Bersama Expedia – Syarikat Yang Sedang Mentransformasi Dunia Pelancongan Melalui Teknologi & Inovasi

Bersama Expedia – Syarikat Yang Sedang Mentransformasi Dunia Pelancongan Melalui Teknologi & Inovasi

Diterbitkan pada Ogos 22, 2017 oleh .

Anda mungkin pernah mengenali Expedia, iaitu syarikat yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan untuk memudahkan anda menguruskan segala urusan pelancongan. Mereka adalah satu entiti yang cukup besar, yang mana kini mempunyai pelbagai penawaran di bawah mereka, seperti Expedia.com, Hotels.com, dan perkhidmatan trivago yang terkenal dengan tagline “Hotel? Trivago”.

Ketiga-tiga laman ini hanyalah sebahagian kecil yang diuruskan Expedia, kerana mereka kini telah memegang lebih 200 laman tempahan tiket pelancongan di 75 buah negara. Sehingga kini, Expedia mempunyai senarai lebih 300,000 buah bilik hotel dan 500 penerbangan yang boleh ditempah melalui perkhidmatan mereka ini.

Kami berkesempatan untuk bersama dengan Simon Fiquet, iaitu Pengurus Am untuk India dan Asia Tenggara, dalam mendekati perkembangan dan inovasi yang sedang dibangunkan Expedia.

Antara perkembangan terkini yang dikongsikan ialah pembangunan Innovation Lab yang membolehkan mereka mengaplikasikan teknologi pada perkhidmatan mereka. Salah satu manfaat dari pembangunan ini, pengalaman pengguna dapat ditingkatkan melalui data dan analisis, berdasarkan pilihan yang dibuat oleh pengunjung di laman web mereka.

Melalui program ini, mereka telah melabur lebih $1.2 bilion USD, dengan penglibatan sekitar 2000 jurutera dan 700 saintis data untuk pembangunan hasil carian yang lebih banyak pilihan, fleksibel, dan mengikuti citarasa seseorang pengguna. Dengan tingkatnya perkembangan teknologi, komputer tidak lagi hanya menganalisa, tetapi turut mula memahami keinginan seseorang pengguna dan seterusnya, memaparkan carian yang berkaitan apabila diperlukan.

Innovation Lab yang terletak di Singapura ini telah menyajikan mereka dengan dua kebolehan teknikal, yang membolehkan mereka melihat bagaimana pengguna menggunakan laman yang dikelola oleh Expedia.

Salah satu teknologi yang digunakan ialah Electromyography (EMG), iaitu teknologi yang mampu mempelajari reaksi pengguna berdasarkan pergerak mulut seperti senyuman dan kerutan di bahagian kening manusia. Alat ini diletakkan pada bahagian pipi dan di bahagian atas kening, untuk meninjau kadar mesra pengguna apabila terdapat perubahan rekaan pada laman web mereka. Contohnya, sekiranya laman web yang diuji menawarkan rekaan yang tidak kemas dan sukar diakses, raut wajah seperti muram akan menandakan kadar sesuatu ketidakmesraan pengguna.

Selain daripada EMG, Expedia turut menggunakan teknologi Eye Tracking untuk pembangunan aplikasi dan laman web mereka, untuk membaca kedudukan mata yang lebih difokuskan daripada mata pengguna apabila mengakses perkhidmatan mereka. Dengan penggunaan teknologi seperti ini, aplikasi dan laman web yang dibangunkan Expedia akan lebih mudah digunakan berdasarkan ujian reaksi dan penglihatan daripada pengguna.

Bagi menjayakan pembanguna inovasi ini, mereka mengamalkan konsep Test and Learn, bagi mempelajari teknik penyelesaian daripada masalah pengguna, melalui 1500 ujian yang dilakukan setiap tahun. Expedia juga turut menggunakan kaedah Machine Learning pada enjin carian mereka, untuk menapis kira-kira 10,000 tiket penerbangan dan hanya memaparkan 1600 hasil carian yang berkaitan sahaja dalam masa 3 saat.

Dengan jumlah pelaburan yang cukup besar pada pembangunan inovasi, Expedia amat menekankan Data Science, untuk membolehkan mereka mengumpul segala maklumat seperti harga, populariti, rating, lokasi, dan segmen tempahan dengan lebih terperinci. Bagi memudahkan pengguna membuat tempahan, Expedia juga turut menyediakan Chatbots pada perkhidmatan mereka, dengan hanya bertanyakan soalan dalam satu ruangan chat yang dikendalikan oleh komputer.

Beberapa inovasi lain turut dibawa oleh Expedia seperti Scratchpad iaitu tempat perletakkan carian yang sentiasa dikemaskini secara pintar. Seperti contoh, sekiranya anda sedang mencari tiket penerbangan ke Berlin dan anda menyimpan carian tiket ini pada Scratchpad, ia akan memaparkan harga terkini apabila anda mengakses perkhidmatan ini semula.

Selain daripada Scratchpad, Expedia turut memfokuskan kepada teknologi analisa harga seperti Price Trends dan Price Prediction, bagi menyediakan paparan carian yang terendah dan terbaik kepada pengguna ketika membuat tempahan. Expedia juga menekankan ulasan masa-nyata yang dikeluarkan oleh pengguna, dengan hanya memberikan ulasan yang terbaik untuk dipaparkan.

Selain daripada pembangunan Innovation Lab, mereka juga turut melihat peluang yang tinggi pada arena mudah-alih, dengan menyaksikan lebih 180 juta muat-turut aplikasi. Dengan angka ini, ia telah menyumbang sekitar 65% tempahan hotel yang dibuat dengan hanya melalui aplikasi sahaja.

Dengan pelaburan mereka dalam arena teknologi dan inovasi, perkhidmatan yang digalas oleh Expedia akan lebih memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik apabila dibandingkan dengan beberapa pesaing yang lain. Mereka kini tidak hanya menyediakan laman yang hanya mampu membuat perbandingan dan tempahan semata-mata, tetapi ingin memberikan hasil carian dan penggunaan yang terbaik untuk dinikmati oleh pengguna.


TIPS & ULASAN