasi ditekan tidak disertakan. Ia adalah fungsi menarik Android 7.1.1 yang kerap kami gunakan pada Google Pixel dan HTC U11 yang kami miliki.

Selain antaramuka lebih lancar tidak banyak perubahan mendadak dapat kami temui pada antaramuka Note 8.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Yang paling kami minati ialah Smart Select yang membolehkan GIF beranimasi dihasilkan terus dari skrin peranti.

Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.

Themes – Mengubah tema antaramuka, latar belakang dan pek ikon.

Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu.

Put To Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Mengakses Talam Notifikasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Skrin yang memanjang pasti menyukarkan akses kepada talam notifikasi. Dengan mod ini talam boleh ditarik ke bawah dan ke atas dengan tatalan pada pengimbas jari seperti pada peranti Google Pixel.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Ini menggantikan fungsi menekan butang home fizikal sebanyak dua kali yang tidak lagi wujud.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5, 5×5 atau 5X6.

Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.

Edge Panels – Pintasan pantas kepada aplikasi kegemaran, nombor telefon insan terpenting, lampu suluh, pembaris, kompas dan juga rumusan berita terkini terus dari skrin sisi.

 

Stylus S Pen

Sokongan stylus S-Pen kembali tanpa perubahan yang ketara. Stylus Note 8 masih lagi menggunakan teknologi Wacom yang tidak memerlukan bateri. Ia mampu mengesan 4096 tahap tekanan. Pada aplikasi yang menyokongnya, ketebalan garisan lakaran berubah mengikut tekanan pada mata pena.

Stylus sepanjang 5″ ini kami lihat mengitar semula rekaan tahun lalu. Bahagian belakang mempunyai mekanisme yang menghalang ia dari dimasukkan secara terbalik. Sebuah butang kawalan terletak berhampiran bahagian hadapan S-Pen untuk kawalan tambahan. Bagi mereka yang pernah menggunakan peranti Note, mereka tidak perlu belajar semula menggunakan S-Pen kerana penggunaan rekaan yang sama.

Berikut ialah beberapa fungsi yang boleh dilakukan dengan S-Pen.

Pelancaran Aplikasi Pantas – Pintasan pantas kepada aplikasi boleh diletakkan pada menu Air Command.

Live Message – Menghasilkan GIF beranimasi sekitar empat saat menggunakan lakaran sendiri.

Google Translate – Melakukan alih bahasa secara automatik apabila cursor S-Pen diapungkan di atas perkataan yang ingin dialih bahasa.

Screen Off Memo – Melancarkan aplikasi mengambil memo terus dari peranti yang dikunci. Memo yang ditulis atau lakaran yang dilakukan akan disimpan sejurus selepas S-Pen dimasukkan semula ke tempat simpanan.

Smart Select – Mengambil gambar paparan skrin tertentu sahaja dengan menetapkan had kawasan. GIF beranimasi dari video juga boleh dihasilkan menggunakan fungsi ini.

Bixby Vision – Melancarkan carian imej menggunakan pembantu maya Bixby

Kesimpulan

Samsung Galax Note 8 menandakan kembalinya peranti Note ke pasaran dunia. Persoalannya adalah masih terdapat ruang untuk sebuah phablet dengan stylus? Sekiranya anda terdiri dari golongan yang kerap mengambil nota bertulis, melakar dan memerlukan kawalan lebih tepat pada skrin, ini ialah peranti untuk anda. Tiada banyak fungsi baru diperkenalkan berbanding Note 7 tahun lalu, memandangkan ia peranti yang “dibatalkan”, pengenalan fungsi baru mungkin tidak diperlukan

Perubahan yang ada ialah dari Air Command kini pengguna boleh melancarkan fungsi Bixby dan Live Message yang boleh dihantar kepada pengguna lain. Fungsi lakaran terus dari skrin terkunci yang diperkenalkan pada Note 7 juga digunakan semula. Ini amat berguna bagi insan yang ingin mengambil nota secara terus tanpa perlu menyahkunci skrin terlebih dahulu.

Fungsi dwi-kamera juga menarik dengan kemampuan zoom optikal sehingga 2X. Ini meletakkan setanding dengan apa yang ditawarkan pada iPhone 7 Plus. Dari beberapa contoh yang sempat kami ambil ia berfungsi dengan baik dengan kesan khas bokeh Live Focus yang kemas.

Saiz peranti hanya sedikit lebih lebar dan panjang berbanding Galaxy S8+. Tanpa kerangka kami sedikit risau menggunakannya dengan sebelah tangan kerana permukaan sisi dan belakang yang amat licin. Seperti pada S8, kami menyarankan penggunaan kerangka bagi mengelakkan kerosakan apabila terjatuh dan mengelakkan kekotoran kerana panel kaca yang memerangkap kotoran jari.

Dengan Samsung Galaxy S8, buat pertama kalinya perbezaan di antara keluarga Galaxy S dan Galaxy Note dapat dilihat selain perbezaan saiz skrin serta penggunaan S-Pen. Samsung akhirnya menyokong sistem dwi-kamera dan besar kemungkinan akan kemudian digunakan pada S9. Dari apa yang lihat dalam penggunaan selama sehari, Note 8 juga lebih lancar berbanding S8 dan S8+. Nantikan ulasan penuh peranti ini apabila ia dilancarkan di Malaysia kelak.


Komen ()