Cari @ Amanz

Permainan simulasi angkasa lepas, Star Citizen masih sedang dibina oleh Cloud Imperium Games, dan setelah menjana wang sebanyak $150 juta, ia merupakan permainan komputer yang termahal dalam sejarah permainan komputer.

Di acara Gamescom tempoh hari, Cloud Imperium Games berkongsi beberapa berita baru mengenai Star Citizen, dan salah satu daripada berita tersebut ialah kerjasama mereka bersama-sama syarikat Faceware, dimana mereka sedang membina sebuah sistem pengecaman wajah baru yang dinamakan Face Over IP (FOIP).

Sistem FOIP yang diperkenalkan ini mampu mengesan pergerakan dan perubahan wajah pengguna dan menggunakannya untuk menggerakkan wajah watak di dalam permainan komputer tersebut secara langsung pada kadar 60FPS. Bukan itu sahaja, sistem FOIP ini juga boleh digunakan untuk merakam suara anda, dan menggunakan contoh Star Citizen, suara anda boleh dipancarkan ke kedudukan relatif watak dalam permainan anda.

Sistem FOIP ini boleh digunakan dengan mana-mana peranti webcam dan mikrofon, tetapi untuk mencapai prestasi yang optimum, pihak Faceware mereka sebuah webcam khusus untuk Star Citizen, yang membolehkan sistem tersebut mengecam pergerakan wajah pengguna walaupun dalam keadaan gelap.

Buat masa ini, pihak Cloud Imperium Games dan Faceware masih belum mengumumkan tarikh kehadiran mahupun harga untuk peranti ini, tetapi telah menyatakan bahawa ciri FOIP ini akan hadir apabila kemaskini 3.1 hadir kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd