Pandang Pertama Sennheiser HE 1 – Panggilan Dari “Syurga”

Pandang Pertama Sennheiser HE 1 – Panggilan Dari “Syurga”

Diterbitkan pada November 6, 2017 oleh .

Sebagai seorang audiophile yang tegar, saya mempunyai beberapa buah fon kepala premium daripada beberapa jenama pembuat fon kepala yang terkemuka, termasuklah Sennheiser, Beyer Dynamic dan juga Grado.

Hobi audiofilia ini sebuah hobi yang cukup beracun, dan boleh tahan juga mahalnya. Akan tetapi, kegembiraan apabila mendengar lagu-lagu kegemaran saya pada nada dan tona yang berbeza dari setiap satu fon kepala ini seakan-akan sebuah ketagihan yang susah untuk dihentikan.

Kami diberi peluang untuk mencuba fon kepala terbaru dan termahal dari Sennheiser; iaitu Sennheiser HE1 yang direka berasaskan fon kepala mereka yang paling popular pada tahun 90-an – Sennheiser Orpheus.

Oh ya, jika anda tidak tahu, sebuah set fon kepala ini berharga $55,000, ataupun RM250,000, cukup untuk membeli sebuah rumah dibawah pelan PR1MA.

Spesifikasi Dan Rekaan

Fon kepala Sennheiser HE1 ini agak berbeza daripada fon-fon kepala yang lain. Selain daripada unit fon kepala tersebut, ia juga disambungkan kepada sebuah amplifier yang dibina secara manual.

Unit fon kepala Sennheiser HE1 ini cukup berbeza sekali berbanding dengan fon-fon kepala komersial yang lain. Dari segi rekaan, fon kepala HE1 ini menggunakan rekaan open-back yang selalu dapat dilihat pada fon kepala siri premium oleh Sennheiser.

Tetapi di situ sahaja persamaan fon kepala HE1 ini dengan model-model lain. Sennheiser HE1 ini menggunakan sistem elektrostatik yang menggunakan sistem magnet dan filem yang senipis 2.4 micron. Sistem ini berfungsi melalui dua keping keluli yang diletak diantara filem tersebut, dan apabila cas elektrik dihantar kepada keluli tersebut, filem tersebut akan bergetar, dan ini akan menghasilkan bunyi yang dapat didengari melalui diafragma tersebut.

Apa yang istimewa mengenai sistem ini ialah jarak frekuensi. Fon kepala secara lazimnya mempunyai jarak frekuensi dari 20Hz sehingga 20KHz dan sebagainya, tetapi bagi fon kepala HE1, ia mempunyai jarak frekuensi dari 8Hz sehingga lebih dari 100KHz.

Ini membolehkan fon kepala tersebut menonjolkan bunyi-bunyi yang biasanya tidak dapat ditangkap oleh fon-fon kepala yang menggunakan sistem diaphragm yang biasa.

Fon kepala ini kemudiannya dipadankan dengan sebuah amplifier yang memakan masa selama bertahun-tahun untuk diselidik dan dibina. Malah, perkara pertama yang anda pasti akan perasan apabila melihat sistem fon kepala Sennheiser HE1 ini ialah amplifier tersebut.

Dari segi luaran, rangka amplifier ini diperbuat daripada batu marmar Carrara yang membantu mengurangkan getaran dalaman dan memastikan komponen-komponen di bahagian dalam tidak tercermar oleh masalah elektrostatik dan sebagainya.

Tombol-tombol yang hadir pada amplifier tersebut pula diperbuat daripada tembaga, dan gabungan ini memastikan bahawa unit fon kepala Sennheiser HE1 ini akan bertahan untuk jangka-masa yang sangat lama.

Dari segi input, sistem amplifier HE1 ini menyokong sambungan USB, S-PDIF dan coaxial, dan mampu memainkan pelbagai jenis audio digital, termasuklah PCM dan juga DSD. Amplifier ini menukarkan isyarat audio digital tersebut kepada analog dengan menggunakan lapan DAC (Digital Audio Converter) ESS SABRE ES9018. DAC ini dibahagikan kepada dua saluran kiri dan kanan untuk memastikan bahawa output bunyi ke fon kepala cukup jelas sekali.

Pengalaman Mendengar Yang Lain Dari Yang Lain

Sistem fon kepala Sennheiser HE1 ini diletakkan di tengah-tengah bilik, dikelilingi oleh sofa untuk kami duduk dan melihat betapa cantiknya binaan sistem fon kepala ini. Apabila ia ditutup, tiga tombol dan balang DAC amplifier ini terbenam di dalam rangka marmar Carrara tersebut, membuatkan rekaan amplifier tersebut cukup kemas.

Apabila tombol kuasa/kelantangan ditekan, tiga tombol yang terbenam tersebut akan timbul bersama-sama dengan lapan DAC yang dirumahkan di dalam balang kaca tersebut. Setelah itu, kotak yang mengandungi fon kepala HE1 tersebut juga akan dibuka, membolehkan anda mengambil fon kepala tersebut untuk mendengar dengannya.

Kebiasaannya, anda perlu membiarkan DAC panas sedikit sebelum mendengar fon kepala, dan ini kadang-kala akan mengambil masa 10-15 minit atau lebih, bergantung kepada DAC yang digunakan. Menurut jurucakap Sennheiser, DAC ESS Sabre yang digunakan oleh fon kepala HE1 hanya memerlukan 3-5 minit sahaja, sebelum boleh digunakan dengan potensi sepenuhnya.

Bagaimana pula dengan kualiti audio fon kepala ini? Adakah ia berbaloi dengan tanda harga yang diberikan? Seperti yang kami katakan di tajuk artikel ini, pengalaman mendengar dengan Sennheiser HE1 ini cukup berbeza dengan fon-fon kepala lain.

Sebagai contoh, fon kepala stereo biasanya akan menggabungkan saluran kiri dan kanan untuk menggambarkan lokasi bunyi tersebut di hadapan anda.

Dengan fon kepala Sennheiser HE1, sistem elektrostatik yang digunakan bukan sahaja membolehkan fon kepala ini untuk menonjolkan kualiti audio yang sangat terperinci, malah apabila dipadankan dengan fail-fail audio berkualiti tinggi seperti FLAC, Hi-Res Audio dan DSD, anda juga boleh mendengar butiran audio yang sangat terperinci.

Ini adalah apa yang saya benar-benar rasakan apabila mendengar lagu pertama yang dimainkan melalui fon kepala Sennheiser HE1 ini. Bukan sahaja butiran bunyi cukup padu, malah soundstage fon kepala ini sangat bagus sehinggakan saya dapat membayangkan lokasi dimana peralatan muzik tersebut sedang dimainkan dihadapan anda.

Selain dari itu, kebolehan fon kepala Sennheiser HE1 ini untuk menonjolkan bunyi daripada frekuensi-frekuensi bunyi yang tidak dapat dipamerkan oleh fon-fon kepala yang lain juga membuatkan bunyi, peralatan muzik dan juga suara seakan-akan sedang dimainkan di hadapan anda.

Menyatakan pengalaman mendengar fon kepala Sennheiser HE1 ini melalui perkataan adalah cukup sukar, kerana ianya sesuatu yang anda perlu dengar dan alami sendiri. Sayang sekali, apabila kami bertanya kepada pihak Sennheiser jika mereka akan meletakkan sebuah unit di kedai mereka di Malaysia, mereka tidak dapat memberikan kata-putus kepada kami.

Bagaimana Mahu Membelinya?

Jika anda berminat mahu membeli fon kepala dengan tanda harga tidak masuk akal ini, Sennheiser mempunyai sebuah kedai di Bangsar Shopping Centre yang anda boleh pergi untuk membuat pesanan.

Setiap satu sistem fon kepala Sennheiser HE1 ini dibina mengikut pesanan, dan pada tanda harga RM250,000, jangan terkejut jika mereka menyemak skor CTOS ataupun CCRIS anda. Apabila pesanan sudah dibuat, ia akan mengambil masa enam bulan untuk membina sistem tersebut.

Dalam masa enam bulan ini juga, anda perlu membayar jumlah wang yang sangat besar tersebut, sebelum anda diberitahu di proses apakah fon kepala Sennheiser HE1 anda dibina. Untuk makluman anda, setiap unit Sennheiser HE1 ini dibina dengan tangan di ibu pejabat Sennheiser di negara Jerman. Jumlah masa yang diperlukan untuk membina sebuah sistem fon kepala ini dianggarkan sekitar 400 jam, dan ini termasuklah masa yang diperlukan untuk memasang fon kepala dan membina amplifier tersebut dari mula.

Selepas akhirnya enam bulan tersebut, dan setelah anda melunaskan pembayaran sepenuhnya, fon kepala HE1 ini akan dihantar kepada anda,. diiringi oleh syarikat keselamatan.

Tidak seperti Sennheiser Orpheus, sistem HE1 tidak terhad kepada beberapa unit sahaja, tetapi Sennheiser telah menetapkan kuota jumlah  binaan HE 1 ini pada 250 unit setahun.

Penutup

Pada tanda harga RM250,000, fon kepala Sennheiser HE1 ini tidak boleh dinilai dari segi kewangan. Mereka yang benar-benar serius mengenai hobi audiophile ini tidak akan begitu risau mengenai harga fon kepala ini, tetapi lebih memikirkan bila mereka boleh mendapatkannya.


TIPS & ULASAN