Samsung sedia mempunyai penawaran skrin monitor untuk para peminat permainan video dan multimedia. Terkini, bersempena dengan IFA 2017, Samsung turut mengumumkan sebanyak tiga monitor baru yang memfokuskan kepada pengguna profesional untuk tujuan pejabat.
Tiga model yang diumumkan adalah CH89 (berskrin 34-inci melengkung), CH80 (bersaiz 27-inci melengkung) dan juga SH85 (bersaiz dalam pilihan 23.8-inci dan 27-inci dengan panel pipih).
Ketiga-tiganya hadir dengan rekaan moden masa kini, termasuk menyokong USB-C. Monitor CH89 menawarkan paparan resolusi 3440×1440 pixel, sementara CH80 pula pada resolusi HD penuh. Monitor SH85 dengan panel pipih pula menawarkan resolusi 2560×1440 pixel.
Seperti penawaran monitor lain, ia turut hadir dengan kaki monitor yang boleh melaraskan ketinggian dan sudut pandang monitor, selain ciri seperti Samsung Flicker Free dan juga Samsung Eye Saver dalam memastikan anda tidak mengalami masalah mata yang cepat penat untuk masa penggunaan yang lama.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah monitor ini akan memasuki pasaran tempatan.