Google hari ini akhirnya telah pun mengumumkan nama akhir untuk versi Android 8.0, iaitu Android Oreo.
Menjadi kebiasaan pihak Google menamakan nama versi untuk sistem operasi Android berdasarkan kepada nama makanan yang manis. Sebelum ini, mereka telah memperkenalkan Kitkat untuk versi 4.4, Lolipop untuk 5.0, Marshmallow untuk 6.0 dan Nougat untuk 7.0.
Melalui Android 8.0 Oreo, Google menyertakan sejumlah ciri-ciri baru, termasuk memfokuskan kepada kelancaran penggunaan peranti, mempercepatkan kelajuan boot, penambah-baikkan kepada penggunaan memori, dan pembahagian memori dan pemprosesan dengan baik antara aplikasi di latar.
Disamping itu, beerapa ciri-ciri baru lain adalah termasuk sokongan Picture-in-Picture, integrasi Android Instant Apps, pelindungan tambahan melalui Google Play Protect, penggunaan dot notifikasi, dan beberapa penambah-baikkan dari segi sekuriti dan privasi.
Dengan pengumuman nama ini juga, Google kini akan memulakan pengenalan versi akhir Android 8.0 Oreo tidak lama lagi untuk peranti Pixel, Nexus 5X dan juga Nexus 6P. Untuk pengguna peranti lain, anda mungkin perlu nantikan pengenalan kemaskini versi terbaru Android 8.0 Oreo ini oleh pengeluar peranti anda – yang mana mungkin mengambil masa berbulan.