Carian
Selamat Tinggal Project Tango – ARCore Diumumkan, Jawapan Google Untuk Apple ARKit
August 30, 2017 Aman

Google sebelum ini telah hadir dengan projek eksperimental yang dinamakan Tango – dimana dua telefon pintar yang menggunakannya telah diperkenalkan, termasuk paling baru adalah Asus Zenfone AR. Kini, bergerak kehadapan, Google seperti menghentikan Project Tango, dan hari ini telah mengumumkan sebuah platform baru yang dinamakan sebagai ARCore.

ARCore merupakan platform untuk para pembangun Android untuk membangunkan aplikasi AR (augmented reality). Secara kasar, ini adalah jawapan daripada Google sebagai persaingan untuk platform ARKit yang telah diperkenalkan oleh Apple pada WWDC yang lepas.

Membezakan penggunaan ARCore dan Project Tango adalah dimana untuk menjayakan ARCore, peranti tidak memerlukan sensor Depth Sensing – sekaligus membuatkan ARCore mungkin lebih mudah menarik minat pembangun, selain mempunyai capaian peranti yang lebih tinggi.

Google sendiri mengatakan yang mana telefon pintar Google Pixel dan Samsung Galaxy S8 sedia menyokongnya bermula hari ini untuk pembangunan – dan Google akna menambah rakan kerjasama lain, termasuk LG, Huawei dan Asus untuk menyokongnya. Secara kasar, apabila ARCore 1.0 ditawarkan dalam masa terdekat ini, sekitar 100 juta peranti Android dijangka dapat mengakses aplikasi ARCore ini.

Bagi anda yang masih tidak mendapat idea mengenai apakah penawaran augmented reality ini, ia membolehkan anda mengintegrasikan pelbagai kandungan maya pada dunia digital – dan dengan menggunakan skrin telefon, anda boleh melihat kandungan maya ini.

Mungkin dengan pengenalan dan penawaran aplikasi ARCore untuk peranti sedia ada Android kelak, kita akan dapat sendiri mencubanya dan melihat apakah penawaran daripada para pembangun untuk teknologi baru yang kian diperkatakan ini.

Komen