Bagi yang mengikuti perkembangan peranti jam tangan pintar, anda mungkin sedia mengetahui harga tawaran peranti ini yang mana ditawarkan pada harga yang agak tinggi. Bagi membolehkan jam tangan pintar boleh dimiliki oleh lebih ramai pengguna, Olike Malaysia iaitu syarikat aksesori di bawah jenama Oppo telah melancarkan jam tangan pintar WeLoop Hey 3S dan XH3 dengan penawaran harga berpatutan.
Jam tangan pintar WeLoop Hey 3S boleh dikatakan hadir dengan rekaan seumpama jam tangan pintar terkemuka, menerusi rekaan paparan berasaskan empat segi. Ia hadir dengan ciri-ciri menarik seperti sokongan kalis air, sensor denyutan nadi, kebolehan melihat paparan notifikasi, bersama ketahanan bateri selama 30 hari.
Tetapi apa yang membuatkannya terasa berpatutan, ia turut didatangkan dengan sokongan GPS + GLONASS untuk sistem penjejakan lokasi tanpa telefon mudah-alih. Untuk kebolehan GPS ini, ia menawarkan ketahanan bateri selama 20 jam untuk penggunaan GPS secara berterusan.
Olike juga turut menawarkan jam tangan pintar WeLoop XH3 iaitu versi kos rendah berbanding Hey 3S untuk penawaran harga yang lebih berpatutan. Ia membawakan beberapa sokongan asas seperti seperti Hey 3S tetapi tidak didatangkan dengan sokongan GPS. Namun dari segi ketahanan bateri, ia menawarkan masa bertahan yang lebih lama iaitu sekitar 40 hari.
Untuk sokongan peranti pula, kedua-dua jam tangan pintar ini menyokong sistem operasi Android dan iOS untuk kebolehan sync dan paparan notifikasi.
Di Malaysia, WeLoop Hey 3S telah ditawarkan pada harga RM499 sementara WeLoop XH3 dijual pada harga RM399. Kedua-dua jam tangan pintar ini boleh didapati melalui pengedar-pengedar rasmi OPPO Malaysia dengan sokongan penukaran peranti 1-to-1 sekiranya peranti mengalami kerosakan dalam tempoh satu tahun penggunaan.