Xiaomi Memperkenalkan Mi A1 – Peranti Menggunakan Android Asli Tanpa MIUI Untuk Pasaran Global

Xiaomi Memperkenalkan Mi A1 – Peranti Menggunakan Android Asli Tanpa MIUI Untuk Pasaran Global

Diterbitkan pada Sep 5, 2017 oleh .

Xiaomi hari telah mengadakan acara media khusus di India, dan memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka yang dinamakan sebagai Xiaomi Mi A1. Xiaomi mengatakan ia hadir dengan rekaan premium, dimana dilengkapi dengan rekaan logam sepenuhnya, dan menawarkan skrin bersaiz besar, dan turut dilengkapi dengan sokongan dwi-kamera pada bahagian belakang.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1 hadir dengan skrin 5.5-inci dengan paparan HD penuh, dan membawakan rekaan melengkung pada bahagian tepi untuk memberikan lebih keselesaan ketika memegangnya. Ia turut dilengkapi cip Snapdragon 625, 4GB RAM, dan 64GB ruangan storan. Secara kasar, spesifikasi yang hadir adalah lebih kurang sama seperti Xiaomi Mi 5X sebelum ini. Pada bahagian audio, Mi A1 hadir dengan 10V Smart Power Amplifier untuk penawaran audio yang baik – selain sokongan algoritma DHS pada peranti ini.

Menjadi fokus utama pada Mi A1 ini juga adalah sokongan dwi-kamera dibahagian belakang. Untuk tujuan berkenaan, Xiaomi menggunakan gabungan lensa rakaman sudut-luas dan juga lensa telephoto. Dengan gabungan kedua-duanya, sejumlah ciri-ciri menarik ditawarkan, termasuk sokongan rakaman gambar bokeh – dimana ia merakamkan gambar yang dikaburkan pada bahagian belakangnya. Xiaomi menggunakan gabungan lensa 12-megapixel, dan mengatakan ia adalah seumpama yang terdapat pada iPhone 7 Plus. Disamping rakaman gambar dalam bentuk bokeh. Mi A1 turut menawarka sokongan zoom optikal sehingga 2x, atau zoom digital sehingga 10x.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Selain pada hanya sensor, Xiaomi turut melengkapkan ia dengan sokongan perisian yang baik. Xiaomi mengatakan ia hadir dengan sokongan algoritma pembelajaran mesin tersendiri. Ia membolehkan penghasilan gambar yang lebih cantik berbanding sejumlah peranti lain di pasaran. Xiaomi turut menyertakan sokongan Beautify 3.0 yang menghasilkan gambar wajah yang lebih cantik berbanding kebiasaan.

Melengkapkan Xiaomi Mi A1 juga adalah sokongan IR Blaster untuk mengawal peralatan elektronik, dan menggunakan bateri berkapasiti 3080mAh. Ia menggunakan pengecasan berasaskan USB-C, seperti kebanyakkan telefon pintar baru tahun ini.

Xiaomi Mi A1

Dan menariknya, bagi para peminat Android, Xiaomi Mi A1 merupakan peranti dibawah program Android One, dimana ia menawarkan antaramuka asli Android dan bukannya MIUI. Xiaomi hanya menyertakan beberapa penambahan seperti aplikasi kamera dan juga IR Blaster pada telefon pintar ini, dan yang selebihnya adalah menggunakan kepakaran penuh daripada Google.

Pihak Google turut berkongsi pentas bersama Xiaomi dalam pengumuman peranti Android One baru ini – dan mengatakan kini Android One bukan sebuah program untuk hanya peranti berspesifikasi rendah, tetapi turut meliputi peranti berspesifikasi pertengahan dan tinggi. Google turut mengatakan kemaskini Android 8.0 Oreo untuk Mi A1 akan hadir sebelum penghujung 2017 ini.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1 akan dijual di India pada harga Rs 14999, iaitu sekitar RM999 mengikut tukaran mata wang semasa. Di India ia akan dijual bermula 12 September kelak. Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah Mi A1 ini akan dipasarkan di Malaysia, dan harga jualan rasminya.


TIPS & ULASAN