GIF merupakan salah satu perkongsian gambar beranimasi yang kini kian menjadi popular – malah telah mula diintegrasikan pada pelbagai laman sosial. Terkini, salah seorang pembangun bebas, turut hadir dengan projek tersendiri dinamakan “Instagif” yang membolehkan anda merakamkan dan “mencetak” gambar GIF anda.
Instagif ini mengambil inspirasi daripada Polaroid OneStep, dimana anda boleh merakamkan gambar dan ia akan dicetak serta-merta. Sebaliknya, untuk Instagif, ia bukan gambar biasa, tetapi sebuah gambar berbentuk animasi GIF.
Untuk menjayakan projek ini, pembangun disebaliknya, Abhishek Singh menggunakan Raspberry Pi pada kamera dan juga katrij GIF yang dikeluarkan, serta menggunakan percetakkan 3D untuk menghasilkan kamera berkenaan. Ia secara kasar merakamkan gambar anda, dan memasukkan ia dalam sebuah katrij khusus dilengkapi panel LCD untuk memainkan kembali gambar yang telah dirakamkan dalam bentuk GIF.
Menariknya, Abhishek turut berkongsi langkah pembangunan dan juga kod sumber yang diperlukan untuk pembangunannya. Sekiranya anda ingin mencuba membuatnya sendiri sempena cuti panjang hujung minggu ini, mungkin boleh semak album Imgur beliau serat mendapatkan kod melalui laman GitHub.