Cari @ Amanz

Dengan kenaikan nilai matawang kripto kebelakangan ini, nampaknya pelombong-pelombong digital ini semakin gah mahu melaburkan wang didalam industri kewangan maya ini.

Sebelum ini, kad grafik merupakan komponen yang paling penting sekali kerana ia merupakn komponen yang utama digunakan untuk melombong kriptowang. Kini dapat dilihat bahawa pembuat-pembuat komponen juga sudah mula membina papan induk yang mampu menampung lebih daripada tiga ataupun empat kad grafik sekali untuk menjimatkan ruang.

ASUS merupakan salah satu pembuat tersebut, dan mereka baru sahaja mengumumkan papan induk ASUS B250 Expert Mining – sebuah papan induk yang dibina khusus dengan 19 soket PCIe yang mampu menampung sehingga 19 kad grafik melalui kemaskini BIOS yang akan hadir pada hujung tahun ini. Sehingga waktu kemaskini tersebut hadir, papan induk ini boleh menyokong sehingga 16 kad grafik tanpa masalah.

Papan induk ini juga hadir dengan tiga palam kuasa 24 pin untuk mengurangkan masalah bekalan kuasa ke kad-kad grafik tersebut. Slot-slot PCIe di papan induk ini juga dibahagikan kepada tiga bahagian supaya setiap palam kuasa mampu menggerakkan kad-kad tersebut tanpa perlu risau akan masalah tidak cukup kuasa.

Ia juga hadir dengan perisian yang membantu pengguna melihat palam PCIe manakah yang menghadapi masalah, dan membaikinya. Papan induk ASUS B250 Expert Mining ini menyokong CPU Intel Skylake dan Kaby Lake, termasuklah RAM DDR4 sehingga 32GB pada kelajuan 2300MHz.

Tanda harga papan induk ini diumumkan akan hadir untuk $130 (RM520) dan boleh dibeli di beberapa pasaran terpilih. Buat masa ini, masih belum diketahui jika ASUS Malaysia akan membawa masuk papan induk ini untuk pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd