Cari @ Amanz

Microsoft sebelum ini telah memperkenalkan platform Windows Mixed Reality yang mana menawarkan kandungan realiti-gabungan untuk dinikmati melalui platform perkomputeran popular berkenaan. Sejumlah rakan kerjasama pengeluar komputer sedia mengumumkan set realiti-maya Windows MR masing-masing dan dijangka dijual secara meluas dalam beberapa bulan lagi.

Sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pembangun ke platform berkenaan, Microsoft mengumumkan satu demi satu rakan kerjasama mereka. Terkini, gergasi perkomputeran berkenaan mengumumkan yang mana pengguna Windows Mixed Reality turut boleh menikmati kandungan realiti-maya daripada platform Valve, iaitu Steam VR.

Dengan langkah ini, ia sekaligus memberikan komuniti Steam lebih banyak perkakasan untuk mengakses kandungan realiti-maya melalui Steam VR.

Buat masa ini, kami masih kurang pasti sama ada semua kandungan realiti-maya di VR akan disokong secara automatik apabila pengguna menghubungkan set realiti-maya ke komputer Windows mereka atau sebaliknya. Mungkin hal ini akan dikongsikan lanjut tidak lama lagi.

Apa pun, dengan langkah penambahan sokongan Steam VR ke Windows MR, ia semestinya akan menjadikan ia salah satu peranti yang dinantikan ramai peminat permainan realiti-maya seluruh dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd