Selain daripada Digi, nampaknya pihak Celcom dan U Mobile turut telah memulakan sokongan pembelian kandungan pada platform Apple seperti App Store, iTunes dan juga Apple Music menggunakan bil telekomunikasi masing-masing.
Ini bermakna, anda tidak lagi perlu risau memerlukan kad kredit atau debit – sebaliknya boleh membuat pembelian dengan menggunakan kredit bil telekomunikasi anda – tidak kira sama ada prabayar atau pascabayar.
Bagi anda yang menggunakan iOS, anda boleh ke halaman akaun anda, dan memilih “Mobile Phone” daripada panel pembayaran – dan ia akan mengenakan caj pada bil telekomunikasi anda.
Dengan pengenalan ini, ia akan memudahkan lagi proses pembelian kandungan di App Store, iTunes mahupun Apple Music. Ia tidak diketahui lagi bilakah Maxis akan menambah sokongan sama.